Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Saturday 18 May 2013

Blackout 505: Harap Mukhriz benarkan guna stadium



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Pakatan Rakyat Kedah hari ini menghantar surat rayuan kepada Menteri Besar, Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir memohon kebenaran menggunakan Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti bagi mengadakan Himpunan Blackout 505 pada 21 Mei nanti.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar berharap, Dato’ Mukhriz selaku Pengerusi Perbadanan Stadium Negeri Kedah akan menimbang rayuan mereka dan membenarkan Pakatan Rakyat mengadakan himpunan di stadium tersebut.

Menurut beliau, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada perbadanan, tetapi ditolak tanpa menyatakan sebarang alasan.

“Jadi hari ini kami sampaikan satu surat rayuan kepada beliau untuk membenarkan pihak Pakatan Rakyat mengadakan himpunan tersebut atas sifat memperlihatkan amalan demokrasi yang lebih terbuka di dalam negeri Kedah.

“Ini sepertimana yang dilakukan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah sepanjang 5 tahun lalu di mana kita membenarkan mana-mana pihak menggunakan stadium termasuk mana-mana premis di miliki kerajaan, walaupun untuk kegunaan oleh parti pembangkang waktu itu, Umno-BN,” ujarnya pada sidang media Pakatan Rakyat Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini tengahari tadi.

Terang beliau, Umno-BN pernah mengadakan himpunan di stadium tersebut memaki hamun PAS dan Pakatan Rakyat.

Malah, Perkasa juga katanya, turut pernah mengadakan himpunan di stadium yang sama dengan provokasi isu-isu perkauman dan fitnah terhadap perbagai pihak.

Namun ujar Mahfuz, pihak Kerajaan Pakatan Rakyat tetap bersikap terbuka dengan memberikan kebenaran penggunaan premis tersebut.

“Saya bukan mengungkit, tetapi saya ingin katakan bahawa keterbukaan ini perlu diteruskan. Perubahan yang baik dari sudut demokrasi perlu dikekalkan dan diteruskan supaya menunjukkan dan mewujudkan suasana lebih harmoni dari segi hubungan antara pelbagai pihak dalam negara kita. Saya harap Dato’ Mukhriz akan menimbang rayuan kami dan membenarkan untuk pihak kami mengadakan himpunan tersebut di Stadium Suka Menanti nanti.

“Saya harap dia akan buat perubahan. Dia harus mencontohi Khairy Jamaludin yang tidak mahu melihat Kementerian Belia Dan Sukan hanya untuk BN, tetapi sebenarnya Kementerian itu adalah untuk Malaysia. Begitu juga dia (Mukhriz) memerintah Kedah ini, stadium itu bukan untuk BN sahaja guna, stadium itu untuk semua pihak guna,” hujah Mahfuz.

Terang beliau, himpunan itu nanti akan dihadiri Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Ujarnya, setiap Adun Pakatan Rakyat Kedah akan diberi peluang berucap untuk menyatakan pengalaman mereka menyaksikan sendiri proses perjalanan PRU13 yang tidak adil.

Sementara itu, menjawab pertanyaan media berhubung Ketua Pembangkang bagi pihak Pakatan Rakyat Kedah, Mahfuz menjelaskan bahawa tidak wujud status khusus jawatan tersebut dalam Dewan Undangan Negeri sebagaimana rasmi dalam Parlimen.

Ujarnya, beliau akan mengadakan pertemuan bersama pimpinan Pakatan Rakyat Kedah dari KeADILan dan DAP untuk mewujudkan sekretariat khusus di Kedah dan menyerahkan kepada mereka memilih Adun yang akan mengetuai Pakatan Rakyat dalam Dun Kedah.

Sidang media bersama itu turut dihadiri wakil KeADIlan dan DAP Kedah antaranya Senator Izham Ramli dan Vincent Chee.


No comments:

Post a Comment