Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz
Omar optimis bahawa kekuatan Umno-BN tidak akan bertahan lama dan akan kembali
bergolak setelah ketiadaan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah katanya, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Mukhriz
Mahathir juga hanya akan diterima selagi mana adanya Dr Mahathir.
“Bukan bermaksud saya minta Dr Mahathir mati cepat, tetapi hendak
menyatakan bahawa dia (Mukhriz) mampu naik ke kedudukan yang ada sekarang ini
kerana ayahnya,” ujar beliau dalam ucapan sulungnya sempena majlis bacaan Yasin
dan solat hajat untuk mantan Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan
Abdul Razak di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 14 Mei lalu.
Beliau juga sangat yakin semua Adun PAS dan Pakatan Rakyat mampu berhadapan
Adun-adun BN dalam Dewan Undangan Negeri serta menangkis segala serangan yang
mungkin dibuat terhadap pentadbiran 5 tahun Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.
Secara khusus, Mahfuz juga berharap Ustaz Azizan akan menyertai kekuatan
Adun-adun Pakatan Rakyat dalam Sidang Dun Kedah walaupun terpaksa berkerusi
roda
Menyentuh perjalanan PRU lalu, beliau percaya semua petugas PAS telah
melaksanakan tugas terbaik, namun gagal menghadapi tipu muslihat oleh Umno-BN
yang turut berkonspirasi bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak-pihak
lain.
“Program Himpunan Blackout 505 yang dirancang itu bertujuan mendedahkan
kepada masyarakat bahawa kekalahan ini angkara tipu muslihat yang dilakukan
pelbagai pihak. Jika ada pihak mempersoalkan bukti terhadap perkara itu, memang
terdapat banyak perbuatan curang jenayah demokrasi dilakukan pelbagai pihak.
“Paling jelas adalah isu dakwat kekal sebagai isu fundamental di mana
tujuan diadakan calitan dakwat kekal itu untuk memastikan PRU13 bersih tetapi
dakwat itu tidak dapat dipertahankan SPR,” tegasnya.
Ditanya perancangannya selaku Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Mahfuz
menegaskan bahawa beliau akan turun ke bertemu pimpinan PAS Kawasan-kawasan untuk
mendengar pandangan mereka supaya parti dapat digerakkan.
Jelasnya lagi, beliau juga akan mendengar pandangan dari pelbagai segmen
kumpulan dalam masyarakat yang menyokong PAS baik dari kalangan profesional,
ulama, anak muda, muslimat dan sesiapa sahaja.
“Saya sedia atur pertemuan bagi mendengar pendapat dan pandangan mereka
bagi mengembalikan PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU akan datang,” terang Mahfuz.
Beliau turut menyeru agar semua pendokong kembali bangun dan memacu
perjuangan sehingga PAS dan Pakatan Rakyat kembali melangkah ke Wisma Darul
Aman.
No comments:
Post a Comment