Ketua Penerangan DMP Negeri Kedah
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan dalam ucapannya sempena Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka 2011 baru-baru ini di Sekolah Menengah Guar Perahu, Permatang Pauh yang menyifatkan komunis zaman dahulu dengan zaman sekarang amat berbeza dari segi ideologi perjuangan, atau pun lebih tepat komunis dahulu kejam dan ganas sementara komunis sekarang bertoleransi serta demokrasi.
SI ambil kata-katanya kembali yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia bertarikh 12 September 2011.
“Komunis zaman dahulu dan komunis zaman sekarang tidak sama. Komunis zaman darurat tidak memberi hak kebebasan kepada kita, mereka antiagama dan antituhan. Mereka zalim dan membunuh orang dengan kejam”
“Komunis yang ada pada hari ini sudah meninggalkan ideologi lama mereka dan mereka berbuat baik kepada kita, maka kita juga buat baik dengan mereka. Perjuangan mereka tidak sama seperti komunis zaman dahulu”
Tegas PM, jangan ubah sejarah. Sememangnya sejarah tidak pernah berubah, ideologi komunis tetap sama dari dulu, kini dan mungkin selamanya. Samada komunis sekarang atau dahulu mereka tetap antiagama dan antituhan.
Menyingkap kembali fakta sejarah terhadap tragedi pembunuhan terhadap etnik Islam di Wilayah Xinjiang di Negeri China, dari insiden kejadian tersebut seramai kira-kira 156 orang terkorban dan 1000 orang cedera akibat keganasan dan kekerasan yang tidak sewajarnya. Media melaporkan Xinjiang ialah tempat bagi kaum Uighur yang mendakwa bahawa mereka didiskriminasi oleh kaum majoriti Han.
Sikap keras pemerintah China yang berideologi komunis amat dikesali dan melanggar hak-hak asasi penduduk Islam Uighur di Wilayah Autonomi Xinjiang. Walau pun Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) meminta China menangani punca masalah yang membabitkan minoriti Muslim berikutan dengan keganasan etnik yang buruk di wilayah Xinjiang tersebut namun tindakan keras terus berlarutan sehingga berlaku tragedi pembunuhan terhadap etnik Islam di wilayah tersebut.
Apakah tindakan kerajaan China yang berideologikan komunis itu baik dan bertolerasi sebagaimana yang dikatakan oleh PM? Dan adakah kenyataan PM sedemikian memaklumkan kepada kita bahawa beliau menghalalkan apa saja tindakan Kerajaan China Komunis sekarang? Bagi SI, tindakan dan sikap tersebut sama seperti yang telah dilakukan oleh komunis di zaman darurat, membunuh, menyiksa dan bertindak kejam sesama manusia, walhalnya kejadian di Wilayah Xinjiang tersebut lebih kejam kerana membabitkan pembunuhan terhadap etnik Islam.
Seharusnya rakyat yang menaungi di dalam sesebuah negara dilindungi dan dijamin keselamatannya tidak kira agama tetapi berlaku sebaliknya di China. Ini bermakna, sikap antituhan, antiagama dan antidemokrasi sebenarnya masih diamalkan oleh komunis sekarang. Lebih-lebih lagi mangsa-mangsa keganasan itu adalah orang awam dan ini menunjukkan bahawa prinsip penggunaan kekerasan dan senjata api tidak mengikut undang-undang.
Sejarah dan fakta memang tidak boleh diubah tetapi boleh dikaji. Samada perjuangan menentang komunis, Jepun, Inggeris, Belanda, Portugis mahu pun British ia tetap digelar pejuang kemerdekaan. Bukan sekadar kekejaman komunis dan Jepun sahaja yang perlu diambil iktibar tetapi sikap British yang mengambil pendekatan ‘ pecah dan perintah’ ( divide and rule) yang kesannya menyelinap hati secara halus juga perlu diambil peringatan.
Penjajah tetap penjajah , fakta bahawa Tanah Melayu pernah dijajah tidak boleh dibuang atau ditambah. Ianya tetap menjadi lipatan sejarah, lebih-lebih lagi kepada generasi dahulu yang hidup di zaman penjajahan.
No comments:
Post a Comment