Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Sunday 19 May 2013

# MAKLUMAN PERUBAHAN LOKASI #

Perubahan Lokasi..
Setelah permohonan penggunaan Stadium Suka Menanti ditolak pihak pengurusan dan rayuan juga ditolak oleh Pejabat Menteri Besar Kedah,Pakatan Rakyat Kedah memutuskan untuk meneruskan program Himpunan Black 505 yang telah dirancang ke lokasi yang baru iaitu Kompleks PAS Kedah,Bt.9,Kota Sarang Semut.Semua Pimpinan Pakatan Rakyat Kedah akan hadir termasuk Adun dan Ahli Parlimen PR Kedah / Perlis yang menang tempohari.Kemuncak program ialah ucapan oleh DS Anwar Ibrahim,YAB Lim Guan Eng dan Haji Mohamad Sabu.Sila berpakaian hitam sebagai warna protes untuk penipuan oleh SPR sepanjang berlangsungnya PRU-13 yang lalu.

Saturday 18 May 2013

Blackout 505: Harap Mukhriz benarkan guna stadium



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Pakatan Rakyat Kedah hari ini menghantar surat rayuan kepada Menteri Besar, Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir memohon kebenaran menggunakan Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti bagi mengadakan Himpunan Blackout 505 pada 21 Mei nanti.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar berharap, Dato’ Mukhriz selaku Pengerusi Perbadanan Stadium Negeri Kedah akan menimbang rayuan mereka dan membenarkan Pakatan Rakyat mengadakan himpunan di stadium tersebut.

Menurut beliau, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada perbadanan, tetapi ditolak tanpa menyatakan sebarang alasan.

“Jadi hari ini kami sampaikan satu surat rayuan kepada beliau untuk membenarkan pihak Pakatan Rakyat mengadakan himpunan tersebut atas sifat memperlihatkan amalan demokrasi yang lebih terbuka di dalam negeri Kedah.

“Ini sepertimana yang dilakukan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah sepanjang 5 tahun lalu di mana kita membenarkan mana-mana pihak menggunakan stadium termasuk mana-mana premis di miliki kerajaan, walaupun untuk kegunaan oleh parti pembangkang waktu itu, Umno-BN,” ujarnya pada sidang media Pakatan Rakyat Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini tengahari tadi.

Terang beliau, Umno-BN pernah mengadakan himpunan di stadium tersebut memaki hamun PAS dan Pakatan Rakyat.

Malah, Perkasa juga katanya, turut pernah mengadakan himpunan di stadium yang sama dengan provokasi isu-isu perkauman dan fitnah terhadap perbagai pihak.

Namun ujar Mahfuz, pihak Kerajaan Pakatan Rakyat tetap bersikap terbuka dengan memberikan kebenaran penggunaan premis tersebut.

“Saya bukan mengungkit, tetapi saya ingin katakan bahawa keterbukaan ini perlu diteruskan. Perubahan yang baik dari sudut demokrasi perlu dikekalkan dan diteruskan supaya menunjukkan dan mewujudkan suasana lebih harmoni dari segi hubungan antara pelbagai pihak dalam negara kita. Saya harap Dato’ Mukhriz akan menimbang rayuan kami dan membenarkan untuk pihak kami mengadakan himpunan tersebut di Stadium Suka Menanti nanti.

“Saya harap dia akan buat perubahan. Dia harus mencontohi Khairy Jamaludin yang tidak mahu melihat Kementerian Belia Dan Sukan hanya untuk BN, tetapi sebenarnya Kementerian itu adalah untuk Malaysia. Begitu juga dia (Mukhriz) memerintah Kedah ini, stadium itu bukan untuk BN sahaja guna, stadium itu untuk semua pihak guna,” hujah Mahfuz.

Terang beliau, himpunan itu nanti akan dihadiri Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Ujarnya, setiap Adun Pakatan Rakyat Kedah akan diberi peluang berucap untuk menyatakan pengalaman mereka menyaksikan sendiri proses perjalanan PRU13 yang tidak adil.

Sementara itu, menjawab pertanyaan media berhubung Ketua Pembangkang bagi pihak Pakatan Rakyat Kedah, Mahfuz menjelaskan bahawa tidak wujud status khusus jawatan tersebut dalam Dewan Undangan Negeri sebagaimana rasmi dalam Parlimen.

Ujarnya, beliau akan mengadakan pertemuan bersama pimpinan Pakatan Rakyat Kedah dari KeADILan dan DAP untuk mewujudkan sekretariat khusus di Kedah dan menyerahkan kepada mereka memilih Adun yang akan mengetuai Pakatan Rakyat dalam Dun Kedah.

Sidang media bersama itu turut dihadiri wakil KeADIlan dan DAP Kedah antaranya Senator Izham Ramli dan Vincent Chee.


Ikrar satukan kekuatan ahli PAS Kedah



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Para pendokong Islam tidak harus selamanya berduka, tetapi wajib memulakan langkah baru untuk mengembalikan PAS dan Pakatan Rakyat Kedah pada kedudukan sepertimana yang pernah lalui dalam tempoh 5 tahun sebelum ini, demikian gesaan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar.

Untuk itu tegasnya, semua pendokong perlu meyakini bahawa Islam akan kembali bersinar dan bersama dalam usaha terbaik sehingga seluruh masyarakat dapat melihat kebaikan dan kemuliaan Islam itu sendiri.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya sempena majlis bacaan Yasin dan solat hajat untuk mantan Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 14 Mei lalu.

Mengakui masih terkejut dan tidak sangka akan dilantik mengambil alih tugas Ustaz Azizan, beliau juga memaklumkan belum mengadakan sebarang mesyuarat untuk mengatur agenda berkaitan.

“PAS Pusat berpandangan, dalam keadaan Ustaz Azizan keuzuran, PAS Negeri Kedah perlu terus memacu perjuangan walaupun terpaksa menghadapi kehilangan yang diimpikan sejak 11 kali pilihan raya sebelum mendapatnya pada PRU12. Tiba-tiba PRU13, kita kehilangan kerajaan.

“Bagi saya pilihan raya bukan satu perhentian kepada perjuangan. Perjuangan ini merupakan satu perjalanan yang panjang. Pilihan raya hanyalah satu persinggahan, R & R untuk kita sembahyang, mandi dan makan, kemudian teruskan perjalanan ke destinasi yang kita hendak tuju.

“Apapun keputusan pilihan raya, kita semua telah tahu ia tidak boleh hendak ubah pada waktu ini untuk beri balik kerajaan itu pada kita. Tetapi kita boleh mengubah untuk tempoh 3, 4 atau 5 tahun yang akan datang.

“Walau apapun kesedihan kita, tidak boleh selama-lamanya kita berduka, tetapi kita wajib memulakan langkah baru untuk mengembalikan PAS dan Pakatan Rakyat ini pada kedudukan sepertimana yang telah kita lalui dalam tempoh 5 tahun. Segala yang berlaku dalam tempoh 5 tahun ini kita jadikan ia sebagai satu pengajaran untuk kita perbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada pada kita,” ujarnya menyuntik semangat.

Menurut Mahfuz, sejak awal pemerintahan lagi beliau selalu mengingatkan semua pihak agar jangan jadikan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah sebagai kerajaan satu penggal.

Namun katanya, takdir Allah mengatasi segalanya dan beliau mahu semua pihak melakukan tindakan terbaik supaya kerajaan diperolehi pada pilihan raya akan datang adalah sebuah kerajaan yang mantap dan lebih kukuh dengan dipimpin oleh generasi pada waktu itu.

Memetik peristiwa Perang Khandak, beliau membuka tasawwur pandangan hadirin kepada cadangan luar biasa Salman al-Farisi yang merintis jalan kemenangan kepada pasukan Islam.

Beliau juga mengukuhkan keyakinan hadirin dengan menyingkap hikmah diperolehi Baginda Rasulullah SAW yang terlihat sinar kejayaan Islam menguasai Kota Rom, Kota Parsi dan Kota Yaman dibalik percikan cahaya pada batu dicangkul Baginda.

Jelasnya, hanya golongan munafik sahaja memperlekehkan keyakinan Nabi ketika itu hingga Allah mengukuhkan keyakinan Nabi dan umat Islam dengan turunnya ayat 26 surah Ali-Imran yang berkisar mengenai kurniaan kerajaan oleh Allah kepada sesiapa dikehendaki-Nya dan dicabut dari sesiapa dikehendaki-Nya.

Tegas beliau, usaha perlu dilakukan sehingga masyarakat seluruhnya melihat kebaikan dan kemuliaan Islam itu sendiri.

Katanya, semua pihak telah melihat perkara itu khususnya penerimaan bukan Islam hasil tahaluf siyasi dilaksanakan PAS.

Beliau berharap, usaha itu diteruskan melalui perjuangan PAS disamping mengkoreksi diri dan jamaah atas takdir kekalahan itu hinggalah sinar Islam sebagaimana disebut Nabi SAW muncul kembali.

Juga penting katanya, setiap individu berlaku jujur dan ikhlas kepada perjuangan serta tidak lari dari matlamat untuk mendapatkan keredaan Allah.

“Tolong nasihat saya. Saya bukan orang yang terbaik di kalangan tuan-puan. Tetapi parti memilih saya. Saya pohon panduan nasihat daripada tuan-puan dan juga dorongan, bukan untuk saya tetapi untuk parti. Wala’ bukan pada saya, tapi kepada keputusan parti.

“Kita boleh berbeza pandangan dan pendapat selagi mana belum ada keputusan. Tetapi bila telah ada keputusan, kitalah yang menggerak dan melaksana keputusan itu secara bersama, insya-Allah,” ujarnya mengakhiri ucapan.



Pakatan Rakyat Kedah akan kembali kuasai tampuk negeri



Oleh IZWAN ABDUL HALIM

izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar optimis bahawa kekuatan Umno-BN tidak akan bertahan lama dan akan kembali bergolak setelah ketiadaan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah katanya, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Mukhriz Mahathir juga hanya akan diterima selagi mana adanya Dr Mahathir.

“Bukan bermaksud saya minta Dr Mahathir mati cepat, tetapi hendak menyatakan bahawa dia (Mukhriz) mampu naik ke kedudukan yang ada sekarang ini kerana ayahnya,” ujar beliau dalam ucapan sulungnya sempena majlis bacaan Yasin dan solat hajat untuk mantan Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 14 Mei lalu.

Beliau juga sangat yakin semua Adun PAS dan Pakatan Rakyat mampu berhadapan Adun-adun BN dalam Dewan Undangan Negeri serta menangkis segala serangan yang mungkin dibuat terhadap pentadbiran 5 tahun Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

Secara khusus, Mahfuz juga berharap Ustaz Azizan akan menyertai kekuatan Adun-adun Pakatan Rakyat dalam Sidang Dun Kedah walaupun terpaksa berkerusi roda

Menyentuh perjalanan PRU lalu, beliau percaya semua petugas PAS telah melaksanakan tugas terbaik, namun gagal menghadapi tipu muslihat oleh Umno-BN yang turut berkonspirasi bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak-pihak lain.

“Program Himpunan Blackout 505 yang dirancang itu bertujuan mendedahkan kepada masyarakat bahawa kekalahan ini angkara tipu muslihat yang dilakukan pelbagai pihak. Jika ada pihak mempersoalkan bukti terhadap perkara itu, memang terdapat banyak perbuatan curang jenayah demokrasi dilakukan pelbagai pihak.

“Paling jelas adalah isu dakwat kekal sebagai isu fundamental di mana tujuan diadakan calitan dakwat kekal itu untuk memastikan PRU13 bersih tetapi dakwat itu tidak dapat dipertahankan SPR,” tegasnya.

Ditanya perancangannya selaku Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Mahfuz menegaskan bahawa beliau akan turun ke bertemu pimpinan PAS Kawasan-kawasan untuk mendengar pandangan mereka supaya parti dapat digerakkan.

Jelasnya lagi, beliau juga akan mendengar pandangan dari pelbagai segmen kumpulan dalam masyarakat yang menyokong PAS baik dari kalangan profesional, ulama, anak muda, muslimat dan sesiapa sahaja.

“Saya sedia atur pertemuan bagi mendengar pendapat dan pandangan mereka bagi mengembalikan PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU akan datang,” terang Mahfuz.

Beliau turut menyeru agar semua pendokong kembali bangun dan memacu perjuangan sehingga PAS dan Pakatan Rakyat kembali melangkah ke Wisma Darul Aman.


Perlantikan Mahfuz disambut baik



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kepimpinan PAS Negeri Kedah mengalu-alukan keputusan PAS Pusat melantik Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru menggantikan Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, menyokong penuh amanah dan kepercayaan Presiden PAS serta kepimpinan PAS Pusat di atas perlantikan Dato’ Mahfuz.

Katanya, Pemuda PAS Kedah akan berdiri teguh di belakang kepimpinan baru pimpinan Dato’ Mahfuz Omar sebagaimana teguhnya Pemuda di bawah kepimpinan Ustaz Azizan.

“Adalah Pemuda PAS Kedah tetap komited melaksanakan tanggung jawab sebagai amilin dan murabitun kepada jamaah dan selaku sayap penting PAS dalam melaksana dan mencapai matlamat perjuangan.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah sangat yakin kepada Dato’ Mahfuz Omar untuk menyambung segala usaha yang telah dilaksanakan Ustaz Azizan dalam meletakkan PAS Kedah dilandasan kegemilangan serta membangun dan menyatukan kembali seluruh kekuatan dokongan PAS di negeri Kedah.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah juga tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan Ustaz Azizan sepanjang menerajui Kedah sebagai Pesuruhjaya dan Menteri Besar. Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas segala sumbangan beliau dan didoakan agar segala amal bakti dicatat Allah sebagai jihad dijalan-Nya,” ujar Ahmad.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah juga katanya, menyeru seluruh anggota parti di Kedah untuk menyokong penuh dan sama-sama bangun untuk mencipta kegemilangan dan mengembalikan PAS ke tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, Muslimat akan memberikan kerjasama terbaik kepada Dato’ Mahfuz untuk mengukuhkan PAS Kedah.

Ujar beliau, Muslimat berazam merampas kembali penguasaan kerajaan negeri dari Umno-BN pada PRU akan datang dengan usaha dakwah, kebajikan dan penerangan yang lebih berkesan.

“Kami Dewan Muslimat berdiri teguh di belakang kepimpinan Dato’ Mahfuz. Semoga PAS Kedah bertambah kukuh, teguh dan dapat mengembalikan kecemerlangan PAS Kedah ke persada negara.

“Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas kepimpinan Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan yang telah membimbing parti sehingga dapat menubuhkan kerajaan dengan pelbagai usaha dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negeri.

“Kita juga mendoakan semoga Allah memberi kekuatan kepada seluruh ahli dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat dengan keputusan PRU13 yang baru kita terima.