Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Saturday 18 May 2013

Ikrar satukan kekuatan ahli PAS Kedah



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Para pendokong Islam tidak harus selamanya berduka, tetapi wajib memulakan langkah baru untuk mengembalikan PAS dan Pakatan Rakyat Kedah pada kedudukan sepertimana yang pernah lalui dalam tempoh 5 tahun sebelum ini, demikian gesaan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar.

Untuk itu tegasnya, semua pendokong perlu meyakini bahawa Islam akan kembali bersinar dan bersama dalam usaha terbaik sehingga seluruh masyarakat dapat melihat kebaikan dan kemuliaan Islam itu sendiri.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya sempena majlis bacaan Yasin dan solat hajat untuk mantan Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 14 Mei lalu.

Mengakui masih terkejut dan tidak sangka akan dilantik mengambil alih tugas Ustaz Azizan, beliau juga memaklumkan belum mengadakan sebarang mesyuarat untuk mengatur agenda berkaitan.

“PAS Pusat berpandangan, dalam keadaan Ustaz Azizan keuzuran, PAS Negeri Kedah perlu terus memacu perjuangan walaupun terpaksa menghadapi kehilangan yang diimpikan sejak 11 kali pilihan raya sebelum mendapatnya pada PRU12. Tiba-tiba PRU13, kita kehilangan kerajaan.

“Bagi saya pilihan raya bukan satu perhentian kepada perjuangan. Perjuangan ini merupakan satu perjalanan yang panjang. Pilihan raya hanyalah satu persinggahan, R & R untuk kita sembahyang, mandi dan makan, kemudian teruskan perjalanan ke destinasi yang kita hendak tuju.

“Apapun keputusan pilihan raya, kita semua telah tahu ia tidak boleh hendak ubah pada waktu ini untuk beri balik kerajaan itu pada kita. Tetapi kita boleh mengubah untuk tempoh 3, 4 atau 5 tahun yang akan datang.

“Walau apapun kesedihan kita, tidak boleh selama-lamanya kita berduka, tetapi kita wajib memulakan langkah baru untuk mengembalikan PAS dan Pakatan Rakyat ini pada kedudukan sepertimana yang telah kita lalui dalam tempoh 5 tahun. Segala yang berlaku dalam tempoh 5 tahun ini kita jadikan ia sebagai satu pengajaran untuk kita perbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada pada kita,” ujarnya menyuntik semangat.

Menurut Mahfuz, sejak awal pemerintahan lagi beliau selalu mengingatkan semua pihak agar jangan jadikan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah sebagai kerajaan satu penggal.

Namun katanya, takdir Allah mengatasi segalanya dan beliau mahu semua pihak melakukan tindakan terbaik supaya kerajaan diperolehi pada pilihan raya akan datang adalah sebuah kerajaan yang mantap dan lebih kukuh dengan dipimpin oleh generasi pada waktu itu.

Memetik peristiwa Perang Khandak, beliau membuka tasawwur pandangan hadirin kepada cadangan luar biasa Salman al-Farisi yang merintis jalan kemenangan kepada pasukan Islam.

Beliau juga mengukuhkan keyakinan hadirin dengan menyingkap hikmah diperolehi Baginda Rasulullah SAW yang terlihat sinar kejayaan Islam menguasai Kota Rom, Kota Parsi dan Kota Yaman dibalik percikan cahaya pada batu dicangkul Baginda.

Jelasnya, hanya golongan munafik sahaja memperlekehkan keyakinan Nabi ketika itu hingga Allah mengukuhkan keyakinan Nabi dan umat Islam dengan turunnya ayat 26 surah Ali-Imran yang berkisar mengenai kurniaan kerajaan oleh Allah kepada sesiapa dikehendaki-Nya dan dicabut dari sesiapa dikehendaki-Nya.

Tegas beliau, usaha perlu dilakukan sehingga masyarakat seluruhnya melihat kebaikan dan kemuliaan Islam itu sendiri.

Katanya, semua pihak telah melihat perkara itu khususnya penerimaan bukan Islam hasil tahaluf siyasi dilaksanakan PAS.

Beliau berharap, usaha itu diteruskan melalui perjuangan PAS disamping mengkoreksi diri dan jamaah atas takdir kekalahan itu hinggalah sinar Islam sebagaimana disebut Nabi SAW muncul kembali.

Juga penting katanya, setiap individu berlaku jujur dan ikhlas kepada perjuangan serta tidak lari dari matlamat untuk mendapatkan keredaan Allah.

“Tolong nasihat saya. Saya bukan orang yang terbaik di kalangan tuan-puan. Tetapi parti memilih saya. Saya pohon panduan nasihat daripada tuan-puan dan juga dorongan, bukan untuk saya tetapi untuk parti. Wala’ bukan pada saya, tapi kepada keputusan parti.

“Kita boleh berbeza pandangan dan pendapat selagi mana belum ada keputusan. Tetapi bila telah ada keputusan, kitalah yang menggerak dan melaksana keputusan itu secara bersama, insya-Allah,” ujarnya mengakhiri ucapan.



No comments:

Post a Comment