Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Semangat keperwiraan bekas-bekas anggota tentera untuk mempertahankan kedaulatan dan martabat negara ini tetap utuh biarpun tidak berada lagi di dalam perkhidmatan.
Atas dasar itulah mereka bersatu dalam Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (Kerabat) untuk memberikan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat dan menjatuhkan Barisan Nasional hingga tertegak kerajaan baru yang lebih adil selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Tekad itu dilafazkan Presiden Kerabat, Leftenan Kolonal (B) Mohd Nazari Mokhtar dengan laungan sokongan kira-kira 20,000 hadirin yang memenuhi Majlis Pelancaran Kerabat Negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini baru-baru ini.
Tegas beliau, seorang anggota tentera berperanan dan bertanggung jawab kepada rakyat dan negara ini di mana mereka adalah Tentera DiRaja dengan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong adalah penaung tertinggi.
Demikian itu katanya, soal pengorbanan dan tekanan terhadap tentera adalah perkara biasa yang melayakkan mereka berada pada martabat khas di kalangan rakyat.
“Sekiranya tanah air ini boleh difaraidkan, tentera adalah mereka yang paling layak mendapat tanah air ini,” demikian ungkapnya menggambarkan martabat seorang anggota tentera.
Malangnya ujar beliau, sepanjang 38 tahun ini, anggota tentera dan bekas anggota tentera seperti merempat di negara sendiri apabila dilayan sewenangnya oleh kerajaan sedangkan mereka adalah pejuang bangsa dan negara.
Antara bukti pengabaian itu jelas beliau, adalah berkaitan hak sepertimana termaktub dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera 1973 yang menyatakan bahawa setiap anggota tentera dan isteri mereka berhak memiliki 20 ekar tanah pertanian dan dua lot perumahan di mana-mana seluruh Malaysia.
Di mana perintah itu tegas Nazari, telah diterima Kabinet dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
Tetapi katanya, Kementerian Pertahanan yang bertanggung jawab terhadap urusan menjaga kebajikan anggota tentera dan bekas tentera termasuk rangkaiannya yakni anak dan isteri mereka telah bersikap tidak diambil penting perkara berkaitan.
Beliau memberikan contoh penubuhan Felda Sungai Koyan pada 1974 di mana Felda Sungai Koyan 1 diberikan sepenuhnya kepada awam, manakala Felda Sungai Koyan 2 dan 3 diberikan kepada bekas tentera dengan setiap mereka mendapat 14 ekar tanah yang ditanam kelapa sawit.
Hal itu jelasnya menunjukkan pemimpin negara dahulu begitu meraikan anggota tentera, tetapi tidak pemimpin BN sekarang.
Bahkan katanya, pelbagai rayuan bekas tentera tidak dipedulikan sedangkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera selepas audit memiliki kewangan sebanyak RM59.32 bilion yakni 10 kali ganda lebih besar dari dimiliki Felda.
“Dengan kekuatan kewangan sebesar itu tidak seharusnya diwujudkan Derma Rayuan Hari Pahlawan. Bekas tentera bukan peminta sedekah tetapi adalah orang yang ada martabat.
“Sedangkan duit itu adalah caruman dari anggota-anggota tentera sendiri. Tetapi, tabung itu tidak memberi manfaat langsung kepada bekas angkatan tentera melainkan retorik politik dan palsu pemimpin politik,” ujarnya.
Dakwa beliau, Kementerian Pertahanan telah membisu terhadap kedudukan Lembaga Tabung Angkatan Tentera tersebut dan beliau percaya berlaku ketirisan sekaligus menunjukkan Kementerian Pertahanan telah bertindak kejam terhadap anak sendiri.
Menurut Nazari, kebajikan bekas tentera hakikatnya tetap tidak terjaga di mana ramai yang hidup tersepit umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Memberikan angka, beliau memaklumkan, daripada 285,000 bekas tentera, hanya 100,000 sahaja berpencen.
Beliau juga menyifatkan martabat Persatuan Bekas Angkatan Tentera tidak lebih seperti Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah.
Antara harapan Kerabat kepada Pakatan Rakyat apabila membentuk Kerajaan Persekutuan kelak adalah mewujudkan Bandar Baru Veteran untuk bekas angkatan tentera selain keistimewaan-keistimewaan lain yang menjadi hak mereka.
No comments:
Post a Comment