Cemas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang perlu
diadakan sebelum melewati tempohnya, Umno-BN dilihat semakin terdesak mengekang
sokongan sedia ada dari beralih arah kepada Pakatan Rakyat. Apatah lagi
gelombang semasa menunjukkan ramai pemimpin dari komponen itu sudah mula
menyeberangi kekalutan mereka. Akhirnya, orang lama yang dianggap mentor utama
Umno-BN terpaksa dikerah untuk turut membantu menarik sokongan. Malangnya,
vokal semasa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat bakal menjerumuskan
BN kepada jurang kekalahan dan memuncakkan Pakatan Rakyat kepada kemenangan
menuju ke Putrajaya.
Kenyataan Mahathir yang menyeru rakyat menyokong syaitan
yang dikenali lebih baik dari malaikat tidak dikenali hakikatnya ungkapan dosa
lagi merosakkan akidah. Wartawan Harakah Kedah, IZWAN ABDUL HALIM
menelusuri huraian pimpinan PAS Kedah berhubung implikasi akidah dan pengaruh
kepada kemenangan kesan dari isu tersebut.
*********************************************************************************
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Md Lotfi
Ariffin
Perkara yang dijanjikan syaitan adalah kebatilan dan
kebatilan tiada tunjang, akhirnya dia akan tumbang. Tetapi malaikat, ia ada
tunjang dan asas yang kukuh. Ia beriman dan bergantung kekuatan kepada Allah.
Jadi pasti akan mendapat kemenangan dalam perlawanan menentang syaitan.
Kenyataan Tun Mahathir itu menunjukkan beliau mengiktiraf
kejahatan, sama ada kejahatan itu dilakukannya sendiri dan juga kejahatan yang
dilakukan BN. Ketika sama bila dia mengumpamakan PAS sebagai malaikat
menunjukkan dia iktiraf PAS adalah parti yang baik dan melaksanakan kebaikan.
Jadi kejahatan BN ini bermaksud sanggup lakukan sebarang
perkara termasuk menentang syariat Allah, menentang al-Quran, menentang hukum
Allah, di mana penentangan seperti ini dan melakukan kejahatan ini adalah sifat
serta perbuatan syaitan iblis. Berbeza dengan PAS, bila membuat kebaikan,
kebajikan dan menyeru kepada pelaksanaan syariat Allah, bermakna PAS bekerja
kepada menentang iblis juga.
Dengan kenyataan itu juga bermakna Mahathir terpaksa
mengakui bahawa BN sekarang semakin lemah dan akan menemui kehancuran. Manakala
Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat dan sedang menuju untuk mendapat
kemenangan.
Maka bila dikeluarkan kenyataan seperti itu, bermakna
itulah pendirian dan terserlahlah diri mereka yang sebenar. Umno diam terpaksa
menerima dan seperti mengakui perkara itu. Tetapi di kalangan pemimpin mereka
yang mahu merenungi hal ini dan telah mengenali jasad BN ini, akhirnya memilih
untuk menyertai Pakatan Rakyat sebagaimana kita lihat kini. Tidak kiralah
penyertaan itu waima kepada PAS, waima keADILan, waima DAP sekalipun.
Perkara ini berlaku hingga kepada penyokong-penyokong
Umno, bila mereka nampak hakikat ini, mereka juga lari dari Umno dan memilih
Pakatan Rakyat. Hal ini bukan sahaja akan mempengaruhi sokongan di Kedah,
bahkan juga seluruh negara.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi
Pengakuan BN
sebagai syaitan baik amat merbahaya kepada akidah umat Islam termasuk akan
memberi kesan kepada pemikiran. Misalnya selama ini kita mengasuh anak-anak
supaya berperangai sebagai manusia yang baik, bukan berperangai macam syaitan.
Tetapi pemimpin negara menyuruh kita mengikuti syaitan. Ini bertentangan.
Bahkan,
mengatakan syaitan lebih baik itu bertentangan dengan pernyataan yang disebut
dalam al-Quran yang menjelaskan bahawa ‘syaitan itu adalah musuh yang nyata’.
Tetapi kita sebenarnya
tidak hairan dengan kenyataan Tun Dr Mahathir itu kerana sebelum ini pun banyak
kenyataan yang dibuat amat kontra dengan ajaran Islam terutamanya dalam isu
hudud, mempersenda hukum Allah dan lain-lain lagi. Perangai macam syaitan
ini memang Umno sudah lama buat seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tidak memartabatkan
Islam di tempat yang sebenar .
Saya yakin
dengan kenyataan ini akan membuka minda rakyat Malaysia bagaimana keadaan dan
kedudukan bekas Perdana Menteri ini yang semakin tidak betul fikirannya.
Sepatutnya
beliau berusaha untuk membuat amal ibadat untuk bertemu Allah, bukan dengan
membuat kenyataan yang boleh menyesatkan pemikiran orang Islam. Ini jelas
menunjukkan bahawa istilah ‘Melayu mudah lupa’ yang pernah diungkapkan oleh
beliau sebenarnya berlaku kepada beliau sendiri.
Dalam
konteks mempertahankan kemenangan di Kedah dalam PRU13 ini, insya-Allah Pemuda
PAS Negeri Kedah akan terus berusaha mendekati pengundi dengan aktiviti yang
dijalankan disamping khidmat masyarakat dan kebajikan ditingkatkan lagi.
Maksudnya, kita terus buat kebaikan dan sememangnya inilah yang kita laksanakan
dari dulu dan untuk selamanya. Berbeza dengan BN yang mengakui membuat
kerja-kerja syaitan.
Apatah lagi
ketika ini kesedaran politik anak muda amat tinggi dan ini memberikan satu
kelebihan kepada kita untuk menarik lebih sokongan anak muda kepada Pakatan Rakyat.
Segala yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Kedah hari ini dengan konsep
mesra rakyat dan berkebajikan serta amalan pentadbiran yang telus dan
ikhlas akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus mengekalkan
kerajaan negeri sekarang ini.
Saya juga
menyeru anggota Pakatan Rakyat beragama Islam agar meletakkan keyakinan tinggi
dan menyandarkan harapan kekuatan kepada Allah disamping gerakerja yang
dilaksanakan. Kerana keyakinan dan sandaran ini adalah formula penting
kemenangan kita pada PRU13 dan juga sebarang pertembungan dengan musuh.
Kemenangan
kita juga semakin dekat kerana Umno-BN tiada keyakinan dan sandaran kepada
Allah. Sejak awal pemerintahan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul
Razak sudahpun menunjukkan ketidakyakinannya apabila mendakwa kerajaannya hari
ini bukanlah tahu segala-galanya. Sedangkan sebagai sebuah kerajaan yang telah
lama dan masih memerintah dia perlu berusaha untuk tahu segala-galanya.
Kini
pemimpin lagendanya, Tun Mahathir pula menunjukkan bahawa BN bersandar kepada
syaitan yang dikenali rapuh dan menjurus kepada kejahatan. Pertolongan syaitan
tidak membawa erti dan syaitan itu sendiri takutkan malaikat.
Ambil
iktibar Perang Badar, kerana keyakinan tinggi dan sandaran tentera muslimin
kepada Allah, martabat mereka dimuliakan dan para malaikat turun membantu.
Musyrikin Quraisy tidak dapat melihat malaikat, sedang syaitan dapat melihat
malaikat, lalu syaitan melarikan diri dari tentera kufar. Umno-BN juga akan
menerima nasib seperti ini, syaitan juga akan lari dari mereka.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dr Rohani Abdul
Mutalib
Tun Dr Mahathir Mohamad ini telah menjadi pemimpin tertinggi
BN yang paling lama sekitar 22 tahun. Tentulah beliau lebih mengenali BN serta
para pimpinan dan pengikut-pengikutnya.
Hari ini beliau memperakui BN itu adalah syaitan yang
dikenali. Maknanya beliau suruh rakyat sokong syaitan ini, sedangkan syaitan
adalah makhluk yang jahat dan mengajak kepada melakukan perbuatan keji. Apa
sudah jadi kepada Tun Mahathir ini? Dia sedar atau tidak ucapannya itu?
Sebagai orang Islam, difahamkan ajaran Islam dan mengaku
beriman kepada Allah, syaitan adalah sebenar-benar musuh yang dituntut kita
memeranginya. Syaitan makhluk yang kita wajib lawan dan selalu kena minta dari
Allah agar dijauhi daripada syaitan ini. Jadi bila adanya perakuan dari orang
paling berpengaruh ini bahawa BN itu adalah syaitan yang dikenali, maka seluruh
rakyat, baik orang Islam termasuk penyokong BN perlu menolak BN dan menyokong
Pakatan Rakyat.
Akidahnya makin celaru apabila beliau menyatakan Pakatan
Rakyat adalah malaikat yang tidak dikenali dan tidak boleh disokong. Tahukah
dia malaikat adalah makhluk yang baik dan tidak pernah ingkar suruh Allah SWT?
Orang Islam juga wajib beriman dengan malaikat dan ia termasuk rukun iman. Jadi
bagaimana seorang Islam boleh memperlekehkan malaikat?
Bermakna dia seru pula rakyat jangan sokong orang yang
baik, ingin buat kebaikan dan menurut perintah Allah. Jadi sudah masanya rakyat
sedar, betapa celarunya akidah pemerintahan BN dari dulu hingga sekarang. Macam
mana kita hendak harapkan mereka memimpin untuk kebaikan dunia akhirat?
Bersandarkan isu ini, PAS Kedah mampu pertahankan
kemenangannya pada PRU13 ini kerana Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS di
Kedah telah membuktikan bahawa kita kerajaan yang baik.
Misalnya kita adalah kerajaan sifar rasuah di mana komitmen
kepimpinan kita telah terbukti hingga kita juga mampu mengaut hasil untuk kepentingan
rakyat dari tahun ke tahun yang semakin meningkat. Semua ini membolehkan kita
buat kebaikan dan kebajikan untuk rakyat. Kebaikan kita ini tidak menunjuk dan
tidak bermusim, tetapi agenda setiap masa. Kita membuat kebaikan kepada rakyat
walaupun disebalik itu kita ditohmah dan diburukkan.
Rakyat semakin hari makin menyedari kebobrokan pimpinan
BN, sedang pemimpin Pakatan Rakyat setiap hari menggandakan kebaikan kepada
rakyat. Jadi bila semakin teruk dan buruk perbuatan BN, semakin mudahlah kita
kepada kemenangan.
No comments:
Post a Comment