Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
SIK: Para pejuang
Islam perlu bangun meninggikan semangat juang untuk menghadapi Pilihan Raya
Umum Ke-13 bagi memastikan kejayaan PAS menguasai pemerintahan, demikian
taujihat tokoh ulama, Tuan Guru Salleh Musa.
Tegasnya, para pejuang PAS perlu meningkatkan kesabaran dalam
menempuh ujian dan halangan perjuangan yang bakal dihadapi dan menghayati
perjuangan para anbiya.
Bagi mencapai cita-cita itu, beliau menyeru agar munajat diadakan terus
menerus oleh ahli PAS di mana sahaja mereka berada.
Tegasnya, teladan itu adalah sepertimana Nabi Ibrahim AS yang berhijrah
dari Iraq ke Palestin kerana tekanan daripada Raja Namrud dan ayahnya sendiri
sebelum berhijrah pula ke Makkah.
Mudir Madrasah Ar-Rahmaniah itu berkata, dari susur galur pengorbanan Nabi
Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail AS dalam perjuangan dan peribadatan itulah lahirnya
Nabi Muhammad SAW.
“Kita sebagai pejuang Islam, mesti kena kuatkan kesabaran menempuh ujian
dan halangan perjuangan,” ujar beliau pada majlis Munajat Khas Sempena Hari
Wukuf Arafah di Madrasah Ar-Rahmaniah, di sini 25 Oktober lalu.
Lebih 2,000 hadirin memenuhi majlis yang turut disertai Ahli Parlimen Sik,
Che Uda Che Nik dan Adun Jeneri, Dato’ Yahya Abdullah.
Program bermula dengan majlis berbuka puasa diikuti solat berjamaah dan
hajat serta bacaan yasin diikuti taujihad mengenai Hari Wukuf Arafah oleh Tuan
Guru Salleh Musa.
Sempena majlis itu juga, Tuan Guru melancarkan blog rasmi dan pejabat Ahli
Majlis Mesyuarat Pentadbiran Madrasah Ar-Rahmaniah.
Dalam perkembangan lain, pihak madrasah menolak sama sekali penubuhan
Yayasan Pondok 1Malaysia yang dilancarkan 16 Oktober lalu.
Menurut Timbalan Pengerusi II Madrasah Ar-Rahmaniah, Ustaz Muhammad Fazilul
Helmi Raidzan, pihaknya telah mengarahkan dua wakil Yayasan itu yang hadir ke
madrasah baru-baru ini agar mengeluarkan serta merta nama Madrasah Ar-Rahmaniah
dari senarai yayasan.
Tegasnya, penubuhan itu adalah demi kepentingan politik Umno sedangkan di
dalam Bajet 2013 langsung tiada peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR)
bahkan bantuan selama ini telah disekat.
“Yayasan Pondok 1Malaysia ini adalah cara Umno mencari pengaruh mereka menjelang
PRU13. Kenapa baru sekarang ditubuhkan saat hampir pilihan raya?,” ujarnya yang
turut menempelak penubuhan itu sebagai tergesa-gesa.
No comments:
Post a Comment