Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
POKOK SENA: Kerajaan disaran menubuhkan
Kursi Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor agar gagasan, pemikiran dan pandangan jauh
almarhum dapat dimanfaatkan pada kepentingan ummah dan negara, demikian cadang
Veteran PAS, Subky Abdul Latif.
Menurut
beliau, banyak lontaran almarhum semasa hayatnya memberi nilai kepada kekuatan
masyarakat dan negara pada hari ini serta masa hadapan.
Jelasnya, penyelidikan dan kajian terhadap pemikiran Ustaz Fadzil Noor
boleh dibuat menerusi ucapan-ucapan beliau yang kini berteraburan dalam
pemilikan awam.
Ujarnya, usaha itu boleh dilakukan pihak Institut Pengajian Tinggi dengan
mengumpulkan kembali segala koleksi almarhum.
Yakini Subky, lontaran-lontaran almarhum itu hakikatnya saling bersambungan
dan mempunyai perkaitan kepada kepentingan ummah dan negara meliputi pelbagai
pandangan sama ada berkaitan dasar pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan
sebagainya.
“Misalnya Kolej Islam Darul Ulum ini, (cita-cita almarhum) mesti berkembang
besar seolah-olah ia Universiti Cambridge bagi orang Islam. Pandangan-pandangan
beliau mesti dihidupkan. Ahli PASlah yang akan menyambung pelaksanaan
pandangan-pandangan itu agar hidup sampai bila-bila,” ujarnya menyatakan contoh
pada Wacana Pemikiran Ustaz Fadzil Mohd Noor di Muassasah Darul Ulum, di sini
20 September lalu.
Terang beliau, dengan adanya kursi berkenaan, pengumpulan, penyelidikan dan
kajian ucapan almarhum dapat ditingkatkan dari tahun ke tahun dan persembahkan
kepada umum.
Subky yakin, jika pun gagasan almarhum tidak sehebat Imam Hasan al-Banna
setidak-tidaknya hampir dengan tokoh ulama gerakan Islam itu.
“Misalnya Malaysia ini tidak boleh dipisahkan daripada Imam Syafie. Tetapi
perkembangan pemikiran generasi baru turut dimasuki mazhab-mazhab lain. Jadi
bagaimana hendak jaga agar segala pandangan dan fikah Imam Syafie itu dipastikan
terus hidup. Jadi seperti itulah pemikiran dan pandangan Ustaz Fadzil perlu
terus hidup menerusi penubuhan kursi ini,” sarannya.
No comments:
Post a Comment