Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Saturday, 20 August 2011

MB tegur salah amal menyambut Syawal

(Imbas semula nasihat penting Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada Ramadhan 1429 / 25 September 2008)

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menegur salah faham terhadap amalan yang sering dilakukan umat Islam di negara ini ketika menyambut Syawal iaitu pesta memasang pelita di Malam Tujuh Likur dan bida‘ah pada amalan puasa enam hari di bulan Syawal.

Beliau menegaskan, pesta pelita pada Malam Tujuh Likur tidak ada hubung kait dengan sunnah Rasulullah SAW dan akidah Islamiah.

Perkara itu dinyatakannya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Golongan Anak Yatim, Ibu Tunggal Dan Fakir Miskin di Dewan Seri Mentaloon, di sini 25 September lalu.

Sebaliknya tegas beliau, ianya merupakan budaya dalam agama Hindu ketika menyambut Deepavali.

Menyingkap sejarah Melayu, Ustaz Azizan menjelaskan, semasa kedatangan Islam ke Melaka dahulu, raja ketika itu beragama Hindu.

Oleh itu, katanya, setelah raja Melayu memeluk Islam, ulama mencari penyelesaian agar raja tidak lagi meraikan Deepavali sebaliknya mengadakan Malam Tujuh Likur sebagai ganti dengan mengekalkan suasana memasang pelita itu serta ke masjid dengan menaiki gajah.

“Masyarakat sekarang menambah-nambah mengatakan pasang pelita itu untuk tunjuk jalan kepada roh arwah yang pulang menjelang raya.

“Nak pasang boleh pasang, tapi ia tidak ada hubung kait dengan sunnah dan akidah,” tegas beliau menyingkap salah faham yang telah menjadi budaya masyarakat kini setiap kali sambutan Syawal.

Menteri Besar juga menegur kefahaman sesetengah umat Islam terhadap seruan berpuasa enam hari di bulan Syawal.

“Saya difahamkan, sembahyang raya enam pun ada. Saya minta Majlis Agama siasat perkara ini,” katanya memaklumkan maksudnya itu.

Menurut beliau, hadis Nabi SAW menganjurkan berpuasa enam hari di dalam bulan Syawal. Tetapi katanya, telah difahami masyarakat hari ini, puasa itu dilaksanakan berturut-turut.

“Masalahnya hari ini bukan masalah berpuasa itu, tetapi timbul kefahaman mengatakan apabila ada orang mengadakan majlis hari raya, maka dia tidak hormat kepada mereka yang berpuasa enam. Mana ada hadis suruh hormat orang puasa enam. Hendak puasa, berpuasalah, itu sunat.

“Difahamkan ada juga buat sembahyang (raya puasa enam) berjamaah dan sembahyang tasbih, cuma tiada khutbah saja. Ini sudah menjadi satu bida‘ah,” tegasnya.

Mengungkap peringatan dari Baginda Rasulullah SAW, katanya, setiap bida‘ah adalah sesat dan setiap kesesatan itu akan masuk api neraka.

No comments:

Post a Comment