Oleh : SARINA ISMAIL
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah
Liku-liku perjuangan Islam bukanlah semudah yang disangkakan. Ia tidak dihampar dengan permaidani merah, tidak ditaburi emas permata, tidak diselimuti kemegahan dan pujian, malah ianya perlukan peluh, keringat, tenaga, harta, masa malah darah demi melihat tertegaknya kalimah Allah di bumi tercinta ini.
PAS telah menjangkau usia 60 tahun..menelan masa melebihi suku abad..menuju kematangan..namun siapa dibelakangnya yang menanggung jerit perit, susah payah, menongkah kefahaman madiyyah, menongkah fahaman sekularisme, hanya dengan satu tujuan..walau belum menang asalkan PAS berkembang hingga ke anak cucunya.
Pemimpin-pemimpin PAS terdahulu, berjuang ketika masyarakat jahil dan buta kepada kepentingan adanya parti lain selain UMNO Barisan Nasional, ketika masyarakat yang ditanam mindanya hanya UMNO Barisan Nasional saja yang mampu dan layak memerintah, ketika PAS dilabelkan parti Pak Lebai, parti Orang Pondok, namun mereka ini tidak goyah mahu pun melatah dan jauh sekali undur kebelakang walau pun pelbagai tohmahan dan kata-kata kesat yang dilemparkan.
Tertegaknya cawangan PAS yang pertama di Kedah pada tahun 1952 di Pondok Bukit Besar, Allahyarham Tuan Guru Haji Osman Al-Yunusi bersama Allahyarham Tuan Guru Yahaya Junid sanggup bersusah payah, masuk kampung, meredah hutan demi memperkenal dan memperkembangkan PAS di bumi Kedah walau pun ada ketika dihalang musuh di tengah jalan.
Ketika itu tiada kemewahan dihadapan mereka, tiada pasarana lengkap membantu kerja-kerja mereka, rumah sendiri dijadikan pejabat, jual kelapa untuk kewangan parti, makan sekadar yang ada tapi jiwa mereka besar dan penuh izzah dan harapan mereka tinggi tidak terjangkau.
Sehari segenggam beras..buat parti orang susah, berjalan rumah kerumah untuk meraih simpati sekiranya ada lebihan rezeki ingin disedekahkan. Ada kalanya berjaya, ada kalanya hampa..tapi mereka tetap teguh dan tiada rungutan atau kesalan kerana mereka yakin dugaan dan ujian itu sebagai benteng menguatkan iltizam mereka kepada perjuangan Islam.
Sejarah melakarkan, pejuang-pejuang terdahulu sanggup menanggung 'speaker' masuk kampung, masuk hutan untuk adakan ceramah PAS. Mereka tidak ada kelengkapan multimedia, tiada facebook, tiada internet, tiada rangkaian siaran secara langsung, tiada 'handphone' malah tiada juga rakaman samada kaset mahu pun vcd, yang ada cuma 'speaker' yang digantung di pokok-pokok kelapa. Itu saja cara sebaran dan hebahan PAS ketika itu untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Ada kalanya disabotaj di tengah jalan, disekat dengan batang-batang pokok, dicurahkan najis di kusyen kereta, dilepaskan belalang yang kakinya berlumuran najis kepada orang ramai yang hadir mendengar ceramah.
Kegigihan Allahyarham Dato' Abu Bakar Omar yang sanggup menginfakkan sebahagian hartanya untuk pembangunan Muasasah Darul Ulum demi melihat tertegakkan mercu pendidikan lambang kemegahan PAS. Harapan mereka ingin melihat perjuangan Islam terus subur, mekar berkembang walau mereka terpaksa mengorbankan diri mereka sendiri.
Bukan mudah untuk melihat PAS seperti sekarang, diterima oleh setiap lapisan masyarakat, diterima oleh orang bukan Islam..jasa Allahyarham Ustaz Fadhil Mohd Noor yang berjaya mengulamakan golongan professional dan memprofessional golongan ulama, membuka minda bukan Islam kepada PAS secara tidak langsung membawa infak kepada perjuangan PAS.
Pendekatan PAS For All menjana kepada minda terbuka bukan Islam yang sebelum ini dipalam dan ditampal dengan fahaman salah oleh UMNO Barisan Nasional.
Sekarang PAS di era kemenangan, segala kemudahan boleh digapai, tidak perlu lagi menjual kelapa, tidak perlu lagi setiap hari segenggam beras malah ahli-ahlinya berupanya menjana kewangan pelbagai cara menggunakan kemahiran dan teknologi moden. Maklumat disebarkan hanya dihujung jari, tidak perlu lagi menggalas 'speaker' kesana sini . Pengangkutan yang hebat, ahlinya mampu memiliki kenderaan mewah, perhubungan canggih, maklumat tersebar dalam satu waktu yang singkat.
Namun, perlukan kegigihan dan kesukaran mereka terdahulu dilupai? Sekiranya tiada mereka siapalah kita..sekiranya tiada kesungguhan didiri mereka adakah kita sekarang boleh mengecap nikmat kemenangan sekarang? Apakah sanggup kita menjadi pewaris kegigihan mereka demi mempastikan perjuangan Islam diwarisi dan PAS dapat dikenali oleh anak cucu kita?
Semua jawapan ada kepada diri kita sendiri...hidupkan semula semangat menderma...hidup jemaah atas keikhlasan ahli-ahlinya. Menangislah ketika menang dan kalah..janganlah hanya menangis ketika kalah dan ketawa dan menempelak musuh ketika menang.....
Penulis : coretan yang dipaparkan hanya sedikit berbanding pengalaman susah senang yang dilalui oleh mereka.
No comments:
Post a Comment