Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Tuesday 1 November 2011

Jangan biarkan perjuangan ini mati tanpa diwarisi oleh anak-anak kita....

Oleh : SARINA ISMAIL
          Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kedah


Ustazah Fatimah Ramli merupakan mantan Ketua Muslimat PAS Kedah selepas Allahyarhamah Ustazah Aminah Abdul Rahman. Beliau mula menerajui Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah pada tahun 1969 sehingga 1991. Sebelum itu, beliau bertindak selaku Timbalan Ketua kepada Allahyarhamah Ustazah Aminah.

Semasa era pimpinan beliau, banyaklah suka duka yang ditempohi, walau bagaimana pun semuanya itu menambahkan lagi iltizam beliau untuk terus berjuang .

“ Dulu kita tak ada duit macam sekarang. Nak pergi dari satu kawasan ke satu kawasan kena naik bas. Bukan macam sekarang, muslimat masing-masing ada kereta sendiri,” katanya dengan wajah yang tenang.

Katanya lagi, ziarah dan merayu undi dari rumah ke rumah sejak dahulu lagi telah dilakukan oleh muslimat cuma keadaan dan suasana yang membezakannya. Waktu dahulu, masyarakat kurang mengenali PAS, masih ramai yang berpandangan sinis kepada perjuangan PAS.

“Kadang-kadang kita pergi rumah mereka, mereka halau kita. Tak buka pintu. Pernah juga dikejar dengan parang. Tapi bukan semua, ada juga yang sambut baik dan sanggup hulurkan derma.Ada juga yang sanggup dermakan barang kemas mereka untuk PAS.

“Sekarang ini perbezaannya jauh. Bukan sahaja orang Islam sahaja yang kenal PAS, orang bukan Islam, India dan Cina juga dah mula sokong PAS,” katanya sambil tersenyum.

Tambahnya lagi, dahulu PAS lebih dikenali sebagai parti Pak Lebai dan orang pondok. Tetapi sekarang golongan professional juga sudah ramai berada dalam PAS. Orang tidak lagi takut hendak menyokong PAS.
Menyingkap kenangan beliau bersama Allahyarhamah Ustazah Aminah, beliau menceritakan keunikan Allahyarhamah jarang ada pada muslimat sekarang. Allahyarhamah ada kasut khas yang digunakan untuk merayu undi dan ziarah rumah ke rumah.

“Saya dan Allahyarhamah saling bantu membantu. Kami selalu keluar bersama. Boleh dikatakan macam kawan baiklah,” sambungnya.

Bila ditanya apakah pengalaman pahit dan manis sepanjang beliau terlibat dengan Dewan Muslimat, sambil tersenyum beliau berkata, pengalaman pahit tidak perlu diceritakan kerana ianya merupakan cabaran kepada setiap pejuang tetapi pengalaman manis boleh dikongsi bersama.

“Kami ketika itu, nak bergerak kemana-mana pun menggunakan bas, tak ada kereta sendiri.
“Saya masih ingat, ketika saya nak balik ke rumah saya ke Kodiang  dari  Kulim Bandar Baru, kebetulan masa pun sudah lewat, hampir pukul 12 malam. Hujan lebat dan bas pun dah habis.

“Tapi atas pertolongan Allah, pemandu bas sanggup hantar saya pulang sampai ke rumah pada malam itu” jelasnya.

Beliau berharap kepada semua muslimat samada yang telah lama bersama PAS mahu pun generasi baru agar memberi komitmen yang jitu kepada perjuangan Islam. Labuhkan sayap perjuangan kepada anak masing-masing. Jangan hanya ibu dan ayah sahaja kuat PAS tetapi anak-anak dibiarkan.

“Jangan biarkan perjuangan kita mati setakat kita sahaja, ajak anak-anak bersama, agar mereka menjadi pelapis pemimpin sekarang.

“Selalulah berdoa agar Allah tetapkan pendirian kita bersama perjuangan Islam dan yakinlah Allah akan membantu kita bila kita membantu jalan Allah,” pesannya.



No comments:

Post a Comment