Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Tuesday, 6 December 2011

Bila Allah mentakdirkan sesebuah kerajaan itu tumbang...

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Perhimpunan Agung Umno yang dijangkakan kali terakhir sudah pun berakhir. Tidak pernah perhimpunan Umno tidak mendapat liputan besar-besaran oleh semua media arus perdana. Ia perkara biasa berlaku di negara ini setiap tahun, sementara Malaysia masih mengamalkan demokrasi berat sebelah di mana semua entiti yang berkaitan kerajaan atau yang bergantung kepentingan dengan kerajaan dipaksa bekerja untuk kepentingan politik parti yang memerintah, iaitu BN.

Maki hamun, penghinaan, fitnah dan tohmah terhadap pembangkang dan serangan peribadi terhadap pemimpin pembangkang pun adalah perkara biasa juta. Meskipun serangan agak lebih dahsyat dari biasa untuk kali ini tetapi ia tetap boleh dianggap perkara biasa juga. Umno tanpa makihamun dan fitnah ibarat garam tanpa masin atau gula tanpa manis. Umno dan penipuan sudah sinonim.

Orang Melayu ditakutkan dengan kehilangan keseluruhan hak Melayu jika Umno hilang kuasa di Pusat dan Melayu bakal menjadi bangsa yang bangsat. Itu pun biasa juga, sebab ia bukan kali pertama diucapkan. Tun Mahathir yang terkenal dengan tema lagenda ‘Melayu mudah lupa’ telah mengemukakan ugutan yang sama terhadap orang Melayu hampir setiap kali berucap di perhimpunan Umno. Orang Melayu sampai sudah hilang rasa takut terhadap ancaman tersebut kerana sering ditakutkan dengan ‘hantu’ yang sama.

Apa yang pelik untuk perhimpunan Umno kali ini ialah dakwaan hampir semua pemimpin utama, bermula dari pemimpin nombor satu mereka; bahawa pilihanraya umum kali ke 13 ini adalah paling getir bagi parti tua itu dan cabaran pembangkang tidak boleh dianggap mudah. Ia berbeza dari perhimpunan-perhimpunan sebelum ini yang begitu yakin Umno dan BN akan merpertahankan kuasa di pusat dengan majoriti besar, menawan balik negeri PR atau menawan balik kesemua kerusi pembangkang.

Maknanya Umno sudah sedar bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia tidak lagi bersama Umno dan majoriti rakyat Malaysia sudah memahami apa itu demokrasi. Inilah punca kegusaran Umno. Kegusaran itu adalah sebenar bukannya dibuat-buat.

Jika 12 kali PRU lalu, sebahagian ahli masyarakat yang sedar dan pembangkang sendiri hanya bercakap mengenai kewajipan menafikan majoriti dua pertiga tetapi kali ini persoalannya ialah sama ada BN atau PR yang akan berkuasa di Pusat.

Ramai penganalisis mengulas mengenai beberapa faktor utama BN akan kalah di Pusat. Saya menyentuhnya dalam keluaran lalu. Namun masih ada beberapa tembok halangan yang perlu dipecahkan bagi memudahkan proses kejatuhan tersebut.

Antaranya ialah tembok ketidakadilan media konvensional. Hari ini media tersebut masih berkuasa sepenuhnya di Malaysia. Media kedua sudah bebas tetapi ia tidak diakses oleh majoriti rakyat jelata. Bayangkan jika menjelang hari mengundi beberapa buah stesyen media elektronik bertukar haluan menjadi media bebas. Mereka tidak memihak kepada mana-mana parti sebaliknya melaporkan kegiatan dan ucapan pemimpin politik secara adil dan terbuka.

Buat masa ini, media-media utama negara masih menjadi ‘milik’ BN. Ia tidak berbeza dengan zaman penguasaan parti Golkar terhadap media di Indonesia menjelang kejatuhan Soeharto. Apabila berlaku gerakan reformasi rakyat, media utama dibebaskan dari cengkaman pemerintah, maka proses kejatuhan regim tua Soeharto dan Golkar menjadi mudah.

Proses kedua yang diharapkan berlaku untuk melicinkan proses menumbangkan BN ialah keperluan berlakunya penghijrahan pemimpin dari parti berkuasa kepada Pakatan Rakyat. Pembangkang menang banyak kerusi PRU 1990 dan menawan Kelantan selepas berlaku perpecahan dalam Umno. Ramai pemimpin utama berhijrah ke pihak pembangkang. Pembangkang menang lagi banyak kerusi PRU 1999 dan menawan Terengganu kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim ditendang dari Umno lalu beliau menyebelahi pembangkang.

Akan berlaku lagikah penghijrahan tokoh-tokoh Umno ke pihak PR menjelang PRU13? Umno sudah hilang masa depan, menempuh PRU antara hidup dan mati. Hakikat tersebut disedari juga oleh pemimpin Umno. Cabaran Umno terkini ialah mencari 'calon boleh menang'. Ramai tokoh veteran Umno akan tersingkir dari senarai calon. Golongan tersebut boleh dimanfaatkan kerana mereka pun sedar Umno sudah hilang masa depan. Jika Anwar hampir menumbangkan kerajaan pusat dengan menarik sebilangan ahli Parlimen melalui 'Projek 16 September' dalam situasi BN masih berkuasa maka tidaklah mustahil untuk menghimpun golongan tersingkir Umno itu bagi menjadi pemangkin cepatnya kejatuhan BN. Mereka boleh datang dalam bentuk gelombang.
Sekarang sebahagian veteran Umno yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Amanah untuk menjadi badan hisbah tidak bertauliah Umno. Ia tidak memperkuatkan Umno melainkan satu liability malah boleh bertukar kepada kem baru yang menyanggahi Umno menjelang pilihanraya.

Seronok juga untuk mengkhayalkan perkara seperti ini berlaku seperti mana kita pernah mengkhayalkan akan sokongan bukan Melayu secara besar-besaran terhadap PAS lebih dua dekad lalu sewaktu hanya beberapa kerat bukan Melayu yang berani menghampiri PAS.

Allah penentu kekuasaan. Apabila Dia menghendaki sesebuah kerajaan itu tumbang, segalanya tidak mustahil untuk berlaku.

No comments:

Post a Comment