Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Sunday 18 December 2011

Umno gusar dengan konsep Negara Berkebajikan PAS

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Reaksi negatif Umno terhadap Dokumen Negara Berkebajikan dilancarkan PAS menyerlahkan kegusaran sebenar mereka yang berselindung disebalik kebatilan.


Menurut Setiausaha Dewan Ulama PAS Negeri Kedah, Ustaz Muhd Zainal Asri Romli, sikap Umno merupakan penjelasan kepada prinsip bahawa apabila datangnya kebenaran, kebatilan akan hilang.

“Kebenaran adalah perkara fitrah, kita tidak perlu mencari hujah mengatakan kita benar. Bila kita menzahirkan kebenaran, maka orang yang mendokong kebatilan pula yang perlu mencari hujah menolak kebenaran,” ujarnya ketika dihubungi Harakah.

Tegas beliau, konsep berkebajikan dikemukakan PAS tidak sama dengan kebajikan yang dilaksanakan BN.

Jelas beliau, asasnya terletak pada dasar di mana PAS mendukung al-Quran dan hadis dalam usaha untuk melaksanakan konsep berkebajikan tersebut sedang Umno hanya berpandukan kepada akal semata-mata.

Perkara itu ujarnya, sama sepertimana orang bukan Islam membuat kebajikan di mana Allah tetap menolak amal tersebut biarpun sebanyak mana ia dilaksanakan.

Katanya, selama lebih 20 tahun mentadbir Kelantan dan tiga tahun di Kedah, PAS telah membuktikan konsep berkebajikan apabila melaksanakan pentadbiran tanpa penyelewengan.

“Ini kebajikan yang utama. Jika Umno hendak mendabik dada menyatakan mereka melaksanakan kebajikan, jelas satu pembohongan besar kerana penuh penyelewengan dilakukan dalam kerajaan dan juga oleh menteri-menteri mereka,” bidasnya.

Menurut beliau, dalam pentadbiran sebagai kerajaan, PAS telah melaksanakan keutamaan-keutamaan kepada rakyat berbanding kebajikan Umno yang lebih menumpu kepada kepentingan untuk kroni.

Antaranya ujar Ustaz Zainal Asri, kenaikan harga minyak yang menguntungkan kroni Umno sedangkan rakyat kekal terbeban termasuk menerima kesan harga barang melambung.

Lebih tidak wajar dan memalukan katanya, lebih 50 tahun Umno-BN memerintah, masih ramai rakyat yang miskin biarpun negara ini mempunyai pelbagai hasil kekayaan.

“Kita tengok yang makin kaya tu menteri-menteri dengan keluarga mereka, tetapi rakyat tetap begitu (miskin),” terangnya.

Jelas beliau lagi, konsep berkebajikan PAS juga adalah bersifat dari dunia hingga ke akhirat.

Di mana menerusi pelaksanaan itu, PAS ujarnya berusaha memperbaiki agama rakyat yang tidak pernah diusahakan BN.

Bahkan katanya, program-program asas seperti penegasan solat atau kempen menutup aurat juga tidak pernah dilaksanakan BN.

“Jadi kebajikan Umno sekadar dunia sahaja. Berkebajikan PAS hingga akhirat, jaga agama rakyat. Bila tak jaga agama rakyat, bukan sahaja rakyat buruk, yang turut rosak adalah pemimpin. Akhirnya melahirkan pemimpin yang buruk akhlak dengan pelbagai kelakuan.

“Matlamat memerintah dunia adalah pemimpin menjaga rakyat, bukan rakyat jaga pemimpin. Tetapi yang ditanam BN kepada rakyat adalah kita mesti berterima kasih pada pemimpin. Sedangkan Islam mengajar pemimpin menjaga rakyat.

“Tetapi yang ada sekarang, pemimpin memperhambakan rakyat. Dalam Islam pemimpin khadam kepada rakyat. BN perah tenaga rakyat dan mereka menikmati kesenangan,” bidasnya.

No comments:

Post a Comment