Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Monday, 26 September 2011

Impian Menjadikan Kedah Belanda Timur... hampir menjadi kenyataan...

Oleh : SARINA ISMAIL
          ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kedah



Hasrat Kerajaan Kedah ingin menjadikan Kedah seperti ‘ Holland Of The East’ atau Belanda Timur hampir berjaya mencapai matlamatnya.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dalam ucapan perasmian sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah 2011, pada 22 September yang lalu menyentuh mengenai hasrat kerajaan ingin menjadikan pertanian satu perniagaan serta aset penting dalam menjana ekonomi Negeri Kedah.

Pelbagai projek pertanian telah dilaksanakan dalam memartabatkan sektor pertanian sebagai salah satu bidang perniagaan dan sekali gus menjana pendapatan golongan petani, penternak dan nelayan.
Sektor pertanian masih kekal berada di tangga ke-3 sebagai penyumbang kepada Kemajuan Ekonomi Kedah (KENked) selepas sektor perkhidmatan dan pembuatan. Hasrat murni Kerajaan negeri menaik tarafkan penguasaan teknik-teknik pertanian terkini sebagai satu usaha menjadikan sektor pertanian sebagai satu model yang berasaskan pasaran ekonomi dan mengeksploitasikan bidang-bidang yang berpotensi dan berdaya saing. Antara bidang yang telah diterokai termasuklah, aquaculture, penanaman herba, sarang burung walid, Research and Development (RNV) serta inovasi untuk menghasilkan produk bermutu tinggi.

Zon Industri Aquaculture di Langkawi melalui ternakan ikan dalam sangkar telah berjaya menjadi pembekal kepada pasaran tempatan malah telah mengekspot ikan hidup di pasaran antarabangsa. Sementara itu, Projek Lembah Herba di Kulim melalui Kedah Biocorp yang juga merupakan syarikat milik Kerajaan Negeri Kedah, telah menjadi pengeluar produk-produk berasaskan herba dan telah menjadi pengeluar kopi herba terbesar di Malaysia.

Pada tahun 2011 kempen penggalakan penanaman dikalangan petani telah diadakan bertujuan mengurangkan tanah-tanah terbiar sebaliknya dimanafaatkan dan boleh membawa pulangan yang lumayan. Antaranya, kempen 1 rumah 10 pokok buah-buahan, kempen pemulihan dusun dan pesta mempelam untuk menggalakkan penanaman buah mempelam secara komersial.

Sebagai langkah awal untuk membantu pengusaha dusun rambutan dan mempelam Sala, Kerajaan Negeri melalui Kedah Agro telah berjaya mengumpulkan hasil-hasil dusun orang-orang kampung dan mengeluarkan 2 produk yang  telah ada dipasaran iaitu jus mempelam Sala dan rambutan yang ditinkan berjenama Kedah Best. Secara tidak langsung, langkah tersebut memberi galakan kepada pengusaha dusun untuk membaik pulih tanaman mereka memandangkan sebelum ini ianya terbiar kerana tiada pasaran.

Inovasi tanaman melalui Jabatan Pertanian telah memperkenalkan penanaman nenas menggunakan sistem kepadatan yang tinggi dengan menggunakan jentera yang dibentuk khas. Tanaman nenas di Laka Tenim dan Bukit Tangga akan mengeluarkan hasil pada bulan November ini dan selain ianya dijual secara mentah, produk jus nenas juga akan dikeluarkan melalui kilang milik Kerajaan Negeri yang beroperasi di Sungai Petani. Kedah kini merupakan pengeluar nenas ke-2 terbesar dan menjelang tahun 2015 akan menjadi pengeluar terbesar di Malaysia. Pada tahun 2015, Kedah mempunyai 10 ribu ekar ladang nenas dan sementara itu penanaman mempelam Sala akan diperluaskan sebanyak seribu ekar di Bukit Genting Bunga.

Melalui Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) yang berperanan mencari pasaran, beberapa produk pertanian orang kampung berasaskan makanan telah berjaya menembusi pasaran Eropah di Ireland Utara. Satu MOU antara Kerajaan Negeri melalui Kedah Agro telah termeterai dengan Syarikat Manma di Ireland Utara untuk memasarkan hasil produk orang kampung di sana. 

Pendek kata, hasrat Menteri Besar Kedah sendiri ingin melihat pertanian menjadi perniagaan dan menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur hampir berjaya sepenuhnya dan semoga dengan usaha-usaha yang lebih mantap untuk masa yang akan datang dapat merealisasikan sepenuhnya impian tersebut.

No comments:

Post a Comment