Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Tuesday, 4 October 2011

60 Tahun: PAS tetap teguh dan kuat

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KEPALA BATAS: PAS telah melalui pengalaman yang panjang dan matang serta menghadapi cabaran bermula di zaman penjajah hingga ke zaman globalisasi kini dalam tempoh 60 tahun usia penubuhannya, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Jelas beliau, PAS menjadi parti yang berpengalaman dalam perjalanan perjuangannya bukan sahaja menjadi pembangkang tetapi juga memerintah kerajaan negeri di Kelantan, Kedah dan pernah di Terengganu dan Perak selain menyertai rakan campuran di Selangor dan Pulau Pinang.

“PAS adalah parti yang bertunjang dengan tunjang yang teguh dan kuat, yang tidak hanyut di zaman cabaran menghadapi penjajahan. Dalam perjuangan menentang penjajah, PAS dapat menyerlahkan pemimpin-pemimpin yang murni suci ketika masyarakat di negara kita ada yang terpengaruh dengan komunis, dengan British, yang terpengaruh dengan berbagai-bagai fahaman dalam pergolakan.

“Pertarungan kuasa Timur dan Barat dalam pertembungan untuk menentang penjajah, ada orang Melayu yang terjebak dengan British, dengan Jepun, yang terjebak dengan komunis. (Tetapi) pimpinan PAS, adalah pimpinan yang bebas daripada pengaruh British, Jepun dan Komunis.

“Inilah kumpulan yang melahirkan Persatuan Islam di Tanah Melayu yang dapat menyelamatkan rakan-rakan daripada tawanan pelbagai jenis itu,” ujarnya berucap pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, di sini 1 Oktober lalu.

Terang beliau, sejarah menunjukkan bahawa PAS menyertai dan bekerjasama dengan banyak pihak termasuk Umno untuk menuntut kemerdekaan dengan menyerlahkan pendirian tegas PAS rupa bentuk negara yang sepatutnya terbentuk selepas negara merdeka.

Hal itu katanya, kerana PAS mempunyai acuan yang tersendiri ditunjuk oleh Allah dan diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

“Kita perlu faham, kita bukan sahaja wajib membebaskan diri dari penjajahan asing yang bersifat manusia, termasuklah kita perlu membebaskan diri dari penjajahan pemikiran yang sedang membelengu kita.

“Sejak sebelum merdeka PAS memilih menyertai jalan demokrasi secara aman untuk menegakkan cita-cita PAS, dengan menyertai pilihan raya tahun 1955,” jelas Ustaz Abdul Hadi.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengulas panjang lebar kepincangan demokrasi kelahiran Barat sebelum para ilmuan mereka mengkaji kitab-kitab politik Islam.

“Pendemokrasian Barat menjadi moden hasil kajian mereka kepada prinsip Islam, melahirkan pemimpin bermaruah, menjadi pendemokrasian sebagai mahkamah rakyat yang adil untuk menghukum pemerintah, media menjadi saksi yang adil.

“Pemimpin mereka sanggup terima kekalahan dalam pilihan raya atau letak jawatan sekiranya berlaku sesuatu. Inilah hasil daripada Islam, malangnya ajaran ini ditinggalkan oleh orang Islam sendiri dan melupakan soal maruah.

“PAS mahu menghidupkan amalan ini mengembalikan umat Islam kepada demokrasi yang diambil daripada roh Islam. PAS menyertai pilihan raya pertama sejak zaman penjajah. Seterusnya selepas merdeka PAS rebah bangun dalam pilihan raya dan memerintah kerajaan negeri.

“Menang di Kelantan, di Terengganu, ditumbangkan di Terengganu, didaruratkan di Kelantan, walaupun kita dijatuhkan dengan cara tidak begitu rupa, tidak bermaruah, tidak beradab, kita bukan golongan yang gila kuasa, kita menunggu dengan sabar. Bukan seperti parti yang kalah dalam tahun 1969 mencetuskan Darurat 13 Mei,” ujarnya menempelak Umno.

Jelas beliau, PAS bukan sahaja berusaha untuk menang tetapi juga boleh menerima kekalahan sebagai menunjukkan sikap terbuka yang ada pada PAS.

Malah tegasnya, PAS istiqamah untuk mendokong sistem politik Islam sebagai teras pemerintahan negara bermula dengan menegaskan sebahagian daripada Islam yang syumul dan lengkap sepertimana memperkenal tema Negara Berkebajikan.

Perkara itu ujarnya, bukanlah asing bagi mereka yang mengkaji Islam, sebaliknya golongan bebal menuduh PAS menyeleweng dari perjuangan.

“Biar anjing menyalak, tetapi kita akan terus berjalan menuju matlamat,” tegas Ustaz Abdul Hadi dalam ucapannya itu.


No comments:

Post a Comment