Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Tuesday 4 October 2011

Umno tolak hudud kerana tidak mahu Islam

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KEPALA BATAS: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa tindakan Umno menolak hudud adalah kerana parti itu tidak mahukan Islam.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan media berhubung alasan Umno menolak hudud pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, di sini 1 Oktober lalu.

“Tanya Umno (alasan itu). Umno tak mahu agama, Umno bukan sahaja tak mahu hudud, Islam sendiri pun Umno tak nak. Saya tolong mewakili Umnolah jawab. Kerana apa lagi jika tidak kerana itu?” jawab Tuan Guru menyebabkan para media ketawa.

Beliau juga menyanggah dakwaan Umno bahawa DAP menolak hudud sebaliknya pertemuan pimpinan Pakatan Rakyat pada beberapa hari sebelumnya, DAP telah memperakui kewujudan Enakmen Hudud Kelantan dan Terengganu.

Beliau turut menegaskan betapa pentingnya masyarakat Cina menyokong hudud kerana samun dan rompakan sering berlaku kepada orang kaya. Logiknya ujar beliau, orang Cina ramai lebih kaya berbanding orang Melayu.

Ditanya kemungkinan perlembagaan dipinda apabila Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya kelak untuk membolehkan Enakmen Hudud di Kelantan dan Terengganu dikuatkuasakan, Tuan Guru melahirkan harapan sedemikian.

“Saya berdoa begitulah dan tiap-tiap orang Islam berdoa kerana hudud ini bukan idealogi, hudud, puasa, sembahyang, zakat, haram zina sama sahaja sebagaimana wajibnya sembahyang, kahwin, puasa, maka hudud juga wajib.

“Di Malaysia ni ada hukum gantung mati kerana dadah dan seumpamanya. Hudud tidak mati, kerana apa hukum mati kita boleh terima? Kalau kena hudud potong tangan pun masih boleh jadi Perdana Menteri,” ujarnya melahirkan kehairanan terhadap penerimaan masyarakat terhadap hukuman konvensional itu.

Disoal kemungkinan PAS akan kembali bersatu dengan Umno, Tuan Guru secara sindir menyatakan bahawa beliau mengenali parti itu.

“Kami dah damai dengan Umno, kami dah masuk BN tahun 1973 hingga 1977. Saya antara orang yang sokong masuk BN hinggakan PAS di Kelantan pecah empat. Ada PAS, Hamim, Berjasa dan Bebas Bersatu. Hancur PAS Kelantan kerana masuk BN.

“Tetapi bila masuk, bila dia rasa dia gagah dia tendang kami. Inilah perangai Umno yang tidak berasaskan kepada agama. Agama mengajar kita bersyukur, Umno tidak bersyukur, bukan senang gerakan Islam hendak masuk menyertai bersama nasionalis.

“Tapi Umno tak tahu jasa ini, sekarang dia ajak kami balik, kami kata ‘I know you’,” jawab Tuan Guru sekali lagi menyebabkan bilik media itu menjadi gamat dengan ketawa.

Ditanya sama ada PAS tidak akan bersama Umno untuk selama-lamanya atau sementara, beliau menjawab bahawa tanggung jawab orang Islam adalah berdoa agar hati manusia berubah dari nasionalis kepada Islam.

“Tak boleh selama-lamanya, kerana doa kita bagi hati orang berubah, dari nasionalis kepada Islam,” tutur beliau sambil melahirkan kekaguman sokongan bukan Islam kepada PAS hari ini melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS dan juga Pakatan Rakyat.


No comments:

Post a Comment