Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Wednesday 5 October 2011

Umno halang Islam, cabul federalisma

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KEPALA BATAS: Umno bukan sahaja menjadi penghalang kepada pelaksanaan Islam malah mengkhianati amalan pemerintahan negara.

Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PAS menghadapi pelbagai mehnah sejak 1960-an dalam menyampai pegangan Islam sebagai cara hidup.

Katanya, seruan itu tidak diendah oleh masyarakat muslim terutama Umno sebagai parti memerintah yang berpegang kepada sekularisma kerana Umno tidak mudah menyerah kuasa dan menghalang hawa nafsu mereka.

“Mereka menganggap pemerintahan bukannya amanah yang mesti ditunaikan, mereka menganggap pemerintah adalah kesempatan untuk mencari kekayaan bagi diri, bagi kroni, bagi keluarga dan sebagainya, peluang untuk melakukan rasuah, hingga Umno telah mencalarkan wajah Islam kepada masyarakat yang bukan Islam.

“PAS telah melalui pengalaman pahit manis sebagai kerajaan negeri, pembangkang dan kerajaan campuran di peringkat pusat ketika dalam usaha menjelmakan seruan perjuangan PAS. PAS menghadapi kekangan amalan federalisma yang diperlakukan begitu rupa. Ketika kita memerintah kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak dan sehingga hari ini Umno yang memimpin BN sanggup melanggar konsep federalisma.

“Sanggup mendaruratkan Kelantan, sanggup merompak royalti minyak di Terengganu, sanggup menafikan hak Kelantan, sanggup memulaukan ekonomi dan pentadbiran, sanggup mewujudkan pentadbiran Pusat di negeri, bahkan sanggup meminda perlembagaan bagi mengukuhkan kedudukannya,” tempelak beliau.

Katanya, ketika memerintah di peringkat kerajaan negeri mahupun di peringkat kerajaan campuran persekutuan, PAS telah menggunakan kesempatan ini untuk melaksanakan agenda Islam seperti mengukuhkan pendidikan Islam, mengembangkan dakwah Islamiyah dan lain-lain.

Terang beliau, melalui kerajaan negeri, PAS telah berusaha untuk melaksanakan hukum-hukum pemerintahan Islam termasuklah menggubal undang-undang tubuh negeri Kelantan dan Terengganu, hinggalah penggubalan akta jenayah syariah yang dipolemikkan pada hari ini.

PAS juga katanya, cuba memperkenalkan undang-undang jenayah syariah, antaranya undang-undang hudud, qisas dan takzir.

“Tetapi mereka (BN) sengaja memetik hudud sahaja sebagai undang-undang jenayah Islam dengan tujuan untuk menakutkan masyarakat bukan Islam dan membodohkan orang Islam. Padahal undang-undang Allah adalah untuk mendidik masyarakat, menjatuhkan hukuman tidak mudah kerana syarat-syarat yang ketat.

“Menjatuhkan hukuman mestilah dengan kehakiman, hakim mestilah dengan sifat-sifatnya, saksi dengan sifat-sifatnya, penjenayah yang memenuhi syarat keruntuhan moral tanpa terpaksa. Hakim yang membicarakan kes jenayah bukan mencari jalan untuk menjatuhkan hukuman hudud, tetapi mencari jalan bagaimana untuk membebaskan orang yang dituduh. Inilah falsafah perundangan Islam. Bahkan Islam memperkenalkan syariah kepada bukan Islam dengan tidak memaksa mereka,” ujar beliau.

Ustaz Abdul Hadi turut menghuraikan pilihan yang diberikan Rasulullah kepada masyarakat bukan Islam di Madinah dalam pelaksanaan hukuman jenayah.

PAS juga katanya, telah berjaya meruntuhkan tembok yang memisahkan masyarakat bukan Islam dengan PAS melalui lonjakan paradigma.

Ujar beliau, masyarakat bukan Islam yang mahu bersama PAS telah berada dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS dan ada pula melalui persefahaman tahaluf siasi.

Pun begitu kesalnya, masih kedengaran pertikaian dalam hubungan dengan bukan Islam sepertimana kerjasama dengan Bersih 2.0 yang diketuai Dato’ Ambiga Sreevenasan.

Menurutnya, muktakhir ini PAS telah berjaya bersama Pakatan Rakyat mewujudkan satu gagasan parti yang berjuang di atas prinsip umum dan prinsip kemanusiaan yang sama.

Pakatan Rakyat jelasnya, telah menerima secara sepakat prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengakui Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi, hak-hak Bumiputera dan kedudukan Raja-raja Melayu mengikut perlembagaan.

“Ini dipersetujui PAS, KeADILan dan DAP,” bangganya.

No comments:

Post a Comment