Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Wednesday, 5 October 2011

Pengharaman simbol 'Bulan Bintang' jenayah Umno pada Islam

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KEPALA BATAS: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Umno telah melakukan jenayah kepada Islam apabila bertindak mengharamkan lambang ‘Bulan Bintang’ yang ada pada bendera PAS suatu ketika dahulu.

“Kami orang PAS ketika itu, walaupun saya tidak terlibat membuat simbol ini, kami bertujuan menyelaraskan kehidupan orang Islam, aktiviti mereka di luar masjid dengan perkara yang mereka belajar di masjid. Bila orang Islam ke masjid, dia membaca al-Quran, mendengar ucapan syarah mengenai al-Quran dan mendengar khutbah Jumaat. Dalam khutbah Jumaat ada lima rukun yang mesti ada ayat Quran.

“Masjid ini peniaga pergi, peladang pergi, pegawai kerajaan, suami, isteri, anak, bapa dan raja pun pergi masjid. Tujuannya untuk dengar ucapan dari mimbar masjid. Bila mereka keluar masjid, masing-masing mereka akan melakukan urusan sebagaimana nasihat yang diperolehi di masjid.

“Oleh demikian sangat betul PAS meletakkan lambang ‘Bulan Bintang’ bagi membolehkan rakyat semuanya menyelaraskan hidup mereka di masjid. Tetapi Umno mengharamkan. Bila Umno mengharamkan, bermakna Umno nak yang pergi masjid, pergi sahaja, nak dengar dengar, tak nak dengar pedulilah. Keluar masjid buat sekadar suka hati. Ini jenayah dibuat Umno bukan sahaja kepada PAS, tetapi kepada Islam itu sendiri,” tegas beliau pada sidang media sempena Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, di sini 1 Oktober lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut melontarkan keyakinannya bahawa PAS yang dahulunya dikenali sebagai Parti Islam Se-Tanah Melayu dan kemudian dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia, sedikit masa lagi akan menjadi Parti Islam Se-Dunia.

Kerana Islam katanya, bukan untuk orang Arab atau orang Melayu sahaja tetapi untuk seluruh manusia “rahmatan lil ‘alamin”.

“Jadi saya minta orang Islam khasnya dan belum Islam amnya yang belum memberi perhatian kepada al-Quran yang turun dari langit. Quran turun di Makkah dan bertapak di Madinah. Macam PAS, mula-mula tubuh di Pulau Pinang, tapi bertapak di Kelantan. Kerana Quran adalah ajaran, ajaran masuk dalam pintu hati manusia. Mana yang masuk dia terima.

“Orang Pulau Pinang boleh jadi gangguan banyak dari sesama Islam nasionalis. Islam tetapi nasionalis. Tuan-tuan pernah dengar ke orang demokrasi tapi komunis, orang komunis tapi demokrasi? Kalau komunis, komunislah, tak adalah demokrasi. Kalau demokrasi, demokrasilah, kenapa pula komunis? Begitu juga muslim, muslimlah tak boleh nasionalis lagi.

“Dalam Islam dah mencakupi segalanya yang dituntut demokrasi. Apa yang dituntut dalam demokrasi segalanya ada dalam Islam. Segala apa yang dituntut nasionalis, ada dalam Islam. Segala yang dituntut komunis, ada dalam Islam. Jadi Islam ada segala-galanya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment