Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Sunday, 30 October 2011

MUSLIMAT TETAP UNGGUL DIPERSADA PERJUANGAN.....

Oleh : SARINA ISMAIL
          Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kedah





Kira-kira tiga ribu muslimat yang hadir sempena Sambutan 60 tahun PAS Peringkat Negeri Kedah anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah berikrar akan bekerja bersungguh-sungguh mempertahankan kemenangan Kedah dan seterusnya memastikan Kedah mendapat kemenangan selesa dalam pilihanraya ke-13 yang akan datang.

Dalam ucapan aluan Ketua DMP Negeri Kedah, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali, beliau mengajak muslimat yang hadir memperingati semula keberanian muslimat memali ketika berlakunya Tragedi Memali pada tahun 1985 yang lalu. Muslimat Memali ketika itu sanggup bersama-sama para muslimin mempertahankan rumah As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dari dicerobohi oleh pihak polis yang kononnya melabelkan As-Syahid seorang pengganas yang sangat dikehendaki oleh pihak polis.

Muslimat Memali bersama-sama berusaha menjadi benteng walau pun ketika itu diibaratkan 'nyawa di hujung tanduk' namun semangat kental yang ada di diri muslimat membuatkan mereka tidak berganjak walau nyawa di hujung senjata.

Beliau juga terharu dengan keberanian muslimat Kedah yang sanggup berpanas beramai-ramai menyertai Perhimpunan Bersih walau pun dihujani dengan peluru air dan gas pemedih mata. Muslimat tidak gentar dengan herdikan dan amaran dari pihak polis kerana jiwa mereka telah diasuh dan ditarbiyyah mencintai kebenaran walau terpaksa menggadaikan nyawa sendiri.

Keberanian yang diwarisi oleh pimpinan-pimpinan muslimat terdahulu samada yang masih hidup mahu pun yang telah menemui Allah Rabbul Jalil secara tidak langsung menjadi mata rantai perjuangan muslimat semakin kuat dan mantap.

Muslimat diakui oleh Presiden PAS, YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang sebagai jentera pilihanraya terbaik. Muslimat juga dilihat sebagai kelompok amilin di dalam PAS yang bekerja tanpa mengharapkan jawatan mahu pun laba hatta PAS berjaya di dalam pilihanraya.

Semangat Sumaiyyah, Mashitah, Nusaibah Al-Kaab, Ummu Sulaim hatta isteri-isteri Rasulullah SAW meresap masuk ke jiwa muslimat. Muslimat payah goyah dengan maddiyah, yang penting bagi mereka tanggungjawab perlu dilaksanakan walau harta sendiri perlu dikorbankan.

PRU ke-13 tidak menjanjikan apa-apa kepada muslimat, kemenangan Kedah juga tidak pernah memberi apa-apa habuan kepada muslimat tetapi jiwa pejuang muslimat yang kental, pantang berbunyi semboyan perang langkah terus disusun meredah onak dan badai.

Kesepaduan antara muslimat lama dan muslimat muda, antara kepandaian berbicara dan kemahiran alam maya, antara pengalaman dan kepandaian, disatukan demi melahirkan muslimat yang bertrampilan, ke hadapan, berinovasi, bermotivasi, cekap dan mantap. Yang lama diutamakan, yang muda diraikan.

Muslimat tetap berpijak di bumi nyata, hakikat PRU ke-13 walau dijangka sengit dan mencabar, kejituan semangat mempertahankan kemenangan tidak pernah luntur mahu pun tenggelam...Allahuakbar..!..

No comments:

Post a Comment