Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Ketahanan dan kekuatan PAS dalam amalan demokrasi adalah hasil dari pengalaman menghadapi cabaran rebah dan bangun serta silih ganti kepimpinannya yang terus bersabar hingga mencapai kemajuan dalam perjuangannya selama 60 tahun ini.
Perkara itu dinyatakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media sempena Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 23 Oktober lalu.
“Yang penting ialah perjuangan kita makin hari makin kuat, bukan makin lemah. Walaupun berlaku pasang surut dari keputusan pilihan raya, tapi kita sentiasa menerima keahlian yang bertambah, tak pernah susut. Bahkan kita sampai kepada peningkatan dalam melaksana dan merealisasikan politik (yakni) paling berpengalaman dari parti-parti lain.
“PAS pernah menjadi pembangkang di semua peringkat. Pernah memerintah menjadi Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu dengan kuasa penuh. Pernah menyertai Kerajaan Pusat tahun 1970 hingga 1978. Menyertai kerajaan campuran baik di Pusat mahupun Negeri. Barangkali tiada pengalaman kepada parti lain dalam semua keadaan ini, termasuk Umno sendiri,” terang beliau.
Katanya, PAS sentiasa menerima keputusan rakyat yang menjadi hakim walaupun tidak diberi peluang sepenuhnya kerana demokrasi tempang di Malaysia dengan berbagai penipuan dan penyelewengan.
Perkara itu hurainya termasuk media yang tidak boleh menjadi saksi sepenuhnya kerana tidak memberi peluang sama rata kepada semua parti politik.
Malah katanya, urusan pilihan raya berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bukannya satu badan bebas, selain daftar pemilih tidak bersih dan undi pos yang diragui kalangan Suruhanjaya Pilihan Raya sendiri.
Pun begitu ujarnya, PAS terus menerima sokongan termasuk dari kalangan bukan Islam yang menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS selain penyertaan golongan muda dari pelbagai latar belakang.
“Ini menjadi harapan baru dan masa depan yang lebih baik kepada PAS, insya-Allah,” ujarnya pada sidang media yang turut disertai Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak serta para pimpinan tertinggi PAS Kedah.
No comments:
Post a Comment