izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Kemampuan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak diyakini akan terus kekal selain terbukti kejayaan dengan beberapa pencapaian membanggakan.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa sangat berpuas hati dengan pencapaian Kerajaan Negeri Kedah walaupun sistem federalisma tidak diamal sepenuhnya oleh BN yang menguasai Kerajaan Persekutuan.
“Sehingga kini BN tidak menerima konsep federalisma. Di antaranya ialah tidak menerima hakikat keputusan rakyat di peringkat negeri memilih kerajaan negeri apabila Kerajaan Pusat melantik JKKP dan Pegawai Persekutuan sedangkan perkara itu tidak dibuat di negeri diperintah mereka.
“Bila parti lain menang dia sepatutnya menghormati kemenangan itu. Namun demikian kerajaan negeri dapat menjalankan tugas dengan baik. Apa yang penting kita dapat perkenalkan konsep kerajaan bersih dan amanah. Inilah yang penting dalam amalan demokrasi.
“Saya yakin sekiranya pilihan raya diadakan dengan adil, telus, demokrasi yangg sebenar, bukan sahaja kita boleh menambahkan kerusi kita di Kedah, bahkan kita boleh tawan juga negeri-negeri lain,” ujarnya pada sidang media sempena Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 23 Oktober lalu.
Sebelum ini, bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain juga pernah meluahkan kepada Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa akan kekagumannya terhadap pentadbiran Ustaz Azizan yang tidak meminta bantuan kewangan Kerajaan Pusat walaupun hasil negeri ini tidak banyak.
Barangkali menyedari liku-liku urus tadbir negeri dari pengalaman lalunya, Syed Razak nyata kehairanan dengan kemampuan tersebut.
Malah, mengambil contoh hasil balak, Kedah menunjukkan peningkatan hasil memberangsangkan. Bermula RM35 juta semasa mengambil alih pentadbiran pada 2008, terus meningkat kepada angka RM38 juta dan RM 53 juta pada tahun-tahun berikutnya. Manakala untuk tahun ini, diunjurkan perolehan hasil sebanyak RM76 juta.
Bahkan di mata rakyat, disebalik masih banyak perkara yang dilihat dan cuba dinampakkan tidak sempurna pada pentadbiran Pakatan Rakyat, namun jauh lebih baik berbanding pemerintahan Umno selama lebih 50 tahun.
Lantaran itulah, sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menguasai Putrajaya, segala agenda yang dicanang mampu dijayakan sebaiknya.
Apatah lagi dengan sumber negara ini yang begitu banyak sedangkan rakyatnya cuma seramai 28 juta.
Atas nisbah tersebutlah, Bank Dunia meletakkan Malaysia sebagai negara yang kaya. Malangnya, oleh kerana urus tadbir BN tidak betul, maka ketirisan dan kebocoran berlaku dengan meluas.
Untuk itu, sebagaimana seruan Ustaz Azizan, rakyat perlu terus memberi mandat kepada Pakatan Rakyat agar agenda yang dirancang dapat diteruskan seterusnya membantu dan memberi manfaat kepada rakyat.
Tidak lupa kepada Umno, beliau mengingatkan agar belajar daripada sejarah bahawa sehebat mana pun, sampai masanya Umno akan menemui ajal.
“Allah telah tegaskan setiap generasi ada tempohnya. Firaun sampai tempoh jatuh, Namrud juga jatuh apabila sampai tempoh masanya. Lambat pun tidak, cepat pun tidak. Itu penentuan daripada Allah Taala.
“Jadi saya nak suruh Umno BN belajar yang ini, jangan sombong sangat. Ini ‘adjust’ sana sini, lari sana sini, ingat dia tak mati, tak jatuh dah. Jangan menzalimi rakyat dan buat yang terbaik untuk rakyat.
“Kita pula (penyokong Pakatan Rakyat) kena istiqamah, dulu kalah kita diberi kemenangan dan apabila menang tidak mustahil kalah. Semua itu tertakluk kepada syarat Allah iaitu perlulah bertakwa,” ujarnya menasihati.
No comments:
Post a Comment