Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Thursday 6 October 2011

Peranan PAS di seantaro dunia

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KEPALA BATAS: PAS bukan hanya berpengalaman di peringkat nasional bahkan diperingkat antarabangsa, demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Jelas beliau, PAS sentiasa istiqamah untuk berpegang kepada konsep kesatuan ummah iaitu melihat seluruh umat Islam di dalam dunia ini adalah bersaudara di atas ikatan tauhid yang tidak boleh dipisahkan oleh sempadan geografi.

“PAS menyertai pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, menyertai Muassasah Baitulmaqdis bagi membela rakyat Palestin, mendamaikan semua mazhab-mazhab umat Islam yang tidak membatalkan rukun Islam. Bahkan PAS menyertai persidangan di peringkat antarabangsa melibatkan pembelaan kepada bangsa yang tertindas.

“Dr Burhanuddin al-Helmy pernah menyertai Afro-Asia di Bandung dan beberapa persidangan yang lain. Tokoh-tokoh PAS sejak dahulu hingga kini tidak memisahkan diri dengan perjuangan untuk menegakkan yang baik walau di mana sahaja,” ujarnya semasa berucap pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, di sini 1 Oktober lalu.

Terang beliau, PAS pernah menyertai gerakan Islam untuk membela negara-negara dunia Islam yang ditindas seperti misi Gerakan Islam sewaktu Perang Teluk Pertama, misi membentuk kerajaan perpaduan antara kumpulan muhajidin Afghanistan, misi pengaman konflik antara golongan Sunni dan Syiah di Yaman dan misi damai antara Acheh dan Indonesia

Malah, PAS juga katanya, menyertai misi kemanusiaan mengunjung negeri-negeri yang ditimpa bencana seperti Tsunami di Acheh, gempa bumi di Iran dan Pakistan dan menghadapi peristiwa yang berlaku di Somalia.

Jelas Ustaz Abdul Hadi, PAS menyertai setiap perkembangan yang berlaku di dalam dunia di mana paling mutakhir menyertai Persidangan Gerakan Islam di Tehran membincangkan kebangkitan Islam di Asia Barat.

PAS katanya, turut berperanan menghadapi penyakit masyarakat Malaysia dan masyarakat global yang menggeruni Islam atas nama Islamophobia.

Ujar beliau, PAS mengambil tanggung jawab untuk memperkenalkan Islam dan membebaskan penyakit manusia yang dihinggapi Islamophobia kerana ia adalah fitnah kepada Islam.

“Kajian-kajian yang dibuat secara adil, Islam yang memerintah telah membebaskan rakyat ditindas di negara yang dijatuhkan kuasa pemerintahannya. Bahkan Islam tidak memunggah hasil-hasil bumi di negara yang perintah, di Parsi, Syria, India, Palestin, Mesir dan Utara Afrika di mana penduduknya menganut Islam kerana melihat keadilan Islam dan kebaikan tidak mencuri harta rakyat dan memperhambakan rakyat.

“Sangat berbeza dengan penjajah asing yang datang menakluki yang sanggup memperhambakan, merompak dan mencuri hasil tanah jajahan,” getusnya.

Menyambung ucapan, Ustaz Abdul Hadi turut menyentuh peranan golongan yang mengukuhkan perjalanan PAS selama ini.

Jelas beliau, PAS akan terus ke hadapan dengan sokongan pelbagai pihak terutama gabungan mantap ulama dan profesional di mana dua golongan ini telah wujud sejak dari PAS ditubuhkan.

“Adanya golongan ulama dan profesional bukannya perkara baru dalam PAS, penubuhan PAS tahun 1951 yang dirayakan hari ini melibatkan para ulama dan cendekiawan berpendidikan Barat.

“PAS melahirkan pemimpin bukan sahaja seperti Tuan Guru Haji Ahmad Fuad, Dr Burhanuddin, Tuan Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor, Dato’ Asri dan lain-lain,” ujarnya.

Di sebalik nama-nama tersebut katanya, ramai lagi tokoh yang tidak diserlahkan sepertimana Almarhum Profesor Ungku Omar, Aminuddin Baki, Profesor Ahmad Ibrahim dan lain-lain.

Mereka itu disifatkan beliau sebagai pemimpin belakang tabir yang telah berjasa menyumbang kepada kekuatan PAS.

Selain itu, PAS ujarnya bukan sahaja memiliki pemimpin, tetapi juga mempunyai akar umbi yang mengakar kekuatan hingga ke atas.

“PAS telah menyerlahkan kepimpinan ulama pada 1980-an dan memperkenalkan Majlis Syura Ulama sekaligus menjadi parti Islam pertama memperkenalkan Majlis Syura Ulama dibarisi kumpulan ulama yang berwibawa bukan sahaja dari segi ilmunya tetapi juga berwibawa moral perjuangannya. Amanah dengan ilmunya, mampu merujuk kitab muktamar supaya dapat memelihara perjuangan PAS dari tergelincir di luar landasan Quran, hadis, ijmak ulama dan qias.

“Majlis Syura Ulama mempunyai peranan untuk menegak dan menegur di mana tegurannya wajib diterima mengikut perlembagaan PAS, bukannya menjadi terompah kayu macam Biro Agama Umno yang hanya untuk menarik masyarakat dan menghalang kebangkitan Islam,” tempelaknya.

PAS juga terang Ustaz Abdul Hadi, menjadi parti yang teguh dan kuat dengan bersikap terbuka menerima sesiapa sahaja termasuk mereka yang pernah disingkirkan oleh Umno.

No comments:

Post a Comment