Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Thursday 6 October 2011

Adakah negara kita sudah kekurangan ulama.....??

Oleh : SARINA ISMAIL
           Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah.



Perlaksanaan hukum hudud menjadi tajuk perbualan sana-sini. Adakah kerana ianya terlalu subjektif, terlalu sensitif  atau terlalu agresif ?

Wajar atau tidak wajar dilaksanakan? Pelbagai pendapat dikeluarkan malah pelbagai prasangka juga dipersoalkan. Sesuai ke tidak ? Rakyat boleh terima ke tidak ? Apa hal dengan orang bukan Islam ? Adakah hukuman itu boleh menginsafkan orang ramai? Tidakkan orang Islam diberi peluang berubah?
Macam-macam yang kita dengar. Semuanya itu tanggapan dan andaian, mungkin kerana mereka jahil tentangnya atau sememangnya tidak tahu faham tetapi berlagak seperti faham.

2-3 hari ini, kita dikejutkan dengan pandangan para artis mengenai kewajaran hukum hudud dilaksanakan di Malaysia oleh akhbar Sinarharian, Rabu 5 oktober 2011. Secara umumnya kita tidak menyalahkan artis-artis berkenaan kerana kita faham mereka tidak cukup ilmu untuk membicarakan hal-hal sedemikian. Walau bagaimana pun wartawan yang bertindak menemubual artis-artis tersebut perlu mengambil kira kesan kepada pembaca apabila artikel berkenaan diterbitkan.

Kita semua sedia maklum, artis merupakan golongan yang boleh menarik ‘crowd’ yang ramai terutama golongan muda dan remaja. Setiap apa sahaja dari mereka secara tidak langsung menjadi ikutan malah pegangan kepada peminat-peminat mereka. Wartawan berkenaan seharusnya berfikir beribu-ribu kali kewajaran menjadikan artis sebagai sasaran temubualnya dalam perkara-perkara yang melibatkan hukum Allah dan semestinya memerlukan pengetahuan yang tinggi untuk ulasan atau pandangan.

Sebagai contoh, sedikit masa dulu, seorang artis pernah ditanya pendapatnya mengenai “ bolehkah pasangan kekasih bercium”. Secara rasionalnya ( bukan bertujuan menghina artis) di dalam filem yang boleh dilihat oleh umum, bercium seolah-olah dicopkan halal inikan pula berselindung. Artis tersebut dengan bangga mengatakan ‘ tidak ada masalah pasangan kekasih bercium kerana itu sebagai tanda kasih sayang’. Adakah jawapan tersebut yang semua orang inginkan agar menghalalkan apa yang mereka lakukan. Begitu juga dengan tindakan seorang artis terkenal memeluk teman wanitanya dikhalayak ramai dan apabila dipersoalkan, dengan bangga beliau berkata ‘ ada ku kisah, ini kekasih dan teman wanita aku’. Belum lagi ditanya tentang bab aurat dan pergaualan lelaki perempuan.

Berbalik kepada isu hudud tadi, apabila artis ditanya mengenai hukum Allah, secara automatiknya jawapan yang diberi tentulah negatif dan banyak  andaian-andaian mengikut hukum akal tanpa dibatasi hukum syarak. Apa rasionalnya sedangkan kehidupan mereka sendiri menyimpang jauh dari tuntutan Islam.
Sebagai contoh, saya ingin berkongsi dengan pembaca pandangan yang diutarakan oleh artis Enot mengenai hukum hudud.
“Memang zaman dulu orang Islam mengamalkan hukum hudud kepada mereka yang membuat kesalahan, contohnya bagi mereka yang berzina, hukuman sula akan dikenakan. Tapi rasanya sekarang, ia tidak lagi sesuai. Malah, kita wajar memberi peluang kepada pesalah untuk berubah. Kalau hukum hudud dijalankan, pesalah terbabit terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak sempurna seperti tiada tangan, kaki dan sebagainya, Bagaimana pun semua ini tidak menjamin mereka akan insaf sepenuhnya.”

Pandangan yang diberi jelas menyimpang jauh dan menunjukkan kedangkalan dan kejahilan mereka tentang Islam. Persoalannya :
1.      Bila negara kita melaksanakan  hukum hudud?
2.      Apakah ada hukuman sula dalam hukum hudud? ( atau mungkin itu ilusi penerbit cerita lakonan P.Ramlee “ Semerah Padi”.
3.      Adakah hukuman yang ditentukan Allah tidak bersifat mendidik?
4.      Apakah kewajaran hukuman manusia lebih baik dari hukum Allah?
5.      Siapa kita yang boleh mengatakan hukum Allah tidak menjamin keinsafan pelakunya?

Secara rasionalnya, inilah hasil sistem pendidikan yang dibangga-banggakan oleh UMNO/BN sepanjang 50 tahun pemerintahan mereka. Mereka menjadi buta agama tetapi sanggup mengeluarkan pandangan mempertikaian hukum yang ditentukan oleh Allah SWT.  Apakah Pencipta alam dan seisinya tidak tahu akan perjalanan hidup makhluk-makhlukNya. Apakah kita yang hidup atas kekehendakNya, bernafas menggunakan udaraNya, makan dan minum dengan rezeki kurniaanNya boleh mencipta sesuatu yang lebih baik dariNya? Sedangkan akal manusia yang menjadi kebanggaan akan kepintarannya juga adalah kejadian dan pemberianNya.

Adakah kesesuaian hukum hudud dilaksanakan pada zaman dahulu menunjukkan zaman sekarang maksiat, zina, peminum arak dan penjenayah sudah berkurangan atau tidak ujud lagi? Adakah masalah pembuangan bayi, rompakan, rogol dan lain-lain jenayah hanya berlaku pada zaman dahulu ?

Oleh itu, untuk mengelakkan implikasi yang lebih teruk dan salah tanggapan masyarakat, sewajarnya para wartawan perlu lebih peka dalam mencari penyelesaian atau pandangan  lebih-lebih lagi berkaitan dengan hukum Allah.
Kepada Enot, diminta bertaubat di atas kata-kata anda.

No comments:

Post a Comment