Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Tuesday 4 September 2012

Pihak polis perlu bertindak adil menangani perbuatan memijak dan menghina gambar-gambar pemimpin







Perbuatan memijak atau menghina gambar-gambar pemimpin UMNO/BN  bukanlah satu benda baharu. Ianya telah diperkata dan dipersoalkan sejak era kepimpinan Tun Dr Mahadzir Mohamed lagi. Sekiranya kita semua masih ingat lagi, sekitar penghujung tahun 90an, guru-guru PASTI dituduh mengajar kanak-kanak PASTI menghina serta memijak gambar-gambar pemimpin UMNO ketika itu.

Ekoran itu, konon dikatakan baru-baru ini semasa perhimpunan Janji Bersih di Dataran DBKL, beberapa orang anak muda penyokong Pakatan Rakyat telah memijak gambar pemimpin UMNO/BN khususnya Dato’Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansur. Bukan itu sahaja malah dikatakan mereka juga sanggup menunjukkan pinggul sebagai simbolik menghina pemimpin berikut.

“ Menghina, memijak atau memperlakukan sesuatu yang aib sebenarnya bukan budaya Islam. Di dalam PAS sendiri, kita tidak pernah menggalakkan malah jauh sekali mengarahkan agar perkara dilakukan.

“ Orang Islam mana-mana juga tidak harus melakukan perkara sedemikian. Bukan sahaja melanggar adab dan batas tata susila agama malah ianya juga tidak selari dengan budaya rakyat Malaysia,“ kata Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kedah, Sarina Ismail ketika ditemui.

Tegasnya lagi, kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat amat bertepatan. Beliau sendiri kesal kerana sikap demikian bukan sikap orang Islam dan jauh sekali dengan ajaran Islam tetapi amat malang sekali perbuatan demikian dilakukan oleh orang-orang Islam.

“ Saya harap perkara sedemikian disiasat dan diambil tindakan sewajarnya. Saya secara peribadi turut mengecam tindakan tidak bermoral itu. Walau bagaimana pun, pihak polis khususnya perlu bersikap adil dalam menangani masalah ini.

“ Jangan hanya mengambil tindakan kepada mereka yang memijak gambar pemimpin-pemimpin UMNO/BN sahaja malah tindakan sama malah lebih biadap dari itu juga dilakukan terhadap pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat. Kita tidak mahu berlakunya ketidakadilan dalam menangani masalah ini,“ jelasnya lagi.

Menurutnya Sarina lagi, sikap media massa yang hanya menuding jari kepada penyokong Pakatan Rakyat amatlah dikesali, sedangkan gambar-gambar tokoh-tokoh ulama seperti Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Tuan Guru Hj Hadi Awang bukan sahaja dipijak malah dikencing dan sebagainya.

“ PAS, PKR mahu pun DAP, tidak pernah mengajar ahli-ahli dan penyokong mereka melakukan perkara tidak bermoral seumpama itu, tetapi andainya ada dikalangan mereka yang melakukannya, siasat dan ambillah tindakan tetapi UMNO juga perlu bertanggungjawab dengan sikap penyokong dan ahli-ahli mereka yang begitu bebas melakukan perkara sedemkian kepada pemimpin Pakatan Rakyat,“ katanya kesal.

Tambahnya lagi, seharusnya pihak polis tidak boleh dipersalahkan kerana ada kalanya mereka bertindak mengikut arahan orang-orang tertentu namun integriti polis itu sendiri perlu ada, ketelusan dalam menjalankan kewajipan perlu ditunjukkan, barulah orang ramai menghormati polis. Kita tidak mahu polis hanya menurut telunjuk parti politik tertentu sehinggakan ketelusan dan keadilan tenggelam begitu sahaja.

“ Saya berharap, janganlah kerana ingin menjaga hak-hak orang-orang tertentu, sikap berat sebelah menjadi amalan. Kami, Pakatan Rakyat, khususnya PAS tidak pernah sama sekali bersedongkol dengan perkara-perkara tidak beradab dan sekali lagi berharap tindakan tegas dan adil perlu diambil tanpa mengira fahaman politik ,“ sambungnya lagi.



No comments:

Post a Comment