Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Saturday 8 September 2012

Malaikat pasti menang dalam perlawanan menentang syaitan



Cemas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang perlu diadakan sebelum melewati tempohnya, Umno-BN dilihat semakin terdesak mengekang sokongan sedia ada dari beralih arah kepada Pakatan Rakyat. Apatah lagi gelombang semasa menunjukkan ramai pemimpin dari komponen itu sudah mula menyeberangi kekalutan mereka. Akhirnya, orang lama yang dianggap mentor utama Umno-BN terpaksa dikerah untuk turut membantu menarik sokongan. Malangnya, vokal semasa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat bakal menjerumuskan BN kepada jurang kekalahan dan memuncakkan Pakatan Rakyat kepada kemenangan menuju ke Putrajaya.

Kenyataan Mahathir yang menyeru rakyat menyokong syaitan yang dikenali lebih baik dari malaikat tidak dikenali hakikatnya ungkapan dosa lagi merosakkan akidah. Wartawan Harakah Kedah, IZWAN ABDUL HALIM menelusuri huraian pimpinan PAS Kedah berhubung implikasi akidah dan pengaruh kepada kemenangan kesan dari isu tersebut.

*********************************************************************************

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Md Lotfi Ariffin

Perkara yang dijanjikan syaitan adalah kebatilan dan kebatilan tiada tunjang, akhirnya dia akan tumbang. Tetapi malaikat, ia ada tunjang dan asas yang kukuh. Ia beriman dan bergantung kekuatan kepada Allah. Jadi pasti akan mendapat kemenangan dalam perlawanan menentang syaitan.

Kenyataan Tun Mahathir itu menunjukkan beliau mengiktiraf kejahatan, sama ada kejahatan itu dilakukannya sendiri dan juga kejahatan yang dilakukan BN. Ketika sama bila dia mengumpamakan PAS sebagai malaikat menunjukkan dia iktiraf PAS adalah parti yang baik dan melaksanakan kebaikan.

Jadi kejahatan BN ini bermaksud sanggup lakukan sebarang perkara termasuk menentang syariat Allah, menentang al-Quran, menentang hukum Allah, di mana penentangan seperti ini dan melakukan kejahatan ini adalah sifat serta perbuatan syaitan iblis. Berbeza dengan PAS, bila membuat kebaikan, kebajikan dan menyeru kepada pelaksanaan syariat Allah, bermakna PAS bekerja kepada menentang iblis juga.

Dengan kenyataan itu juga bermakna Mahathir terpaksa mengakui bahawa BN sekarang semakin lemah dan akan menemui kehancuran. Manakala Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat dan sedang menuju untuk mendapat kemenangan.

Maka bila dikeluarkan kenyataan seperti itu, bermakna itulah pendirian dan terserlahlah diri mereka yang sebenar. Umno diam terpaksa menerima dan seperti mengakui perkara itu. Tetapi di kalangan pemimpin mereka yang mahu merenungi hal ini dan telah mengenali jasad BN ini, akhirnya memilih untuk menyertai Pakatan Rakyat sebagaimana kita lihat kini. Tidak kiralah penyertaan itu waima kepada PAS, waima keADILan, waima DAP sekalipun.

Perkara ini berlaku hingga kepada penyokong-penyokong Umno, bila mereka nampak hakikat ini, mereka juga lari dari Umno dan memilih Pakatan Rakyat. Hal ini bukan sahaja akan mempengaruhi sokongan di Kedah, bahkan juga seluruh negara.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi

Pengakuan BN sebagai syaitan baik amat merbahaya kepada akidah umat Islam termasuk akan memberi kesan kepada pemikiran. Misalnya selama ini kita mengasuh anak-anak supaya berperangai sebagai manusia yang baik, bukan berperangai macam syaitan. Tetapi pemimpin negara menyuruh kita mengikuti syaitan. Ini bertentangan.

Bahkan, mengatakan syaitan lebih baik itu bertentangan dengan pernyataan yang disebut dalam al-Quran yang menjelaskan bahawa ‘syaitan itu adalah musuh yang nyata’.

Tetapi kita sebenarnya tidak hairan dengan kenyataan Tun Dr Mahathir itu kerana sebelum ini pun banyak kenyataan yang dibuat amat kontra dengan ajaran Islam terutamanya dalam isu hudud, mempersenda hukum Allah dan lain-lain lagi. Perangai macam syaitan  ini memang Umno sudah lama buat seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tidak memartabatkan Islam di tempat yang sebenar .  

Saya yakin dengan kenyataan ini akan membuka minda rakyat Malaysia bagaimana keadaan dan kedudukan bekas Perdana Menteri ini yang semakin tidak betul fikirannya.

Sepatutnya beliau berusaha untuk membuat amal ibadat untuk bertemu Allah, bukan dengan membuat kenyataan yang boleh menyesatkan pemikiran orang Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa istilah ‘Melayu mudah lupa’ yang pernah diungkapkan oleh beliau sebenarnya berlaku kepada beliau sendiri.

Dalam konteks mempertahankan kemenangan di Kedah dalam PRU13 ini, insya-Allah Pemuda PAS Negeri Kedah akan terus berusaha mendekati pengundi dengan aktiviti yang dijalankan disamping khidmat masyarakat dan kebajikan ditingkatkan lagi. Maksudnya, kita terus buat kebaikan dan sememangnya inilah yang kita laksanakan dari dulu dan untuk selamanya. Berbeza dengan BN yang mengakui membuat kerja-kerja syaitan.

Apatah lagi ketika ini kesedaran politik anak muda amat tinggi dan ini memberikan satu kelebihan kepada kita untuk menarik lebih sokongan anak muda kepada Pakatan Rakyat. Segala yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Kedah hari ini dengan konsep mesra rakyat dan berkebajikan serta amalan pentadbiran yang telus dan ikhlas  akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus mengekalkan kerajaan negeri sekarang ini.

Saya juga menyeru anggota Pakatan Rakyat beragama Islam agar meletakkan keyakinan tinggi dan menyandarkan harapan kekuatan kepada Allah disamping gerakerja yang dilaksanakan. Kerana keyakinan dan sandaran ini adalah formula penting kemenangan kita pada PRU13 dan juga sebarang pertembungan dengan musuh.

Kemenangan kita juga semakin dekat kerana Umno-BN tiada keyakinan dan sandaran kepada Allah. Sejak awal pemerintahan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sudahpun menunjukkan ketidakyakinannya apabila mendakwa kerajaannya hari ini bukanlah tahu segala-galanya. Sedangkan sebagai sebuah kerajaan yang telah lama dan masih memerintah dia perlu berusaha untuk tahu segala-galanya.

Kini pemimpin lagendanya, Tun Mahathir pula menunjukkan bahawa BN bersandar kepada syaitan yang dikenali rapuh dan menjurus kepada kejahatan. Pertolongan syaitan tidak membawa erti dan syaitan itu sendiri takutkan malaikat.

Ambil iktibar Perang Badar, kerana keyakinan tinggi dan sandaran tentera muslimin kepada Allah, martabat mereka dimuliakan dan para malaikat turun membantu. Musyrikin Quraisy tidak dapat melihat malaikat, sedang syaitan dapat melihat malaikat, lalu syaitan melarikan diri dari tentera kufar. Umno-BN juga akan menerima nasib seperti ini, syaitan juga akan lari dari mereka.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dr Rohani Abdul Mutalib

Tun Dr Mahathir Mohamad ini telah menjadi pemimpin tertinggi BN yang paling lama sekitar 22 tahun. Tentulah beliau lebih mengenali BN serta para pimpinan dan pengikut-pengikutnya.

Hari ini beliau memperakui BN itu adalah syaitan yang dikenali. Maknanya beliau suruh rakyat sokong syaitan ini, sedangkan syaitan adalah makhluk yang jahat dan mengajak kepada melakukan perbuatan keji. Apa sudah jadi kepada Tun Mahathir ini? Dia sedar atau tidak ucapannya itu?

Sebagai orang Islam, difahamkan ajaran Islam dan mengaku beriman kepada Allah, syaitan adalah sebenar-benar musuh yang dituntut kita memeranginya. Syaitan makhluk yang kita wajib lawan dan selalu kena minta dari Allah agar dijauhi daripada syaitan ini. Jadi bila adanya perakuan dari orang paling berpengaruh ini bahawa BN itu adalah syaitan yang dikenali, maka seluruh rakyat, baik orang Islam termasuk penyokong BN perlu menolak BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

Akidahnya makin celaru apabila beliau menyatakan Pakatan Rakyat adalah malaikat yang tidak dikenali dan tidak boleh disokong. Tahukah dia malaikat adalah makhluk yang baik dan tidak pernah ingkar suruh Allah SWT? Orang Islam juga wajib beriman dengan malaikat dan ia termasuk rukun iman. Jadi bagaimana seorang Islam boleh memperlekehkan malaikat?

Bermakna dia seru pula rakyat jangan sokong orang yang baik, ingin buat kebaikan dan menurut perintah Allah. Jadi sudah masanya rakyat sedar, betapa celarunya akidah pemerintahan BN dari dulu hingga sekarang. Macam mana kita hendak harapkan mereka memimpin untuk kebaikan dunia akhirat?

Bersandarkan isu ini, PAS Kedah mampu pertahankan kemenangannya pada PRU13 ini kerana Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS di Kedah telah membuktikan bahawa kita kerajaan yang baik.

Misalnya kita adalah kerajaan sifar rasuah di mana komitmen kepimpinan kita telah terbukti hingga kita juga mampu mengaut hasil untuk kepentingan rakyat dari tahun ke tahun yang semakin meningkat. Semua ini membolehkan kita buat kebaikan dan kebajikan untuk rakyat. Kebaikan kita ini tidak menunjuk dan tidak bermusim, tetapi agenda setiap masa. Kita membuat kebaikan kepada rakyat walaupun disebalik itu kita ditohmah dan diburukkan.

Rakyat semakin hari makin menyedari kebobrokan pimpinan BN, sedang pemimpin Pakatan Rakyat setiap hari menggandakan kebaikan kepada rakyat. Jadi bila semakin teruk dan buruk perbuatan BN, semakin mudahlah kita kepada kemenangan.




No comments:

Post a Comment