Oleh : SARINA ISMAIL
ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kedah
Kita dapati sejak akhir-akhir ini, serangan dari UMNO terutamanya dari Cyber Trooper upahan mereka semakin menjadi-jadi. Mereka tidak lagi segan silu memfitnah, memaki hamun, mencarut, menggunakan istilah lucah dan ada yang sanggup mempamerkan gambar-gambar berunsur seks, fitnah, menghina dan menjatuhkan maruah orang lain.
Kalau kita melayari blog atau facebook, kita dapati gambar-gambar ulama di 'edit' tanpa rasa bersalah atau takut. mereka tanpa segan silu mempersendakan para ulama yang diiktiraf sendiri oleh Rasullullah SAW sebagai pewaris para nabi.Bukan itu sahaja malah hukum Allah jua dipersenda menggunakan kartun, binatang dan lain-lain simbol semata-mata memuaskan nafsu jahat mereka mempermainkan agenda yang dibawa oleh PAS.
Mungkin bagi mereka satu kepuasan tetapi bagi kita pencinta kebenaran, kita merasakan perbuatan sebegini bukan sahaja menimbulkan tidak senang di hati orang-orang Islam malah ia juga boleh mengundang bala Allah SWT.
Akhlak yang dipamerkan oleh Cyber Trooper upahan UMNO ini secara tidak langsung memperlihatkan kepada kita sikap sebenar mereka terhadap Islam. UMNO sengaja mewujudkan situasi sebegini dengan harapan meniupkan api kemarahan ahli dan penyokong PAS serta mengharapkan sesuatu yang di luar jangkaan berlaku dan secara tidak langsung mendatangkan keuntungan kepada mereka. Tetapi mereka lupa, permainan sepak terajang mereka ini bukan sahaja menimbulkan kebencian ahli dan penyokong PAS malah ianya turut mendapat kecaman dari orang-orang yang cintakan Islam dan sayangkan Rasul.
Mungkin UMNO sudah ketandusan isu. Korek di sana sini tidak jumpa juga isu-isu relaven yang boleh dijadikan bahan membidas Pakatan Rakyat. Maka dengan akal yang sempit serta iman yang nipis, mereka menyerang peribadi pemimpin tertentu, mempermainkan hukum Islam dan mempersendakan ulama. Setiap isu yang mereka timbulkan kita dapati hanya mengikut nafsu serakah tanpa dibatasi iman dan jauh sekali dengan fakta-fakta yang lengkap dan kemas. Bukan sahaja serkap jarang tapi serkap telah robek dan pecah. Serkap sahaja yang berdentum-dentam tapi barang yang hendak diserkap tidak dapat ditangkap.
Inilah nilaian tarbiyyah UMNO kepada ahlinya terutama anak-anak muda yang dijadikan Cyber Trooper mereka, siang malam diasuh dan disuruh menghina Islam dan ulama. Amat malang sekali, Cyber Trooper ini di bayar upah yang bukan sedikit nilaiannya, mencecah ribuan ringgit, ada diantara mereka dibayar sama nilainya dengan elaun atau mungkin lebih dari wakil rakyat. Dengan duit upahan itulah setengahnya menyara anak isteri mereka, dengan hasil duit menghina Islam dan ulama itulah mereka membesarkan , memberi makan , menyekolahkan anak-anak mereka. Lupakan mereka wang haram bukan sahaja lahir dari perbuatan seperti mencuri, menipu, jual arak ( tapi yang ada lesen...katanya tidak haram), jual dadah, melacur dan lain-lain malah duit dari hasil pekerjaan menjadi pemikir untuk menjahanamkan Islam, mempermainkan hukum Allah dan mempersendakan ulama juga sama hukumnya..HARAM. Entahkan pula di mana sumber kewangan diperolehi, dari tauke judi, tauke pub, rasuah dan bermacam-macam lagi, sudah tentulah 2 kali ganda hasilnya haram.
Kita berharap agar mereka yang sanggup menjadi Cyber Trooper upahan UMNO ini, kembalilah kepangkal jalan.Bertaubatlah sebelum Allah menurunkan bala atas perbuatan anda. Masih banyak lagi cara yang halal untuk mencari sumber pendapatan. Ingatlah, Islam tidak rugi dengan perbuatan anda, jemaah Islam tidak akan goyah dengan perbuatan anda, ulama tetap disanjung walau anda menghina mereka tetapi anda sendiri akan binasa dengan perbuatan anda.
Tepuk dada tanyalah iman....
No comments:
Post a Comment