Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Wednesday 7 December 2011

Dia sapu hak orang tak apa...cuba DAP yang buat...

Pas bantah pelantikan orang luar
Oleh : NORJIMI AZMI LATIF
Tarikh : December 7, 2011



KUALA LUMPUR – Pas membantah Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) dan Turus yang akan dilaksanakan tahun depan diberi kepada orang luar, terutamanya dari pihak swasta, dengan tidak memberi peluang kepada penjawat kerajaan untuk mengetuainya.
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pelantikan yang dilakukan secara politik dan kontrak untuk jawatan Jusa dan Turus kepada orang luar, seolah-olah tidak mempercayai kebolehan penjawat awam.

“Saya menggesa (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) supaya tidak melaksanakan dasar ini kerana boleh memburukkan keadaan. Ini kerana, mereka belum tentu boleh dipercayai untuk menyimpan rahsia negara. Perkara ini amat bahaya.

“Tidak semestinya orang luar yang hebat dan terbukti berjaya menerajui syarikat swasta boleh diambil untuk mengetuai pentadbiran awam. Begitu juga apabila jawatan ini diserahkan kepada orang politik yang terkenal dalam sesebuah parti yang bukan bermatlamat untuk memartabatkan institusi ini,” katanya.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dasar ini tidak adil kepada penjawat kerajaan sekiranya mereka yang menerajuinya adalah dalam kalangan orang politik yang telah dipinggirkan dan memegang jawatan itu seolah-olah untuk memujuk mereka supaya menyokong kerajaan.

“Ini memberi gambaran buruk kepada sektor ini pada masa hadapan kerana diterajui mereka yang dipilih melalui kabel politik, manakala kakitangan kerajaan yang bagus, tetapi tidak sebulu dengan kerajaan akan dipindahkan ke jawatan rendah. Itu hak mereka untuk menyokong parti politik mana yang mereka suka.

“Jika perkara ini berterusan, ia akan menjejaskan nama baik sektor awam apabila yang menerajuinya bukan sahaja tidak berkelayakan, malah tiada pengalaman,” katanya.

Selain itu, menurutnya, ia juga menyekat kenaikan pangkat pekerja awam di negara ini dan mewujudkan satu keadaan lambakan pekerja yang tidak inovatif dalam sektor awam kerana mengetahui mereka tidak mampu mengisi jawatan tertinggi melalui kenaikan pangkat.

“Andainya kerajaan tidak boleh mencari calon yang berkelayakan untuk mengisi jawatan, kita sepatutnya ada satu mekanisme untuk mengatasi masalah ini. Saya rasa ia boleh diatasi dengan peranan dimainkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

“Saya turut menyokong jika jawatan itu ditawarkan kepada orang muda yang berkelayakan melalui kenaikan pangkat dan pemilihan tertentu,” katanya.

Menurutnya, jika Najib ingin teruskan juga, Pas akan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk menyerahkan nota bantahan kepada Majlis Raja-raja.

No comments:

Post a Comment