Oleh: Zulkifli Yahaya
Kunjungan singkat ke Thailand bersama beberapa orang aktivis parti dari Kedah yang diatur oleh World Assembly of Muslim Youth (WAMY) telah menemukan kami dengan beberapa komuniti sosial di negara jiran itu. Tidak terkecuali beberapa buah parti politik pembangkang. Antara yang bersama dalam rombongan ialah YB Ustaz Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap), YB Izzat Shauki (Timbalan Speaker DUN Kedah), YB Mohd Nasir Mustafa (ADUN Kubang Rotan), Sdr. Firdaus Salleh (Pegawai Perhubungan Awam Kolej Universiti Insaniah), Ustaz Ridhuan Abu Bakar (Ketua Penerangan PAS Kuala Kedah) dan Sdr. Shabani Saad (aktivis PAS).
Hampir kesemua aktivis politik Thailand dan pemimpin umat Islam negara itu yang ditemui tahu perkembangan politik Malaysia. Mereka tidak perlu diperkenalkan lagi dengan dua pemimpin besar dari PAS iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Dato' Nik Abdul Aziz Nikmat. Mereka sangat mengkagumi Anwar Ibrahim. Kebetulan kehadiran kami hanya sehari selepas Anwar dibebaskan oleh mahkamah dan kehadiran kami sebagai pihak parti pembangkang dari Malaysia, maka Anwar tidak putus-putus dihujani ucapan tahniah. Beliau disifatkan telah 'bebas dari kezaliman' dan 'Perdana Menteri' yang sedang menunggu giliran. Entah siapalah agaknya yang 'berjaya menghasut' para pemimpin politik di Thailand sehingga meletakkan kepercayaan yang begitu tinggi terhadap Anwar.
Kebetulan juga rombongan kami dapat bertemu Ketua Pembangkang Thailand, Abhisit lalu sempat bertukar pandangan mengenai politik di kedua negara. Bekas Perdana Menteri yang juga ketua Parti Demokrat itu melahirkan harapan untuk melihat perubahan positif berlaku di Malaysia.
Abhisit meskipun kalah dalam pilihanraya umum Thailand yang diadakan pertengahan tahun lalu, tetapi beliau sangat berpengaruh. Parti Demokrat memenangi dari 179 dari 500 kerusi Parlimen. Ahli parlimen dipilih berdasarkan gabungan dua kaedah; calon-calon yang memenangi kawasan pilihanraya (375) dan calon-calon yang mewakili parti (125) yakni jumlah kerusi berdasarkan peratus keseluruhan undi diperolehi.
Demokrat menguasai kerusi di Bangkok dan Selatan Thailand, manakala Pher Thai di Utara dan kawasan berpenduduk miskin. Sama macam BN, bagi Pher Thai kejahilan dan kemiskinan adalah aset yang berharga. Adakah Demokrat boleh disimpulkan hampir sama dengan Pakatan Rakyat, kerana menguasai golongan bandar dan kelas menengah ke atas dan golongan yang kuat pegangan Islam?
Sekali imbas, demokrasi di Thailand lebih adil kerana memberi hak kepada parti yang mendapat sokongan mampu memperolehi kerusi, di samping hak rakyat memilih wakil di kawasan mereka tidak diketepikan.
(Pertemuan dengan pemimpin Parti Demokrat Thailand)
Sepertimana Malaysia, Thailand juga adalah sebuah negara demokrasi yang mempunyai sistem beraja. Ada kalangan pemimpin politik Parti Demokrat yang menganggap amalan demokrasi masih tidak sempurna di negara itu kerana Parti Pher Thai (Untuk Thai) pimpinan Yingluck didakwa menggunakan kekayaan bekas Perdana Menteri Thaksin Chinawat (abang kepada Yingluck) untuk membeli sokongan.
"Kami tidak ada duit seperti mereka (Pher Thai) untuk membeli ruangan iklan yang mewah, juga untuk mengatur gerakerja kempen yang menggunakan kos yang besar," kata seorang ahli parlimen Parti Demokrat. Namun mereka tiada halangan pula untuk berbuat demikian, cuma mungkin ada kekangan dari pihak parti sendiri. Apabila parlimen dibubarkan tiada siapa boleh berkempen menggunakan kapasiti kerajaan. Semua parti politik adalah serupa dari segi mendapat hak berkempen. Media bebas, suara semua pihak tidak disekat. Semua parti diberi peluang berkempen dalam media milik kerajaan.
Tapi di Malaysia, halangan pembangkang bukan setakat kewangan, pembangkang disekat dari segenap penjuru dan diserang juga dari segenap penjuru. Parti kerajaan dibenarkan mengadakan rapat umum atas nama kerajaan, menggunakan jentera kerajaan tetapi berkempen untuk BN. Media utama dalam negara dikuasai 100 peratus oleh parti yang memerintah.
Jika di Thailand, parti pro Thaksin didakwa menggunakan wang parti untuk membeli undi tetapi di Malaysia, BN menggunakan duit kerajaan (juga adalah duit rakyat) untuk membeli undi.
Parti Demokrat Thailand merasakan seolah-olah demokrasi tidak begitu sempurna di negara itu hanya kerana pihak lawan didakwa membeli undi tetapi di Malaysia demokrasi sangat pincang kerana BN bukan setakat 'membeli' tetapi menguasai dan mengongkong sepenuhnya sistem yang ada.
"Kalau begitu demokrasi di Malaysia perlu dibetulkan, kena gerakkan usaha membetulkan perkara itu," saran seorang pemimpin parti kecil dari kalangan pembangkang. Belum sempat dijelaskan, mereka lebih tahu mengenai usaha membersihkan demokrasi di Malaysia melalui himpunan Bersih 2.0 yang diadakan tahun lepas.
Setiap kali mengkaji sosio politik negara luar, khususnya negara demokrasi saya lebih tertarik melihat pengamalan demokrasinya. Setakat ini belum ditemui sebuah negara yang sangat hodoh amalan demokrasinya melainkan di Malaysia.
Seluruh dunia juga melihat betapa hodohnya amalan demokrasi di Malaysia, cuma UMNO yang melihat demokrasi di Malaysia adil. UMNO macam tidak pernah lihat demokrasi di negara luar. Macam katak bawah tempurung.
Lawatan yang menarik juga dalam misi kunjungan singkat ke negara Gajah Putih itu ialah ke badan penyiaran Thailand Muslim TV (TMTV). Kompleks penyiarannya begitu ringkas sekali. Di situlah terletaknya sekolah, masjid dan studio rakaman. Kira-kira sebesar Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, tapi dari situ rancangan dakwah melalui TV dipancarkan ke seluruh Thailand. Kehadiran kami diraikan dalam rancangan khas yang disiarkan secara langsung. Setiap orang dari kami berpeluang untuk bercakap. "Dok kat Malaysia pembangkang takdak peluang masuk TV, kena mai Siam baru boleh masuk TV," gurau YB Nasir.
(Bersama Pengarah Pusat Islam Thailand)
Kami juga sempat melawat Pusat Islam Thailand yang juga terletak di Bangkok. Kami diraikan dengan taklimat dan dailog. Meskipun masyarakat Islam Thailand adalah minoriti, iaitu 10 peratus dari penduduk, tetapi mereka sangat gigih membangun dan memantapkan komuniti Muslim. Apa yang sangat ditekankan oleh mereka ialah kualiti umat Islam di sana. Alhamdulillah orang Islam kini berada di mana-mana saja dalam komuniti sosial di Thailand. Pusat Islam tidak terhad menabur bakti untuk umat Islam sahaja. Mereka juga giat dalam aktiviti kemasyarakatan. Misalnya sewaktu banjir besar melanda Bangkok baru-baru ini, mereka turut turun menyinsing lengan membantu mangsa banjir.
Program terakhir kami ialah pertemuan dengan sebuah parti umat Islam Thailand yang dipimpin oleh General Sonthi Boonyaratglin yang pernah merampas kuasa menggulingkan Thaksin. Sonthi tidak dapat hadir di majlis makan malam meraikan rombongan kami itu tapi dia mengarahkan orang nombor duanya datang dari jauh mewakilinya untuk meraikan kami. Banyak isu yang dibincangkan secara bersantai merangkumi politik, sosial dan ekonomi sehingga tidak terasa waktu mencecah dinihari.
Thailand sangat dekat di mata rakyat Malaysia kerana ia negeri yang bersempadan. Tanpa pertemuan begini ia boleh menjadi 'dekat di mata tapi jauh di hati.' Alhamdulillah misi singkat rombongan aktivis PAS Kedah ke Thailand mendekatkan yang di hati.
No comments:
Post a Comment