KEDAH dilihat sebagai model pemerintahan PAS selepas Kelantan. Disebalik pelbagai halangan dan kekurangan, agenda ‘Sejahtera’ tetap konsisten diketengahkan. Walaupun PAS telah membuktikan keupayaannya, kerakusan BN untuk merampas kembali tidak pernah pudar. Apatah lagi usia sepenggal tidak memadai merungkai segala persepsi yang telah tertanam di benak rakyat selama ini. Wartawan Harakah Kedah, IZWAN ABDUL HALIM mendapatkan Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah, Senator Muhamad Yusof Husin dalam membicarakan persediaan PAS Kedah mengekalkan pemerintahannya pada PRU13.
HARAKAH: Sejauh mana PAS Kedah bersiap untuk memastikan pemerintahan kerajaan negeri terus dapat dikekalkan pada penggal seterusnya?
MUHAMAD YUSOF HUSIN: Kita selepas PRU-12 lalu telah menyusun kembali jentera kita walaupun pada peringkat tahun pertama 2008 itu banyak urusan lain. Setelah selesai pembentukan kerajaan dan menyusunan semula lajnah-lajnah peringkat Badan Perhubungan PAS Negeri. Sehingga sekarang ini persiapan kita untuk menghadapi pilihan raya sudah bersedia sepenuhnya meski pun terdapat teknikal lain yang belum beres. Tetapi secara keseluruhannya boleh dikatakan telah sempurna. Cuma sekarang ini kita dalam proses rayuan kepada pengundi-pengundi PAS dan Pakatan Rakyat di luar kawasan pengundian iaitu di luar parlimen dan di luar negeri Kedah supaya mereka ini pulang mengundi apabila berlaku PRU-13 kelak. Perkara ini bukanlah perkara kecil kerana pada PRU-12 lalu, terlalu ramai pengundi kawasan di negeri Kedah tidak pulang mengundi menyebabkan kita menang tipis di beberapa dun seperti Bukit Lada, Ayer Hitam, Tanjong Dawai, Jeneri dan Pantai Merdeka. Paling mengecewakan sebahagian besar pengundi-pengundi luar kawasan yang tidak pulang mengundi ini menyebabkan kita terpaksa menerima kekalahan di Belantik dan Kota Siputeh. Jadi sekarang tumpuan kita untuk memastikan dalam pilihan raya akan datang pengundi-pengundi luar kawasan ini, walau di mana mereka ada, supaya mereka kembali menunaikan tanggung jawab. Jika sekiranya ada sebarang masalah yang mereka hadapi untuk pulang mengundi atau mendapatkan maklumat tempat mereka sepatutnya turun mengundi, mereka boleh hubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pilihan Raya PAS Kawasan atau Pejabat Pilihan Raya Majlis Tindakan Dun yang berkenaan. Jadi itu persiapan kita.
Bagaimana situasi letak duduk PAS pada tahap ini? Masih memerlukan lonjakan atau bertahan?
Dalam pilihan raya lalu PAS memenangi 16 daripada 24 kerusi yang ditandingi, KeADILan menang lima kerusi dan DAP menang satu kerusi. PRU akan datang, PAS tetap bertanding di 24 dun. Sudah tentulah kita perlukan lonjakan supaya kerajaan Pakatan Rakyat akan datang ini menjadi kerajaan yang mantap, di mana sasaran kita adalah untuk melepasi 2/3 majoriti. Di mana sasaran itu bukan sahaja kita PAS akan memenangi lebih dari 16 kerusi, tetapi KeADILan dan DAP pun sangat berharap kerusi yang ditandingi akan kita dapat menangi. Jadi, kita bukan sahaja hendak kekalkan kemenangan, tetapi perlu mengadakan lonjakan agar Kerajaan Pakatan Rakyat lebih kuat di negeri Kedah.
Adakah Senator selaku Pengarah telah memastikan tahap siap siaga jentera telah dilaksanakan hingga ke akar umbi?
Ini perkara lumrah di Kedah mahupun negeri lain, akar umbi akan agresif apabila diketahui parlimen dibubarkan. Pun begitu alhamdulillah, peringkat di Kedah ketika ini kita telah berjaya memberikan kesedaran dan peringkat akar umbi telah pun menggerakkan kerja-kerja. Kita telah memberi peringatan kepada mereka bahawa biarpun kita adalah pemerintah, tetapi yang bertanding itu bukan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah sebaliknya adalah parti iaitu PAS, KeADILan dan DAP. Maka, untuk menyertai pilihan raya, untuk melaksana tugas pilihan raya, untuk melakukan gerak kerja pilihan raya, untuk memenuhi tuntutan pilihan raya, adalah jentera parti. Jentera kerajaan yang ada sekarang tidak terlibat langsung. Ini telah dapat kita sedarkan dan alhamdulillah kita di Kedah ini misalnya peralatan pilihan raya kita kenakan bayaran kepada semua peringkat peti undi kita. Mereka perlu membayar dan setakat ini kita telah terima lebih dari separuh jumlah yang kita perlukan. Ini menunjukkan komitmen mereka dan kita diperingkat akhir menyediakan semua peralatan ini. Insya-Allah, ketika ini petugas-petugas pilihan raya kita telah memahami mereka perlu menyediakan segala keperluan untuk menghadapi pilihan raya sejak dari pada masa sekarang. Pun begitu, lumrahnya biar macam mana pun persiapan kita, akan ada perkara-perkara yang perlu dilakukan saat akhir. Ini sama macam kita hendak kendurilah, siap macam mana pun, akan ada perkara yang hanya dapat dipenuhi di saat akhir. Ini pun kita sudah ada plan tindakan menyelesaikannya.
Mengapa rakyat perlu terus memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk mengekalkan pemerintahan akan datang?
Panjang jika nak hurai perkara ini. Macam dilaporkan dalam Warta Darul Aman serta bahan-bahan penerangan lain menunjukkan bahawa program, agenda dan usaha kerajaan ini masih memerlukan penggal seterusnya untuk rakyat dapat menilai prestasi Kerajaan Pakatan Rakyat yang didokongi oleh PAS sama ada projek pertanian, pendidikan, perusahaan dan sebagainya. Ambil contoh Kolej Universiti Insaniah di mana pembinaannya telah lebih 50 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2012. Sesi pengajian dengan 44 kursus pula akan dimulakan pada pertengahan tahun 2013. Jika Pakatan Rakyat gagal mempertahankan kerajaan, maka kita tidak tahu bagaimana nasib sistem pendidikan yang kita sedang atur ini. Begitu juga perkara-perkara lain. Jadi kita perlu memenangi pilihan raya nanti untuk menjadi faktor yang rakyat boleh lihat akan wawasan kepimpinan Pakatan Rakyat mengenai mustahaknya perkara-perkara ini terus dilangsungkan dengan memberi mandat seterusnya kepada Pakatan Rakyat. Termasuk juga projek Sungai Limau Hydro Carbon Hub (SULIHH), projek-projek perladangan dan sebagainya, semuanya akan memberi pendapatan besar untuk agihan kepada kepentingan rakyat, tetapi hasilnya hanya akan diperolehi selepas tempoh penggal pemerintahan ini.
Apakah faktor-faktor yang membolehkan PAS terus kekal pada penggal seterusnya?
Kita yakin rakyat sudah melihat, walaupun masa yang singkat, belum pun sampai empat tahun, rakyat sudah melihat Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS ini mempunyai perbezaan yang amat jauh berbanding kerajaan terdahulu. Contoh paling ketara Bajet Negeri selama dua tahun berturut-turut yang pada awalnya defisit tetapi pada akhirnya menjadi ‘surplus’ (lebihan) maknanya pendapatan melebihi dari jangkaan dan pendapatan ini dapat menghilangkan defisit. Ini sepertimana dalam Laporan Ketua Audit Negara betapa cekapnya pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat ini dibantu kuat para Pegawai Tadbir Negeri Kedah hinggakan membawa kepada kejayaan ini. Sedangkan Kerajaan Pusat, sudah 14 tahun membentangkan bajet defisit dan tidak pernah berlaku ‘surplus’. Begitu juga peningkatan hasil bumi terutamanya balak yang begitu jauh perbandingannya dengan pendapatan kerajaan terdahulu. Ini menunjukkan ketelusan dan sifar rasuah berbanding dahulu, ini rakyat sedar. Kerana itu di awal pemerintahan dahulu, Menteri Besar berani mengumumkan penurunan cukai tanah, rakyat sedar dan faham kerajaan kekurangan pendapatan RM50 juta setahun. Tetapi dengan penjimatan tadi, ketelusan, dapat menambah pendapatan dan mengurang perbelanjaan, akhirnya pendapatan itu kembali menampung kekurangan akibat penurunan tersebut. Begitu juga Skim Kafalah yang kita perkenalkan telah ditambah lagi jumlahnya. Ini semua hasil pertambahan pendapatan kerajaan negeri kerana ketelusan pentadbirannya dan kekurangan perbelanjaan kerana penjimatannya. Faktor-faktor ini akan menyedarkan rakyat bahawa pemimpin yang ada ini tidak meletakkan kepentingan peribadi untuk mendapat keuntungan kepada diri mahupun keluarga. Sebaliknya semua keuntungan ini menjadi hasil yang dikembalikan kepada rakyat sama ada berbentuk penurunan cukai tanah, berbentuk kafalah, berbentuk bantuan pendidikan dan pelbagai lagi.
Sejauh mana perkembangan politik semasa dalam negara dan dunia membantu sasaran kepada kemenangan?
Perkembangan ini terlalu banyak, terbaru kalau tidak silap saya ada buku ditulis Pak Habib Syed Hussein Al-Attas yang mendedahkan terlalu banyak penyelewengan Kerajaan Pusat dari kepimpinan tertinggi dan kepimpinan lain. Saya belum membaca buku ini tetapi telah diberikan maklumat mengenainya. Sekarang ini rakyat mendapat maklumat bukan sahaja dari TV1, TV2, TV3 atau TV9 atau Astro, tetapi rakyat dapat maklumat dari pelbagai bentuk yang rakyat dapat menilai. Jadi perkembangan politik ini terutama golongan muda mereka tidak menyokong BN. Ini akan membantu lagi lonjakan buat PAS dan Pakatan Rakyat di negeri Kedah dan mengekalkan kemenangan untuk penggal seterusnya.
No comments:
Post a Comment