Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Monday 27 February 2012

PAS Kedah sangkal dakwaan Exco boikot

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad menyangkal dakwaan media kononnya lima Exco Kerajaan Negeri Kedah daripada PAS memboikot mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak di Kompleks PAS Kedah, di sini pada 25 Februari lalu.

Jelas beliau, tidak timbul isu memboikot mesyuarat kerana antara Exco dimaksudkan itu bukanlah ahli mesyuarat tersebut dan ada pula sedang mengikuti program rasmi kerajaan.

“Semalam itu mesyuarat Lajnah Politik Dan Pilihan Raya PAS Kedah. Bukan semua Exco berkenaan ahli jawatankuasa lajnah ini. Ini mesyuarat parti, bukan mesyuarat kerajaan.

“Mesyuarat itu pun membincangkan mengenai persiapan pilihan raya. Jadi mengapa mesti Exco berkenaan hadir jika mereka bukan ahli mesyuarat dan tidak pula dijemput?” persoalnya menyanggah laporan tersebut.

Terang beliau, Ustaz Azizan mengendalikan mesyuarat tersebut sebagai rutin biasa atas kapasitinya selaku Pengerusi Lajnah.

Oleh itu beliau menasihatkan pihak media lebih beretika dalam mengemukakan laporan dan terlebih dahulu merujuk sesuatu perkara tanpa perlu mengada-adakan cerita yang tidak jelas.

Ustaz Musoddak juga melahirkan rasa hairan dengan kehadiran wartawan pada hari mesyuarat tersebut sedangkan tiada panggilan untuk mengadakan sidang media, malah tidak pernah berbuat sedemikian sebelum ini.


No comments:

Post a Comment