Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Thursday 8 March 2012

Sahsiah umat Islam teladan masyarakat

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KUALA KETIL: Islam gagal dijelaskan kepada masyarakat apabila umat Islam sendiri tidak menjadi teladan dalam menjaga tindakannya, demikian mesej yang cuba dijelaskan Mufti Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad.

Menurutnya, kebaikan Islam tidak dapat ditunjukkan kepada umum apabila orang Islam sendiri tidak mengamalkan Islam.

Antara kebiasaan dalam masyarakat hari ini jelasnya, adalah seperti perbuatan berbohong, mungkir janji dan mengkhianati amanah.

Hal itu katanya, tentu sekali menyukarkan untuk menjelaskan mengenai kepimpinan Nabi Muhammad SAW dan segala perbuatan Baginda hinggalah naungan Islam kepada soal jaminan kedamaian, penghakisan kezaliman, atur urus keluarga dan kasih sayang.

“Kerana Baginda datang untuk menyempurnakan akhlak. Bukan setakat akhlak mulia, tetapi dipupuk kepada kesempurnaan. Bukan lagi terap akhlak tetapi hingga kepada sempurna iaitulah “makarimal akhlak”. Maka kita, kena pamerkan akhlak Nabi dalam kehidupan kita,” ujarnya pada Forum Maulidur Rasul bertajuk “Islam Untuk Semua” di Padang Awam Kuala Ketil, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Dato’ Ustaz Taib Azamudden Md Taib pula dalam bicaranya pada forum itu memetik kata-kata Mufti Mesir, Professor Dr Ali Jum‘ah, bahawa setiap peribadi Muslim adalah peribadi politik.

Jelas beliau, ia bermaksud bahawa seseorang Islam tidak boleh terpisah dengan politik di mana sekiranya berpisah dengan politik, maka tidak sempurnalah Islamnya. Begitulah juga tidak sempurna politik sekiranya bercanggah dengan syarak.

Demikian itu, ia bercanggah dengan pandangan bahawa politik itu adalah kotor sebagaimana sebahagian pandangan masyarakat.

Hakikatnya ujar beliau, fahaman politik kotor adalah lantaran doktrin Machievelli yang mementingkan soal perebutan kuasa.

Sedangkan katanya, Islam mengajarkan bahawa politik itu sebagaimana pandangan Imam Hasan al-Banna iaitu membawa manusia kepada kebaikan dan menjauhi dari kerosakan, kemusnahan dan kejahatan selagi mana politik itu tidak bercanggah Islam.

“Jadi, politik ini tidak ada masalah, tetapi penyebab masalah adalah manusia yang membawa politik itu. Islam mengajar kita bahawa politik bukan perebutan kuasa tetapi mendokong amanah Allah SWT,” terang beliau.


No comments:

Post a Comment