Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Monday 5 March 2012

Sokong keputusan PAS Pusat, fokus PRU13

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

JERAI: PAS Kawasan Jerai melihat keputusan PAS Pusat terhadap isu di Kedah sebagai formula penyelesaian terbaik dalam memastikan kepentingan rakyat kekal terjamin dan agenda untuk rakyat dapat diteruskan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui PAS bersama KeADILan dan DAP.

Setiausaha PAS Kawasan Jerai, Muzaini Azizan berkata, pihaknya mendokong penuh keputusan dibuat PAS Pusat mengekalkan Dato’ Seri DiRaja Ustaz Haji Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar Kedah serta meminta Dato’ Ir Haji Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Dr Ismail Salleh kembali menyertai barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak akur dan menghormati keputusan tersebut.

Menurut beliau, pihaknya yakin dan optimis bahawa keputusan tersebut akan mengukuhkan lagi PAS Kedah, seterusnya mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

“Sememangnya menjadi hasrat rakyat negeri Kedah amnya, bahkan pendokong PAS di seluruh negara agar salah faham yang timbul direda dan diselesaikan sebagai satu keluarga.

“Atas usaha tersebut, PAS Kawasan Jerai merakamkan jutaan terima kasih kepada PAS Pusat dan juga seluruh rakyat dan pendokong PAS atas harapan, keprihatinan, doa dan sokongan tidak berbelah bagi yang telah ditunjukkan,” ujarnya.

Demikian itu juga, atas komitmen bersama rakan Pakatan Rakyat, beliau menyeru kepada semua untuk kembali memberi fokus ke arah Pilihan Raya Umum Ke-13 yang semakin jelas tanda-tanda akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, saf jentera di semua peringkat mesti dipertautkan kembali kepada komitmen mengekalkan kemenangan Pakatan Rakyat di Kedah dengan keputusan lebih baik seterusnya menjamin laluan ke Putrajaya.

Beliau optimis bahawa ahli PAS di semua peringkat cukup berpengalaman dalam memahami perkara yang berlaku sebagai sunnah perjuangan Islam ini.

“Hakikatnya, perkara yang menjadi ujian buat pentadbiran sulung PAS Kedah ini adalah untuk meneguhkan dan mematangkan lagi PAS Kedah dalam mengemudi sebuah pemerintahan kerajaan negeri,” yakini Muzaini.

Katanya, PAS Kawasan Jerai sentiasa menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar Kedah yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah dan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai.


No comments:

Post a Comment