Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Monday 2 April 2012

Kekalkan Pakatan di Kedah


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak rakyat Kedah supaya terus bijak untuk memilih PAS dan Pakatan Rakyat menerajui kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat bermuhasabah melihat bahawa selepas 50 tahun lebih Umno menerajui kerajaan, namun Islam tetap tidak berkuasa dan memerintah, sebaliknya mengekalkan sistem diamalkan Inggeris.

berkata, telah hilang dari orang Melayu tulisan jawi sebagai ilmu alat untuk dalami agama, tersebarnya kejahilan dalam masyarakat Islam terhadap agama mereka dan berleluasanya maksiat hingga masuk ke kampung-kampung dan rumah umpama banjir yang tidak boleh disekat.

Begitu juga katanya, masalah sosial seperti dadah, mencuri, pecah rumah dan berbagai kemungkaran hasil kepimpinan Umno.

Lebih malang katanya, hasil bumi negara yang banyak lagi melimpah ruah, tetapi kemudahan awam khususnya di luar bandar tetap tidak mencukupi selain belenggu masalah kemiskinan dan pengangguran. Sedangkan kerajaan ujarnya, sentiasa berapi-api bercakap mengenai pembangunan.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Bukit Besar, Kota Sarang Semut, di sini 24 Mac lalu.

Tegas Ustaz Hadi, pemerintahan adalah amanah paling besar kepada orang Islam. Kerana itulah katanya, apabila PAS mentadbir, urusan itu dilaksanakan penuh bersih tanpa rasuah.

Begitu juga PAS katanya, berjaya membina hubungan persefahaman dengan orang bukan Islam dan parti lain serta bekerjasama dalam banyak perkara kerana mempunyai titik persamaan, manakala perbezaan dihormati dan kekal berpegang kepada dasar dan prinsip parti masing-masing.

Tetapi ujar Tuan Guru, hal itu tidak berlaku dengan Umno hingga menghairankan sesetengah orang. Ini katanya, kerana PAS pernah mempunyai pengalaman bersama Umno dalam kerajaan campuran tahun 1970 dan BN 1974 di mana ketika itu PAS tetap teguh membawa suara dan cita-cita Islam.

Maka ujar beliau, hari ini Umno cuba menjejaskan hubungan baik PAS bersama parti lain dengan mewujudkan kebimbangan tidak berasas antaranya DAP akan memerintah Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk negara.

Walhal jelas beliau, semua parti bukan Islam telah menerima hakikat bahawa teras kuasa politik Malaysia adalah kepada Melayu-Islam dan jumlah kerusi Melayu-Islam tetap dominan di Parlimen.

Sebenarnya ujar Ustaz Hadi, Umnolah selama ini yang bertindak mengurangkan kerusi Melayu-Islam apabila menyusun rakan-rakannya dari MCA dan MIC bertanding di kawasan campuran majoriti Melayu-Islam bertujuan menewaskan PAS di kerusi itu.

Kerana katanya, orang Umno yang semangat Melayunya tinggi akan tetap mengundi BN.

Namun katanya, Pilihan Raya Umum 2008 telah menyaksikan perubahan apabila PAS menang termasuk di kawasan bukan Islam hinggakan orang bukan Islam gembira, tetapi orang Melayu Umno sedih apabila MCA atau MIC kalah ketika itu.

Ujarnya, Umno juga tidak mengajar rakyat mengenai demokrasi sebenar sebaliknya mengajar rakyat memilih pemimpin berdasarkan mereka yang banyak memberi duit, bukan pemimpin untuk menjalankan amanah negara.

Sedangkan kata Tuan Guru, di negara lain pilihan raya menjadi mahkamah rakyat mengadili pemimpin di mana parti politik dan pemimpin yang membuat salah ditolak.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menempelak pengertian wasatiyyah yang dibawa Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang disifatkannya tidak merujuk kepada al-Quran dan huraian Rasulullah.

Hakikatnya ujar beliau, Islam itu sudah pun bersifat wasatiyyah dan perlu diambil keseluruhan ajarannya.

Menurut Ustaz Hadi, PAS telah memiliki pengalaman memerintah negara dan PAS akan buktikan pendekatan Islam dalam menguruskan negara apabila diberi mandat kelak.


1 comment:

  1. Kekalkan Pakatan di Kedah....tetapi MB mestilah orang baru.....

    ReplyDelete