Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Wednesday 28 March 2012

Asas perjuangan Islam kukuhkan PAS Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan laporan media mengenai kemelut dalam Kerajaan Negeri Kedah hingga mendebarkan rakyat, jelasnya hanyalah umpama gelombang air dalam cawan kopi.

Menurut beliau, rahsia penyelesaian terhadap perkara itu sebenarnya terletak kepada sifat orang di dalam perjuangan Islam itu sendiri yang hanya ‘berebut’ untuk mencapai kelebihan dijanjikan Allah sebagaimana ayat 133 hingga 136 surah Ali-‘Imran.

Intipati dari ayat dibacakannya itu antaranya menyebut bahawa orang bertakwa itu bersegera mencari keampunan Allah dan syurga yang luas. Mereka itu mempunyai ciri berinfak di masa susah dan senang, menahan amarah dan memaafkan kesalahan orang lain.

Mereka juga apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri akan segera mengingati Allah lalu memohon ampun kepada-Nya serta tidak meneruskan dosa-dosa itu. Maka Allah memberikan balasan keampunan kepada mereka dan janji syurga.

Tegas Tuan Guru, itulah rahsia kekuatan PAS yakni kerana sentiasa istiqamah dengan Islam.

Beliau menyentuh hal tersebut pada majlis ceramah bersama Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak yang turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya I, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II, Dr Ismail Salleh di Bukit Besar, Kota Sarang Semut, di sini 24 Mac lalu.

Kata beliau, hakikat manusia itu ada kelemahan, kesilapan, keterlanjuran dan berbeza pendapat, tetapi orang PAS berjuang di atas aqidah dan keimanan kepada Islam.

Jelasnya, mereka yang setia kepada PAS dan bergantung kepada tali Islam, walau hebat gelombang dan ribut berlaku, tetap tidak akan terpecat daripada perjuangan.

Ujar beliau, terbukti daripada perkara yang telah berlaku, tidak ada seorang pun wakil rakyat PAS di Kedah keluar daripada PAS.

“Jika ada yang keluar daripada PAS, tentulah mereka itu tidak istiqamah, tidak tahu adab berjamaah. Kalau kita sembahyang berjamaah, bila imam baca kuat, makmum (kena) baca berlahan. (Kalau) ada makmum baca kuat macam imam juga, kena buat surau lain,” demikian analogi beliau.

Jelas Ustaz Hadi, kemampuan PAS menyatukan saf perjuangannya telah mengkagumkan kawan dan lawan. Semua ini katanya, adalah rahmat daripada Allah dan fadilat kerana bersama perjuangan Islam.


No comments:

Post a Comment