Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Monday 21 May 2012

Presiden PAS yakin Kedah dipertahankan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: PAS tidak teragak-agak mengadakan pilihan raya negeri yang dikuasainya secara berasingan dari Pilihan Raya Umum Ke-13, demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ujarnya, PAS akan melihat munasabah untuk mengadakan pilihan raya secara berasingan atau bersama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat persiapan pilihan raya PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 15 April lalu.

Mengulas potensi PAS Kedah pada pilihan raya nanti, beliau menjelaskan bahawa pihaknya mendapati PAS Kedah telah membuat persediaan awal dan tiada masalah untuk PAS mengekalkan pemerintahan di Kedah yang disifatkannya sebagai negeri terkuat.

Menjawab pertanyaan media kononnya wujud dua senarai calon PAS Kedah, Tuan Guru menegaskan bahawa pihaknya tidak bergantung kepada dakwaan sebaliknya berpegang kepada sesuatu yang jelas diyakini.

Akuinya, pada ketika ini senarai calon PAS telah diteliti Majlis Syura Ulama dan akan dimuktamadkan di saat-saat akhir menjelang semasa penamaan calon.

Sementara itu, dalam pertemuan rombongan PAS Pusat bertemu PAS Kedah itu, Ustaz Abdul Hadi turut memaklumkan bahawa keahlian PAS di Kedah merupakan yang tertinggi ketika ini di seluruh negara yakni hampir mencecah 150,000 ahli.

Dalam ucapannya itu, beliau menyeru agar terus menyuntik keyakinan ahli kepada Islam yang diperjuangkan secara istiqamah melalui panduan ulama.

Dalam menggerakkan kekuatan penerangan Tuan Guru mengingatkan agar Rbahan-bahan penerbitan dipastikan sampai kepada sasaran yakni rakyat dan bukannya dilonggokkan di markas-markas PAS atau baca sesama ahli PAS hingga menimbulkan rasa ‘syok sendiri’.

“Perlu turun untuk sampai kepada pengundi-pengundi atas pagar, pengundi Umno, pengundi bukan Islam, anak muda,” nasihatnya.

Menyentuh situasi semasa beliau menjelaskan, dalam senario menghadapi pilihan raya, PAS perlu mengambil manfaat dari gelombang-gelombang yang berlaku disamping kekuatan kita sendiri.

Katanya, lonjakan di Kedah sangat penting dan dapat membantu kepada hasrat perubahan untuk ke Putrajaya.

Ujar Tuan Guru, perkara itu tidak mustahil di mana dengan kemenangan di kerusi-kerusi PAS tandingi bermakna Umno akan hilang kekuasaan sebagai teras politik kepada BN sekaligus memberi perubahan besar kepada politik negara.

Jelas beliau, Umno sebenarnya tidak kuat tetapi mereka menggunakan jentera kerajaan dan wang yang banyak.

Beliau juga mengingatkan agar terus memberi perhatian kepada pengundi muda yang dilihatnya sebagai penentu kepada keputusan pilihan raya nanti.

Selain itu katanya, usaha menyantuni bukan Islam perlu terus digiatkan bukan sahaja dalam usaha mengajak mereka kepada Islam tetapi setidak-tidaknya mereka tidak bermusuh dengan Islam di mana itu jugalah ramuan mencapai kemenangan.


No comments:

Post a Comment