Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Wednesday 24 October 2012

Dakwaan Mukhriz dibidas



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Mukhriz Mahathir dibidas kerana wewenang mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2011 berkaitan projek pelaburan negeri Kedah.

Timbalan Menteri itu menyifatkan kerugian pelaburan projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea (PNG) membabitkan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) sebagai mencemarkan nama baik negara.

Malah, Mukhriz turut menyatakan perkara itu sebagai salah laku penyelewengan mengejutkan yang bukannya amalan di negara ini serta perlu disiasat pihak polis.

“Mukhriz jangan cakap ikut sedap mulut. Cuba suluh diri sendiri di cermin sejarah,” bidas Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menjelaskan fakta berkaitan kes perniagaan Kedah Corp Berhad (KCB) di PNG, beliau menegaskan, kerugian perniagaan berjumlah RM6.4 juta dialami KCB bukanlah penyelewengan atau rasuah.

Jelasnya, ia adalah kos pengurusan perniagaan, kos pengurusan pinjaman dan pelaburan awal beberapa syarikat lain yang berhasrat untuk turut serta dalam perniagaan itu.

Manakala jumlah RM134 juta (USD44 juta) pula terang beliau, bukanlah jumlah kerugian atau penyelewengan, tetapi  jumlah pinjaman dibuat oleh KCB dengan Capital Investment Agency yang berpusat di London.

Katanya, pinjaman tersebut untuk membiayai pengambilalihan 70 peratus kepentingan dalam Mas Incorporated (PNG) Ltd  yang berjaya memperolehi kawasan pembalakan di PNG selain membiayai aktiviti lain KCB.

“Pinjaman ini telah dibatalkan pada Januari 2010 setelah Jawatankuasa  Penilaian (ombudsmen) yang dilantik oleh PMBKed mendapati pinjaman dan penglibatan dalam perniagaan di PNG akan menambahkan beban dan risiko kepada syarikat.

“Jawatankuasa ini juga mengemukakan syor untuk KCB menamatkan perniagaan mereka di negara itu memandangkan suasana tidak menentu dalam prosedur urusniaga dan perjanjian yang dimeterai.

“Jawatankuasa itu dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif  PMBKed,” jelas beliau.

Dalam lanjutan penerangannya Sanusi berkata, pinjaman itu tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah KCB dan tidak dimaklumkan kepada Lembaga Penasihat PMBKed, bahkan perjanjian perniagaan itu tidak dibawa untuk penelitian Penasihat Undang-undang Negeri.

Hujahnya, disebabkan pelaburan perniagaan di  PNG itu ditamatkan pertengahan jalan, maka menyebabkan semua modal dan kos pengurusan dikeluarkan oleh syarikat dicatatkan sebagai pelaburan yang tidak sempat mendatangkan pulangan.

Tindakan itu kata Sanusi, dibuat setelah mendapat syor daripada Jawatankuasa Penilaian untuk mengelak risiko yang lebih besar kepada syarikat dan kerajaan negeri.

Beliau turut menerangkan bahawa KCB juga menanggung beban projek daripada pengurusan terdahulu melibatkan projek 99East di Langkawi dengan Syarikat Terra  Monda (S'pore) Ltd.

Ujarnya, ketika itu KCB di bawah kendalian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dato' Tajul Urus Mat Zin yang kini merupakan Ketua Umno Bahagian Merbok.

Di mana dakwa Sanusi, pada 2007 itu Tajul Urus telah menjerumuskan KCB dalam projek 99East yang bernilai RM1.9 bilion hingga meninggalkan beban kewangan dan reputasi buruk lebih besar kepada syarikat berbanding perniagaan di PNG.

Manakala ujar beliau, CEO yang dilantik selepas Mac 2008 hingga menjerumuskan KCB dalam masalah di PNG telah ditamatkan perkhidmatan pada 2010 dan CEO tersebut bertindak menyaman PMBKed  kerana mendakwa penamatan itu melanggar undang-undang Akta Pekerjaan 1955.

“Sebelum dilantik sebagai CEO KCB, beliau yang  juga seorang usahawan sudah terbabit dengan  individu dalam MAS Incorporated (PNG) Ltd, Dato' Abdul Manaf Hamid untuk menjalankan perniagaan di PNG dan kedudukan dalam KCB selepas dilantik pada 2008 digunakan sepenuhnya untuk meneruskan hasratnya sebelum itu.

“Dato' Manaf adalah seorang usahawan yang dipertikaikan ‘kejujurannya’ oleh banyak pihak. Hal ini dimaklumkan oleh bekas Pengerusi dan Ketua Pengarah Lembaga Tabung Haji dalam satu pertemuan dengan saya di  Kuala Lumpur pada 2010.

“Dato' Manaf telah menyatakan bahawa dia berjaya melibatkan KCB dalam perniagaannya di PNG kepada tokoh ini dalam satu majlis makan malam di Istana Anak Bukit, tetapi sudah terlewat untuk saya memberi amaran kepada KCB dan PMBKed.

“KCB telah dimusnahkan oleh peniaga-peniaga yang menjadikan 'penipuan' sebagai modal dalam perniagaan  mereka dan 'kelurusan' pengurusan KCB telah menjadikan syarikat dan pemegang saham sebagai mangsa,” kesali Sanusi.

Pun begitu menurutnya, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang masih baru dalam selok belok perniagaan antarabangsa masih sempat menghentikan risiko lebih besar melalui penglibatan anak-anak syarikat dengan aktiviti perniagaan antarabangsa.

Jelasnya lagi, satu hal sangat penting diberi perhatian ialah dasar tidak campurtangan dalam sesuatu tugas setelah diamanahkan kepada pihak yang dirasakan layak pada waktu itu, sehinggalah sesuatu masalah timbul memerlukan tindakan kerajaan.

“Inilah yang dibuat oleh Pakatan Rakyat di Kedah dalam semua tugasan yang diperturunkan kuasa kepada pihak-pihak yang dilantik menerajui syarikat ataupun agensi kerajaan.

“Jadi Mukhriz patut bertanya pengurusan KCB di zaman BN kenapa KCB dijerumuskan dalam projek 99East di Langkawi yang bernilai RM1.9 bilion sedangkan KCB tidak memiliki tanah yang ditawarkan dalam perjanjian kerjasama dengan Terra Monda (S'pore) Ltd.

“Mukhriz juga patut bertanya skandal komisyen ratusan juta pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis, skandal BMF yang ditenggelamkan di zaman bapanya menjadi PM, penglibatan Bank Negara dan Tabung Haji dalam perniagaan matawang asing yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit, itu semua lebih memalukan negara,” bidas Sanusi.

Mukhriz juga tegasnya, patut mempersoalkan mengenai premium balak di zaman BN sebagai kerajaan di Kedah yang cuma memperolehi RM500 dan RM1,000 sehektar.

Sedangkan katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat boleh menjana RM12,000 hingga RM17,000 sehektar.

Tegas beliau, itu juga satu bentuk kehilangan hasil kerajaan dan kerugian kepada rakyat Kedah.

Malah menurutnya, Mukhriz juga patut bertanya mengenai hutang Kedah kepada Persekutuan yang mencecah RM2.4 bilion di zaman BN selain terdapat kes dalam projek bekalan air luar bandar yang sepatutnya menerima geran daripada Persekutuan tetapi diberikan dalam bentuk pinjaman ratusan juta lalu terpaksa ditanggung oleh rakyat negeri ini.

Mukhriz juga gesanya, wajar bertanya kepada diri sendiri mengenai kerajaan BN yang sejak berpuluh tahun menguruskan negeri Kedah tetapi kerajaan sekarang yang terpaksa menanggung beban tindakan mahkamah sepertimana dalam kes-kes perjanjian perniagaan dengan beberapa syarikat.

Antaranya ujar Sanusi, membabitkan RM11 juta dalam kes tanah di Tandop, Alor Setar dan kes sedang menanti iaitu perjanjian hujung tahun 90-an berhubung Jerai International Park yang akan melibatkan tuntutan kepada kerajaan negeri sebanyak RM60 juta.

No comments:

Post a Comment