Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Wednesday 17 April 2013

Tabung Lahad Datu: PDRM enggan terima sumbangan Pakatan Rakyat


ALOR SETAR: Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Kedah kecewa dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tidak mahu menerima sumbangan wang daripada penyokong PR untuk disalurkan kepada wira-wira negara yang terkorban dan tercedera di Lahad Datu.

Bekas penyandang Adun Anak Bukit Dato' Ir Amiruddin Hamzah berkata beliau agak kesal apabila pihak PDRM tidak mahu menerima sumbangan sejumlah RM30,000 untuk diserahkan kepada wira-wira Lahad Datu, sedangkan ini merupakan sumbangan daripada rakyat.

Beliau berkata demikian semasa sidang media berkenaan PDRM tidak mahu menerima sumbangan wang daripada penyokong PR kepada Wira Lahad Datu, di Mess PDRM Alor Setar, 8 April lalu.

Turut hadir sama ialah Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Ustaz Musoddak, bekas Adun Kota Darul Aman Lim Guan Aik, Bekas Senator PKR Ir Zamri Yusof.

"Sumbangan-sumbangan ini adalah hasil kutipan daripada penyokong-penyokong PR Kedah dalam program-program yang dianjurkan.

"Kita telah umumkan bahawa kutipan ini adalah khusus untuk mangsa-mangsa yang tercedera dan terkorban di Lahad Datu.

"Selepas ini kita akan bincangkan bagaimana sumbangan ini dapat juga disalurkan kepada wira-wira Lahad Datu.

"Mungkin kita akan cari mangsa-mangsa tersebut di kawasan utara ini yang lebih dekat dengan kita untuk diserahkan terus kepada mereka," katanya dalam nada kecewa.

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana ini merupakan sumbangan daripada rakyat dan beliau menyifatkan seperti terdapat ‘double standard’ dalam kes ini.

Sementara itu, sebelum ini PR Kedah sudah dimaklumkan bahawa sumbangan tersebut boleh diserahkan kepada PDRM di Mess PDRM Alor Setar.

Namun, apabila tiba hari penyerahan sumbangan tersebut, pihak PDRM tidak dapat menerima sumbangan tersebut atas alasan tidak dapat menerima sumbangan daripada parti politik dan ini menyebabkan banyak pihak yang terkejut dan kecewa.

No comments:

Post a Comment