TANPA kontroversi mahupun terseret ke kancah pertikaian berpanjangan. Segalanya seperti nampak mudah kepada PAS Kedah menghadapi serangan BN dari segenap penjuru. Banyak kali juga dilihat BN meludah ke langit dan menghambur isu seumpama buih di pantai. Dari satu sudut lain, perlu juga dilihat kepada penerangan PAS Kedah itu sendiri dalam mengemukakan keupayaan pentadbirannya untuk terus meraih sokongan pada PRU13. Ikuti temubual Wartawan Harakah Kedah, IZWAN ABDUL HALIM bersama Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung peranan penerangan membantu mengekalkan kemenangan di Kedah.
HARAKAH: Bagaimana peranan penerangan dalam membantu usaha mengekalkan kemenangan PAS di Kedah?
MUHAMMAD SANUSI MD NOR:Kami amat menyedari bahawa Lajnah Penerangan, Dakwah dan Media Baru yang dibentuk diperingkat Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah menggalas tanggungjawab yang sangat besar. Kita serba kekurangan dari segi prasarana penerangan berbanding saingan politik kita. Kita menghadapi jentera penerangan BN yang datang dari semua penjuru media, jabatan,agensi kerajaan yang dieksploitasi, dan aktiviti parti mereka setiap masa. Di samping memberi jawapan dan reaksi kepada propaganda parti lawan, kita perlu membentangkan pencapaian kita selama menjadi kerajaan. Jika dulu ahli dan pengundi mahu dengar pandangan pemimpin PAS terhadap sesuatu isu, tapi sekarang mereka mahu tahu perihal yang kita buat dan setakat mana pencapaian kita. Ini yang lebih utama dan secara asasnya, inilah peranan Lajnah Penerangan sekarang dan di masa akan datang. Dalam keadaan demikian, tentulah tugas dan skop kerja lajnah penerangan makin bertambah. Penerangan PAS Kedah telah merangka plan tindakan bersepadu untuk memastikan rakyat Kedah khususnya mendapat maklumat tepat dan cepat tentang setiap yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ni. Fokus kami ialah memastikan semua aktiviti dan pencapaian kerajaan negeri diketahui oleh rakyat sepantas yang mungkin, di samping mmastikan rakyat memahami sesuatu isu dari perspektif yang betul. Betul dalam erti kata rakyat membuat pendirian terhadap sesuatu hal dengan maklumat yang lengkap, dan betul dari sudut syariat. Selain itu, penerangan juga memikul tugas dakwah. Alhamdulillah, setakat ini, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri telah dapat berfungsi dengan baik untuk menghebahkan aktiviti dan pencapaian kerajaan, dan Lajnah Penerangan telah dapat menyusun program-program penerangan sekerap yang boleh. Kita memantau pada setiap masa untuk pastikan program penerangan di peringkat dewan-dewan dan kawasan–kawasan juga bergerak aktif, malah ke peringkat organisasi parti yang paling bawah. Kita juga bertanggungjawab menentukan isu ‘local’ dan nasional yang penting untuk utarakan di dalam program-program penerangan. Kita juga berperanan mencari jawapan penjelasan segera terhadap isu yang berbangkit baik oleh parti lawan ataupun akibat daripada peristiwa yang tercetus.
Bagaimana pula isu-isu yang dimainkan BN dan usaha menanganinya?
Sebenarnya BN tidak ada isu di Kedah. Pernah mereka cuba beberapa kali mengada-adakan isu seperti isu perumahan awam, isu air, isu balak dan dan beberapa isu lain tetapi tidak berjaya mempengaruhi rakyat. Seluruh rakyat tahu setiap perkara yang mereka bangkitkan adalah berpunca daripada kelemahan dan kesilapan masa lalu ataupun ia di luar bidang kuasa kerajaan negeri. Di hujung jalan cerita mereka, mereka akan temui muncung meriam yang sedang manghala kepada mereka sendiri. Contohnya isu kenaikan tarif air, mereka mendakwa ia adalah keputusan kerajaan negeri, dan mula menyerang pelaksanaan itu dengan berbagai-bagai dakwaan. Tetapi bila didedahkan bahawa ia adalah kehendak Kerajaan Persekutuan, malah diputuskan dalam mesyuarat kabinet dan diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Warta Jilid 54, No. 20, bertarikh 1 Oktober 2010, P.U (A) 332 di bawah tajuk Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi melaksanakan Akta 655 yang diluluskan di Parlimen, mereka mula gelabah. Malah Perlembagaan Persekutuan telah dipinda oleh tangan-tangan mereka sendiri pada tahun 2005 lagi untuk melaksanakan perkara ini. Kita bersedia mendedahkan lebih banyak maklumat termasuk langkah mereka memilih untuk berhutang daripada pusat untuk melaksanakan projek-projek besar bekalan air walaupun mereka mempunyai pilihan lain pada waktu itu. Akibatnya kita terpaksa memikul beban hutang bekalan air sahaja yang mencecah RM1.9 bilion. Demikian dalam isu perumahan awam kos rendah yang berhadapan bayaran tertunggak yang terlalu tinggi. Kita tahu siapa di belakang senario tunggakan ini dan kenapa ia dibiarkan berlaku. Penjelasan dan penerangan kita berjaya meyakinkan rakyat bahawa kerajaan bertindak di atas landasan yang betul untuk memastikan penghuni melaksanakan tanggung jawab mereka. Ini terbukti apabila kutipan telah meningkat berlipat kali ganda yang dapat digunakan untuk membayar pinjaman daripada pusat dan melaksanakan lebih banyak projek yang berkaitan. Demikian juga isu tanah di Padang Terap yang berlarutan sejak puluhan tahun. Ia bukan baru berlaku setahun dua ini. Ia telah melalui proses perbicaraan di mahkamah dan sudah ada keputusan mengenainya. Cubaan-cubaan mereka membangkitkan sentimen di kalangan penduduk dalam hal ini hanya mendedahkan kesilapan masa lampau dan menikam diri mereka sendiri pada hari ini. Kita bersimpati dengan penduduk yang terbabit walaupun kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki kesilapan masa lalu. Antara lain mereka bangkitkan isu balak yang kononnya bukit- bukit menjadi gondol dan berlaku banjir lumpur di Sik satu ketika dulu. Apabila kita tunjukkan bukti bahawa ia adalah kawasan balak yang diluluskan pada zaman mereka menjadi kerajaan, mereka hilang punca. Saya difahamkan masih terdapat banyak kawasan yang diluluskan sebelum 2008, malah sejak tahun 2005 yang masih belum ditebang. Mereka juga cuba kaitkan kerajaan sekarang dengan skandal balak sedikit masa lalu. Kita telah tunjukkan dengan jelas perbezaan ketara hasil industri pembalakan dulu dan sekarang. Sebelum 2008, hasil sektor ini kepada kerajaan hanya sekitar RM 7 juta hingga RM 8 juta, tetapi dengan keluasan yang sama kita berupaya mencapai sehingga RM53 juta. Apakah dengan angka ini, orang ramai boleh percaya bahawa kita berwewenang untuk mengaut laba demi kepentingan diri dan parti kita melalui industri ini? Rakyat sudah bijak untuk membuat pertimbangan.
Apakah pergerakan jentera penerangan di semua peringkat telah mencapai keberkesanan yang saudara harapkan?
Saya berbesar hati dan berterima kasih kepada kepimpinan jentera penerangan di semua peringkat yang bekerja keras menyusun program-program penerangan. Walaupun menghadapi banyak cabaran dan rintangan terutama sumber kewangan yang terhad dan peningkatan permintaan terhadap ‘tokoh-tokoh besar’ yang semakin tinggi, petugas kita berupaya mencari jalan penyelesaian. Saya juga mengucapkan jutaan penghargaan kepada penceramah-penceramah dari seluruh negara, terutama kepimpinan tertinggi PAS yang tidak jemu-jemu datang membantu kami di Kedah, di samping tenaga dalam negeri yang sentiasa memberikan kerjasama penuh. Perbandingan dan pendedahan yang dibuat dalam majlis-majlis penerangan telah banyak membantu melancarkan aliran maklumat dan meningkatkan kefahaman ahli untuk terus berjuang. Program kita juga telah membuka mata banyak pihak dalam isu-isu yang berlaku saban hari, dan saya yakin ia dapat meningkat sokongan rakyat kepada PAS di Kedah. Saya sangat berpuas hati dengan keupayaan petugas, ahli dan penyokong menguasai kaedah-kaedah baru penerangan disamping meneruskan kaedah tradisi PAS melalui ceramah dan perjumpaan. Walaupun begitu, masih banyak perkara yang boleh dan perlu dilakukan oleh jentera penerangan di semua peringkat. Keperluan untuk melipatgandakan program penerangan amat mendesak di saat-saat ini menjelang PRU-13, berbanding tenaga dan masa yang kita ada.
Bagaimana pula PAS Kedah akses atau menguasai medium-medium penerangan termasuk media baru?
Kita perlu mengakui bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna akaun facebook ketujuh tertinggi di dunia berbanding populasi. Hal ini tidak boleh dianggap remeh dan mudah. Buat masa ini saya dapat melihat perkembangan positif penerangan PAS dalam media baru khususnya di facebook dan blog yang dikendalikan oleh jentera penerangan, ahli dan penyokong. Untuk menghadapi perkembangan yang sangat pantas dalam medan ini, kita telah mewujudkan rangkaian dan jaringan yang mantap di semua peringkat dan usaha menggalakkan penglibatan lebih ramai pimpinan dan ahli sentiasa dilakukan. Malah, melalui penguasaan media baru, saya percaya kita berjaya mewujudkan gelombang yang akan menumbangkan BN dalam PRU-13. Penerangan PAS Kedah sangat menyedari bahawa pengundi muda sekarang lebih bergantung dengan sumber maklumat melalui medium ini berbanding propaganda BN di media tradisi yang hanya berkesan kepada pengundi berumur lebih 40 tahun. Alhamdulillah, buat masa ini kita berupaya menyalurkan maklumat yang pantas dan tepat, khususnya kepada ‘Generasi Y’ dan kita berazam akan terus mengekalkan kecekapan jentera dan ahli untuk menguasai bidang ini.
No comments:
Post a Comment