Oleh : SARINA ISMAIL
Ketua Penerangan DMP Kedah
ALOR SETAR, 10 Jan 2012 – Di jangka kira-kira 100 ribu hadirin termasuk 1,800 perwakilan dan 2000 pemerhati dari seluruh negeri akan berhimpun sempena Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 yang akan diadakan pada 14 Jan ini.
“Kali ke-3 ini, Kedah dipilih sebagai tuan rumah, sebelum ini diadakan di Selangor dan Pulau Pinang,” maklum Pengarah Sektariat Konvensyen, YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon.
Konvensyen kali ini bertemakan “Bersihkan Malaysia” dan akan dihadiri oleh semua tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat, antaranya YB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim dan YB Lim kit Siang.
“Ucapan pembukaan akan disampaikan oleh YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai tuan rumah, kemudian diikuti YB Anthony Loke dari DAP, Tuan Haji Mustafa Ali dari PAS dan YB Saifuddin Nasution dari PKR.
“Kita juga berpeluang mendengar ucapan ‘ Suara Hati Nurani Rakyat Malaysia ‘ dari jemputan utama yang terdiri dari Dato’ A.Samad Said wakil Budayawan, Prof. Aziz Bari wakil Akademik serta lain-lainnya mewakili Felda, Penjawat Awam, NGO, Pemuda & Pelajar dan tidak ketinggalan wakil dari Sabah dan Sarawak,” jelasnya lagi.
Tambah beliau lagi, disebelah petang, ucapan pergulungan pimpinan yang mewakili setiap parti dalam Pakatan Rakyat akan diadakan dan antara mereka yang akan memberi ucapan termasuklah YB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, YB Karpal Singh, YB Lim Guan Eng dan YB Mohamed Azmin Ali.
“Pada sebelah malam pula kita menjangkakan kira-kira 100 ribu kehadiran untuk ‘Rapat Rakyat Perdana’ yang bermula dengan solat maghrib, solat hajat dan munajat. Di samping itu kuliah maghrib akan disampaikan oleh Tuan Guru Dato’ Harun Din.
“Ceramah umum akan bermula pada pukul 9.00 malam dan serentak dengan itu juga kita akan mengadakan Pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat untuk pilihanraya ke-13,” sambung beliau.
Sementara itu, bagi memeriahkan lagi sambutan konvensyen berkenaan, pada malam 13 Jan akan diadakan ceramah serentak di 15 kawasan parlimen dan melibatkan 40 pemimpin Pakatan Rakyat.
Konvensyen Pakatan Rakyat Kali ke-3 tersebut akan bermula pada pukul 8 pagi sehingga 5 petang dan akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti.
No comments:
Post a Comment