Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Wednesday 8 February 2012

Serangan ke atas Kedah lumrah politik

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

JERAI: Pelbagai serangan dan isu mutakhir ini ke atas Negeri Kedah khususnya terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak adalah cabaran dalam lumrah berpolitik, demikian menurut Setiausaha PAS Kawasan Jerai, Muzaini Azizan.

Ujar beliau, pihaknya penuh yakin dan percaya, semua cabaran ini mampu dihadapi sebaik mungkin sebagaimana keupayaan yang telah dibuktikan oleh Ustaz Azizan sepanjang hampir empat tahun menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.

Bahkan katanya, segala pencapaian Kedah sejak 2008 adalah petunjuk kepada komitmen bersama seluruh pendokong PAS, KeADILan dan DAP serta rakyat negeri ini terhadap kepimpinan Ustaz Azizan.

Demikian itu ujarnya, semua agenda yang telah, sedang dan akan dilaksanakan atas tema “Kedah Sejahtera” perlu terus dilangsungkan demi kesejahteraan semua.

Menurutnya, semakin hampirnya Pilihan Raya Umum Ke-13, PAS Kawasan Jerai amat menyedari betapa komponen Barisan Nasional akan saling berpadu mengancam, memanipulasi serta memperalat pelbagai pihak dan medium untuk mengeliru serta menjejaskan sokongan rakyat kepada PAS, KeADILan dan DAP.

“Sehubungan itu, seluruh pendokong Pakatan Rakyat diseru meningkatkan kewaspadaan terhadap kemungkinan sedemikian agar tidak terperangkap dalam polemik yang dicipta hingga boleh meretakkan hubungan antara PAS, KeADILan dan DAP.

Sebaliknya, penjelasan berhubung sesuatu isu perlulah didapatkan dari mereka yang berautoriti. Tumpuan dan fokus kini harus diberi sebaiknya dalam meneguhkan sokongan rakyat seterusnya memastikan pentadbiran yang sedang diterajui kini dapat dipertahankan,” ujarnya.

Tegas beliau, PAS Kawasan Jerai sentiasa menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Ustaz Azizan yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah dan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai.


No comments:

Post a Comment