Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Perkembangan politik semasa menunjukkan petanda buruk kepada Umno-BN untuk mempertahankan Putrajaya, demikian pandangan Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.
Beliau berkata demikian kepada media sebagai menjawab pertanyaan berhubung tindakan beberapa pimpinan BN di Sabah yang meninggalkan parti komponen tersebut.
Hujahnya, berdasarkan kerusi Parlimen pada pilihan raya lalu, BN kalah di Semenanjung Malaysia tetapi dimenangkan oleh Sabah dan Sarawak.
Jika situasi itu terus berlangsung ujarnya, bermakna BN akan kehilangan Sabah dan Sarawak, sementara keyakinan Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya pula semakin tinggi.
Ditanya media sama ada perkembangan itu akan membahayakan kedudukan BN, Ustaz Azizan pantas mengiyakannya.
“BN memang sudah lama bahaya! Dia (BN) sendiri bahaya dan dia dalam bahaya. Jika bagi lagi dia memerintah lagi bahaya!
“Macam harimau, bahaya. Harimau bahaya (kepada manusia) takut dia makan kita. Harimau takut sebab dia dalam keadaan bahaya orang tembak hendak dia.
“Pilihan raya buat sekarang atau esok, tetap bahaya (kepada BN). Tangguhlah, pilihan raya akan tetap datang juga, dia tidak boleh lebih sampai Mac (2013).
“Saya tak mengapa biasa saja, dia isytiharlah bila pun saya tak kisah. Saya jalan cara saya,” ujarnya kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Wang kepada pelajar sekolah di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Tandop, di sini 30 Julai lalu.
Diminta mengulas kajian Pilihan Raya Umum Ke-13 oleh Majlis Profesor Negara, beliau tidak merasa bimbang terhadap perkara tersebut.
“Tapi yang saya pun berasa seronok sikitlah bukan apa, saya punya bacaan tentang mereka buat kaji selidik itu tidak menepati, hingga ada pihak kata tidak betul. Kamu tidak boleh bias (dalam kajian). Responden mesti neutral, macam mana hendak jelaskan fokus kajian. Saya tahulah saya 20 tahun dalam universiti,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment