Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Bagi
seorang pendakwah sejati, tirai besi penjara hanya mampu mengurung jasadnya.
Namun jiwa, semangat dan tanggung jawabnya terhadap kelangsungan perjuangan
meninggikan kalimah Allah dan sunnah Rasulullah tidak pernah padam.
Lantaran itulah, As-Syahid Sayyid Qutb tetap jua mengarang walaupun di
balik cengkaman Penjara Mesir. Dari kurungan itulah beliau melahirkan karya
haraki yang dijulang agung, kitab tafsir Fi
Zilalil Quran. Begitu juga kegigihan dakwah Almarhum Prof. Dr Hamka yang
melahirkan Tafsir Al-Azhar dari dalam
Penjara Indonesia.
Dari tirai besi kezaliman pemerintah Malaysia, Kem Kamunting yang mengekang
tahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pula, lahir
buku Siasah Syar‘iyyah tulisan Ustaz
Md Lotfi Ariffin.
Buku yang menyentuh perbahasan mengenai pembentukan Negara Islam Mithali
itu adalah buku pertama diterbitkan beliau dari empat judul yang ditulisnya
semasa dalam tahanan ISA dari tahun 2001 hingga dibebaskan pada 2006.
Karya-karya lain berjudul Hisbah, Bekalan Untuk Pejuang dan Bimbingan Mukmin.
Ustaz Md Lotfi kini adalah Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Kedah dan Ahli
Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat.
Buku tersebut telah dilancarkan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri DiRaja
Ustaz Azizan Abdul Razak sempena Sambutan Nuzul Al-Quran di Kompleks PAS Kedah,
Kota Sarang Semut, di sini 4 Ogos lalu.
No comments:
Post a Comment