Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
JITRA: Majlis Guru
Pondok yang
dianggotai 28 pondok pengajian Islam di negeri ini sebulat suara
menolak penyertaan mereka ke dalam Yayasan Pembangunan Pondok 1 Malaysia (YPP1M)
yang dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr
Mashitah Ibrahim.
Pengerusinya, Ustaz Mohd Rejab Md Akhir memaklumkan, semua anggotanya tidak
pernah memberi sebarang persetujuan berkaitan penyertaan ke dalam YPP1M,
sekaligus mendesak agar nama pondok-pondok mereka dikeluarkan serta merta dari
senarai YPP1M.
Dalam satu deklarasi yang dikeluarkan selepas majlis pertemuan bersama
anggota-anggota majlis tersebut mereka menegaskan, sebagai tanda kepada
penolakan tersebut semua anggota majlis tidak akan hadir ke majlis bersama
Perdana Menteri yang dijadualkan pada 8 November ini.
“Bahawa kami amat menyedari penubuhan ini bermotifkan politik khususnya
kepada Umno yang semakin tenat di hujung usia. Malah kami amat mempersoalkan
penubuhannya di saat hampir menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dilihat
lebih menjurus kepada tarikan undi.
“Dengan tegas kami menyatakan bahawa pihak Kerajaan Malaysia pimpinan BN
sedang cuba memperalatkan guru-guru pondok dan pengaruh mereka bagi tujuan
berkaitan,” demikian petikan deklarasi yang termeterai selepas pertemuan
tersebut di Madrasah Manabi’ Al-Ulum Ad-Diniah, Telaga Batu, di sini 1 November
baru-baru ini
Deklarasi itu juga lantang mengingatkan bahawa di bawah teraju BN,
institusi pondok dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) pernah cuba dibunuh dengan
penarikan bantuan perkapita dan tuduhan melampau sebagai markas militan.
Malah, majlis yang bernaung di bawah Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama
Kedah (Hesa) itu turut melontarkan kekesalan bahawa sejak lebih 50 tahun,
institusi pondok dan SAR tidak pernah diberi peruntukan khusus menerusi Bajet
Tahunan Negara sepertimana dinikmati institusi pendidikan lain.
Ujar gabungan itu lagi, sekiranya YPP1M benar-benar tulus untuk membantu
institusi pondok, mereka menggesa sebarang bentuk bantuan atau sumbangan
disalurkan menerusi akaun bank majlis gabungan itu.
“Pun begitu, pihak kami akan meneliti terlebih dahulu sebarang syarat
penerimaan yang mungkin dikenakan sebelum menyatakan persetujuan penerimaan,”
jelas kenyataan itu.
Deklarasi itu turut menegaskan bahawa ulama dan institusi pondok wujud
lebih awal sebelum kewujudan institusi kerajaan dan pelopor kepada perjuangan
kemerdekaan ke arah menegakkan pemerintahan Islam yang dinafi dan dibuli
pemerintah sejak sekian lama.
No comments:
Post a Comment