Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Friday 21 December 2012

Pilih pemimpin yang dapat jaga agama



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Orang mukmin wajib memilih pemimpin yang akan melaksanakan Islam dan diyakini dapat menjaga agama, demikian tegas Ketua Ikatan Persatuan-persatuan Ulama Syria, Prof. Dr. Syeikh Muhammad Ali As-Soubuni.

Jelas beliau, perkara itu sebagaimana sifat orang mukmin yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah iaitu memilih perkara ghaib untuk diimani seperti syurga, neraka, pembalasan akhirat, azab kubur dan seumpamanya serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan memelihara hak manusia.

Demikian itu juga tegasnya, haram memilih pemimpin yang akan merosakkan agama sebagaimana dalam surah sama banyak mendedahkan perlakuan bahaya orang munafik berbanding orang kafir.

Beliau turut menyeru agar orang beriman di Malaysia tekun bekerja untuk menguatkan Islam serta memastikan orang beriman terpilih sebagai pemimpin untuk memimpin.

Katanya, Allah tidak akan mensia-siakan kerja buat Islam dari kalangan lelaki dan perempuan beriman.

Terang beliau, rahmat Allah turun kepada orang lelaki dan perempuan beriman yang ada sifat tolong menolong iaitulah dalam perkara amar maaruf nahi munkar.

Tetapi ujar beliau, sekiranya orang beriman meninggalkan tugas ini, maka rahmat Allah tidak akan turun.

Terang Syeikh, jika tidak bekerja untuk menguatkan Islam, bermakna seseorang mukmin itu telah khianat terhadap agama Allah.

“Agama ini adalah amanah yang menjadi tanggung jawab orang mukmin menjaganya termasuklah melalui jalan demokrasi. Di dalam demokrasi ada bermacam manusia, maka perlu melakukan pilihan dari kalangan mereka yang akan menjaga agama dan umat Islam iaitulah dari kalangan ulama,” katanya pada ceramah penjelasan isu Syria di Masjid Matang Gedong, di sini 13 Disember lalu.

Terang beliau, antara contoh pemimpin tidak menjaga agama dan umat Islam ialah seperti Presiden Syria, Bashar al-Assad yang digelar Syeikh Muhammad Ali sebagai himar.

Katanya, Bashar bukan sahaja tidak menjaga agama termasuk ahli keluarganya, malah lebih zalim lagi apabila membunuh lebih 80,000 orang Islam Syria dalam tempoh dua tahun berbanding Israel yang membunuh 30,000 orang Islam selama berpuluh tahun ini.

Tegas beliau lagi, orang beriman mesti memelihara diri dari perkara sedemikian kerana fitnah di akhir zaman bermula di kalangan orang beriman itu sendiri iaitulah apabila orang beriman meninggalkan amanah agama.

Sedangkan katanya, agama ini memerlukan orang-orang yang setia mendokong kerja para Nabi, bahkan para nabi akan masuk ke dalam syurga bersama para pengikut setia mereka.

Syeikh turut menyeru agar memahami Bahasa Arab kerana akan menjadi bahasa di hari akhirat.

“Umat Islam mempunyai kitab yang satu, nabi yang satu, kiblat yang satu, maka taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Nabi SAW agar kita mampu masuk syurga,” nasihat beliau.

Orang mukmin juga katanya, perlu mengingati bahawa setiap bumi yang ada disebut nama Allah adalah milik bersama orang mukmin.

Ujarnya lagi, walaupun orang beriman berada di atas jalan kebenaran, tetapi tetap perlu meminta agar Allah menetapkan dirinya di atas jalan yang lurus sebagaimana bacaan di dalam Fatihah setiap hari.

Demikian itu juga katanya, orang beriman akan mampu mengungkapkan kalimah syahadah di akhir hayatnya kelak serta dibawa untuk memasuki syurga.

Sekitar 3,000 hadirin memenuhi siri penjelasan tersebut. Hadir sama pada ceramah anjuran Kerajaan Negeri Kedah itu ialah Adun Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh dan Adun Jeneri, Dato’ Yahya Abdullah.


No comments:

Post a Comment