Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Sunday 3 February 2013

Dakwaan Umno menyamai Abu Jahal



Oleh IZWAN ABDUL HALIM

izwan@harakah.net.my

BALING: Bandingan Umno bahawa Islam dibawa PAS dengan Islam dipegang Umno adalah sama dijawab Yang Dipertua PAS Kawasan Baling, Tuan Guru Abdul Wahab Hassan.

Katanya, Umno berhujah mereka juga bersolat dan melaksanakan ibadah lain sama sepertimana dilakukan orang PAS.

Ujar tokoh ulama itu, pandangan tersebut menyamai pegangan Islam yang dikehendaki Abu Jahal dari Nabi Muhammad SAW.

Terang beliau, Abu Jahal mengizinkan Nabi SAW bersolat, mengerjakan ibadah haji dan ibadah lain sahaja tetapi mendesak Baginda supaya tidak mempedulikan amalan nenek moyang dan urusan jahiliyyah orang Quraisy.

“Itu Islam yang dikemukakan Abu Jahal kepada Rasulullah. Abu Jahal mahu Rasulullah ambil Islam itu untuk satu mauduk yakni ibadah sahaja. Sedangkan Islam itu mengandungi empat mauduk; ibadah, muamalah, munakahat dan jinayat.

“Kalau Islam macam tu (ibadah sahaja), maknanya Abu Jahal tu kira Islam lama dah dari Umno,” jelas beliau memetik kisah tawaran dan kompromi Abu Jahal itu dari kitab Tarikh Nurul Yaqin ketika berceramah pada Himpunan Jentera Pengangkutan PRU13 PAS Baling di Kampung Lalang, Siong, di sini 3 Januari lalu.

Oleh itu tegasnya, Nabi SAW menolak semua tawaran itu kerana Baginda diutuskan untuk menyempurnakan seluruh cara hidup.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menempelak Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah kerana pernah menyamakan hubungan PAS dengan DAP sebagai hubungan dengan kafir harbi.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Awang Lanai menyifatkan pemikiran Abdullah telah dimasuki air.

Lebih-lebih lagi katanya, apabila Abdullah menyatakan Umno sebagai ahlil sunnah wal jamaah sedangkan Umnolah yang membawa rakyat dan negara kepada kemusnahan serta menjerumuskan kepada kemungkaran.

Tuan Guru turut menyeru seluruh pendukung PAS agar teguh meyakini pertolongan Allah bahawa PAS akan menang dan menumbangkan Umno.

Beliau mengingatkan hadirin mengenai sejarah kekuatan tentera Firaun yang akhirnya tumbang kepada Nabi Musa.

Katanya, begitulah juga kuatnya Umno mempertahankan sisa kuasa mereka dan ia mesti diatasi pendukung PAS dengan gerak kerja yang bersungguh-sungguh.

“Umno sekarang dah macam tulang ikan sardin. Sudah reput, mudah dimamah. Walau kuat macam mana pun dia nak pertahan kuasa, dia akan jatuh juga macam mana Firaun jatuh,” ujar beliau menyuntik keyakinan.


No comments:

Post a Comment