Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Sunday 3 February 2013

Pilih Islam pada PRU13 - Mursyidul Am



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan ‘pesanan khas’ kepada rakyat negeri Kedah supaya memilih Islam pada PRU13 akan datang.

Ujar beliau, Islam adalah paling mudah kerana adanya pedoman menerusi al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Islam ini tidak ada yang menyusahkan kita. Tidak ada cara kita untuk hidup lebih mudah melainkan mengikut Islam. Contoh pedomannya telah ada pada Nabi Muhammad, ada menerusi al-Quran.

“Sedangkan demokrasi tidak ada contoh dan saling berbeza. Lihat sahaja demokrasi Amerika lain, demokrasi Perancis lain, demokrasi Jerman lain. Maka paling mudah sekali adalah Islam, ada Quran, ada Nabi Muhammad SAW,” ujar beliau selepas pertemuan dan sarapan pagi bersama Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak di Jalan Sultanah, di sini 27 Januari lalu.

Pesanan itu disampaikan Tuan Guru atas permintaan Harakah setelah beliau di saat akhir terpaksa membatalkan ceramah Pelancaran Markas Besar PRU13 PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah pada malam sebelumnya kerana faktor sihat.

Katanya, tanpa mengira bangsa, manusia dilantik Allah menjadi khalifah atau pengganti-Nya di mana segala perkara yang ditetapkan Allah sama ada halal, haram atau wajib, mestilah ditunaikan sebagai asas tanggung jawab khalifah.

Bagi menunaikan tanggung jawab itu menurutnya, Allah memilih Nabi sebagai guru, arkitek dan jurutera dalam menentukan cara menjadi khalifah itu.

Nabi Muhammad dibangkitkan menjadi Nabi selama 23 tahun di mana Baginda bertindak sebagai imam, pensyarah, panglima perang dan Baginda juga menandatangani segala perjanjian dengan Yahudi mahupun raja-raja. Bermakna Baginda juga adalah Perdana Menteri.

“Kewajipan kita adalah mengikut Baginda hingga boleh sampai ke syurga. Syurga neraka tiada dalam demokrasi, tokoh demokrasi tidak pernah menyebutnya. Mereka tidak sebut mengenai Padang Mahsyar, tidak sebut azab kubur. Hanya Nabi Muhammad menyebutnya, Baginda tahu daripada Allah Taala.

Maka, wajib atas manusia untuk menuju ke syurga patuh pada hukum Islam dalam semua segi baik ekonomi, sosial, budaya, politik dan segalanya,” terang Tuan Guru.

Pada pertemuan ringkas dua tokoh itu, Ustaz Azizan sempat berkongsi cabarannya membangunkan Kampus Induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil dan jalinan hubungan dengan Universiti Al-Azhar, Mesir hingga mendapat ucapan tahniah daripada Tuan Guru.

No comments:

Post a Comment