Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Monday 15 April 2013

Tepati syarak dan berkelayakan, PUK sokong Ustaz Azizan



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Persatuan Ulama Kedah (PUK) menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak dan melihat tokoh itu kekal berkelayakan untuk menerajui Kerajaan Negeri Kedah.

Yang DiPertuanya, Syeikh Yusuf Mahmud berkata, pendirian tersebut bukan kerana kecenderungan politik kepartian tetapi didasari penilaian nas-nas syarie ke dalam realiti (tanzil nas ala al-waqi’).

Di mana jelas beliau, pembawaan kepimpinan Ustaz Azizan bertepatan syarak dengan hasrat menjadikan Kedah negeri berkebajikan yang mendapat keampunan Allah.

“Ini selari dengan perjuangan para Nabi dan Rasul, walaupun diakui masih wujud kelemahan daripada aspek pelaksanaan tetapi dari pemerhatian kami, dasarnya masih kekal bertepatan dengan syarak,” terang beliau.

Menurutnya, pada pemerhatian PUK, tidak ada tindakan kepimpinan Ustaz Azizan yang boleh dikategorikan sebagai dosa besar atau terlucutnya kelayakan sebagai seorang pemimpin Islam sebagaimana digariskan oleh para fuqaha mengenai kenegaraan Islam.

Katanya, gaya seseorang pemimpin jikapun walaupun kurang disenangi ramai, bukanlah alasan syarie untuk menolak kepimpinannya selagi ia tidak menzahirkan maksiat.

Jelas beliau, seandainya umat Islam berhadapan kepimpinan yang demikian, mereka dituntut untuk bersabar sehinggalah Allah mendatangkan kelapangan.

Menyentuh suara ulama dalam menyatakan pandangan berhubung politik, tegas Syeikh Yusuf , para ulama mempunyai kebebasan untuk berijtihad dalam perkara berkaitan politik dengan berpandukan kepada asas syarie kukuh dikemukakan.

Juga katanya, dengan mengambilkira pandangan para ulama muktabar untuk menyokong pandangan tersebut agar umat tidak keliru serta mudah  untuk memahami sesuatu isu.

“Para ulama hendaklah menjauhi fitnah kebendaan dan kilauan dunia yang menggoda, agar mereka dapat menjadi bintang yang bersinar memandu umat kepada kebenaran.

“Jauhilah daripada menjadi penyebar budaya lucah dan fitnah dengan alasan-alasan yang tidak syarie,” nasihatnya.

Syeikh Yusuf menyeru umat Islam berpolitik dalam kerangka akhlak yang tinggi sebagaimana para Nabi dengan menjunjung sifat-sifat kebenaran (siddiq), melaksanakan tanggung jawab (amanah), menyampaikan fakta (tabligh) dan bertindak dengan bijaksana (fathonah) selain turut menolak budaya liar, salah guna harta negara dan menyebar fitnah.

No comments:

Post a Comment