Facebook Penerangan Pas Kedah..sila klik SUKA

Sunday 24 February 2013

Semua 15 PAS Kawasan dibelakang Ustaz Azizan


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR, 24 Feb - Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad menafikan laporan media bahawa 11 daripada 15 PAS Kawasan menolak kepimpinan Menteri Besar, Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

Ujar beliau, buktinya semua pimpinan utama dari 15 PAS Kawasan hadir pada mesyuarat Badan Perhubungan PAS pada 15 Februari lalu dan Motivasi Pilihan Raya pada 21 Februari baru-baru ini.

Malah, desakan agar Ustaz Azizan berundur adalah tidak wajar kerana masalah yang berlaku hanya melibatkan segelintir ahli dan bersifat dalaman.

"Itu masalah dalaman di kawasan melibatkan beberapa Unit Peti Undi (UPU). Mereka berhak menyatakan ketidakpuasan hati. Tetapi kita sebagai organisasi ada susur galur menyatakan sesuatu.

"Apabila telah disampaikan, telah diluahkan, pimpinan terataslah yang memutuskannya dan semua pihak seharusnya bersikap terbuka dan redha menerimanya.

"Dalam perkara berkaitan pemilihan calon PRU13, keputusannya adalah hak milik Majlis Syura Ulama dan strategi penyusunan oleh PAS Pusat," jelas beliau.

Menurutnya juga, desakan agar Ustaz Azizan berundur adalah perkara biasa namun tidak wajar dikaitkan dengan permasalahan yang berlaku di satu-satu kawasan.

Jelasnya, Ustaz Azizan selaku Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kedah telah menjalankan tugas beliau sebagaimana peranan dipertanggung jawabkan kepadanya.

Malah kata Musoddak, perkhidmatan Ustaz Azizan mendapat perakuan kawan dan lawan.

Oleh itu tegasnya, tidak ada sebab munasabah untuk meminta beliau berundur dan sewajarnya pihak berkenaan mencari jalan menyelesaikan masalah masing-masing serta berpandukan sikap berorganisasi yang tertib.

Kata Musoddak, beliau yakin masalah tersebut akan beransur selesai kerana ahli PAS sejati mengutamakan kepentingan Islam berbanding kepentingan diri.

No comments:

Post a Comment